Hanya seorang adun BN tiada dalam senarai exco
Perlis, iaitu Ismail Kassim yang juga adik kepada Pengerusi Umno Perlis,
Shahidan Kassim.
Hanya seorang adun BN tiada dalam senarai exco Perlis, iaitu Datuk Ismail Kassim yang merupakan adik kepada Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan calon menteri besar Perlis yang ditolak Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Turut hadir dalam majlis angkat sumpah di Istana Arah itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Jamalullail, Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.
Azlan selaku menteri besar turut memegang portfolio pentadbiran dan kewangan, pelaburan dan perdagangan antarabangsa, perancangan ekonomi dan pembangunan industri, hal ehwal tanah, keselamatan dan ketenteraan awam.
Bagaimanapun, Azlan masih berdepan kemungkinan adun BN mengemukakan usul tidak percaya kepadanya di sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.
BN berjaya mendapat majoriti 2/3 di Perlis dengan memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Pakatan Harapan memenangi 3 kerusi DUN (Kuala Perlis, Sena dan Indera Kayangan) dan baki 2 kerusi (Sanglang dan Guar Sanji) menjadi milik PAS.
Azlan mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis buat penggal ke-2 di depan Raja Perlis pada 24 Mei lalu, tanpa kehadiran 9 adun BN yang terbang ke ibu negara pada malam sebelumnya.
Tuanku Syed Sirajuddin murka dan kecewa terhadap tindakan mereka walaupun jemputan dihantar 2 hari sebelum majlis angkat sumpah berlangsung.
Setiausaha Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin memberi alasan mereka menolak Azlan kerana gagal menghadiri mesyuarat Umno negeri selama 4 tahun, tidak membincangkan isu polisi tanah dengan Umno dan gagal di bahagian Kangar.
Shahidan dalam sidang media di Kuala Lumpur pada hari sama mencadangkan Umno memecat keahlian Azlan dan meminta Raja Perlis tidak campur tangan urusan pentadbiran negeri.
Berikut senarai exco Perlis yang mengangkat sumpah jawatan hari ini:
Asmaiza Ahmad (BN-Chuping)
Kemajuan luar bandar dan pembasmian kemiskinan, pembangunan kawasan pertumbuhan baru, pelancongan, kebudayaan dan warisan
Nurulhisham Yaakob (BN-Simpang Empat)
Pertanian dan industri asas tani, perusahaan perladangan dan komoditi, penyelarasan penguatkuasaan bersepadu dan aduan awam
Azizan Sulaiman (BN-Santan)
Perumahan dan kerajaan tempatan, penjaja dan peniaga kecil, perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, keusahawanan, pembangunan industri kecil dan sederhana
Hamizan Hassan (BN-Kayang)
Kemudahan dan prasarana awam, pengangkutan, belia dan sukan, NGO
Ruzaini Rais (BN-Beseri)
Hal ehwal agama Islam, kebajikan dan bantuan bencana serta hubungan dan kerjasama sempadan
Rozieana Ahmad (BN-Pauh)
Pendidikan, pembangunan sumber manusia, sains, teknologi dan inovasi serta pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi
Siti Berenee Yahaya (BN-Mata Ayer)
Pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, integrasi komuniti dan tugas-tugas khas
Teh Chai Ann (BN-Titi Tinggi)
Sumber asli dan alam sekitar, bioteknologi dan teknologi hijau, kesihatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan