Rabu, 14 Mac 2018

Usah percaya manifesto Pakatan, kata Pemuda PBRS

THE MALAYSIAN INSIGHT

Usah percaya manifesto Pakatan, kata Pemuda PBRS
Inanam Benti Alim berkata orang ramai khususnya pengundi muda perlu tahu menilai bahawa janji yang ditaburkan oleh pihak pembangkang itu hanya untuk memancing undi dan belum tentu dilaksanakan sekiranya mereka menang pada pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight,
 
KETUA Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Inanam Benti Alim menyifatkan janji yang ditabur Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah satu pembohongan bagi mengelirukan rakyat.

Beliau berkata janji pembangkang untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya dapat memerintah negara ini jelas tidak realistik dan hanya akan menyebabkan Malaysia menjadi negara defisit.

"Kita perlu tahu bahawa sebuah kerajaan perlu mempunyai wang untuk mentadbir negara, dan manifesto pihak pembangkang itu dilihat akan mengurangkan pendapatan kerajaan," katanya kepada Bernama di Inanam, hari ini.

Beliau berkata orang ramai khususnya pengundi muda perlu tahu menilai bahawa janji yang ditaburkan oleh pihak pembangkang itu hanya untuk memancing undi dan belum tentu dilaksanakan sekiranya mereka menang pada pilihan raya.

"Jangan cuba-cuba memperjudikan masa depan negara kerana terpengaruh dengan manifesto pembangkang...kerana kita yakin apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini adalah jauh lebih baik berbanding apa yang dijanjikan mereka," katanya.

Sementara itu, Benti berkata jentera parti pemuda PBRS Inanam telah bersiap sedia untuk membantu siapa sahaja calon BN yang bertanding di kawasan itu pada PRU14.

Beliau berkata seperti pada pilihan raya umum lepas, pemuda PBRS Inanam akan terus menggerakkan jentera parti untuk memastikan calon BN di kawasan Dewan Undangan Negari (DUN) itu menang dalam pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.

"Siapa sahaja calon kita akan sokong...kita tidak tekankan soal calon kerana yang paling penting adalah kemenangan BN. Kita tidak mahu Inanam sekali lagi jatuh ke tangan pembangkang.

"Apa yang penting kita mahu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam ini kembali ke tangan BN. Oleh itu, saya meminta semua anggota PBRS, khususnya Pemuda di kawasan Inanam mempertingkatkan usaha untuk menawan hati pengundi,” katanya.

Kerusi DUN Inanam yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN, terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum yang lepas apabila dimenangi Dr Roland Chia daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 3,202 undi.

Selain PKR, BN dijangka berdepan beberapa calon daripada parti pembangkang termasuk Parti Warisan Sabah, Parti Cinta Sabah dan Parti Maju Sabah yang akan bertanding pada PRU14. – Bernama

Tiada ulasan: