Memaparkan catatan dengan label PERHIMPUNAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PERHIMPUNAN. Papar semua catatan

Isnin, 31 Ogos 2020

Orang Asli Temiar menabung sambut merdeka

Sambutan hari ini disertai hampir keseluruhan penduduk Orang 
Asli suku Temiar di Kampung Sendrop, Pos Broke, Gua Musang 
yang bersama menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh 
semangat. (Gambar Bernama)

GUA MUSANG: Bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan yang dirai saban tahun berjalan lancar, penduduk Orang Asli suku Temiar di Kampung Sendrop, Pos Broke mengambil inisiatif menabung sejak 2 bulan lalu dan berjaya mengumpulkan RM300.

Wang itu dimanfaatkan hari ini dengan “kenduri Hari Kebangsaan” yang dihadiri kira-kira 500 penduduk kampung itu.

Penduduk Sakinah Anjang, 53 berkata kaum wanita bergotong-royong sejak semalam bagi menyediakan jamuan untuk dinikmati penduduk hari ini.

“Sambutan hari ini turut disertai generasi muda kampung supaya mereka dapat merasai nikmat merdeka hasil pengorbanan warga terdahulu.

“Sekurang-kurangnya apabila mereka memahami erti kemerdekaan ini, dapat pula mewariskannya kepada generasi akan datang dan lebih bermakna lagi (sambutan) diadakan setiap tahun walaupun tinggal jauh di pedalaman (agar) semangat merdeka terpahat dalam diri dan dapat dirasai mereka selamanya,” katanya ketika ditemui.

Wakil generasi muda Alui Abong, 23, mengakui sedar tidak mudah untuk rakyat, khususnya Orang Asli, menikmati keamanan yang ada sekarang tanpa perjuangan pemimpin terdahulu.

“Sebagai generasi baharu, kami amat memahami kesusahan orang terdahulu dalam usaha memerdekakan (negara) dan mengekalkan kemerdekaan, justeru menjadi tugas kami generasi terkini memastikan kemerdekaan tanah air tercinta ini,” katanya.

Menurut penghulu kampung itu Andol Busu, sambutan hari ini disertai hampir keseluruhan penduduk yang bersama menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh semangat.

Khamis, 27 Ogos 2020

Covid-19: MAHA 2020 hanya 4 hari

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Ronald Kiandee 
(tengah) pada majlis pra-pelancaran Pameran Pertanian, 
Hortikultur dan Agropelancongan 2020 di Maeps, Serdang 
hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2020 akan dilaksanakan berdasarkan konsep hibrid selama 4 hari bermula 26 November ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee berkata, konsep hibrid yang diketengahkan adalah disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19.

“Berdasarkan kepada penganjuran sebelum ini, MAHA boleh menarik lebih 3 juta pengunjung. Walau bagaimanapun mengambil kira situasi pandemik Covid-19, penganjuran tahun ini perlu disesuaikan dan buat julung kalinya dibuat secara hibrid, iaitu kombinasi fizikal dan maya.

“Sebelum ini MAHA berlangsung selama 11 hari, dan tiada had dari segi pengunjung. Namun bagi MAHA 2020, penyertaan adalah dari segi jemputan dan fokus diberikan untuk acara ‘trade and business’.

“Oleh itu MAHA 2020 disasarkan akan menarik 10,000 pengunjung sehari secara fizikal dan lebih 100,000 secara maya,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang meminta menteri menyatakan sejauh manakah penganjuran MAHA 2020 akan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM memandangkan negara masih berhadapan dengan penularan Covid-19 serta apakah hasil pulangan ekonomi yang dapat dijana melalui penganjuran tahun ini.

Ronald berkata, pelbagai aktiviti dalam talian akan diadakan seperti sesi perbincangan, padanan perniagaan, webinar, sidang video serta promosi produk pameran yang boleh dipaparkan secara langsung.

Berikutan wabak Covid-19 dan setiap aktiviti terhad kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara Kiandee berkata, bilangan pengunjung fizikal akan dihadkan kepada 10,000 orang sehari dan hanya mereka yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan masuk.

Dengan tema “Pertanian Penjana Ekonomi Negara”, ia menggabungkan pameran secara fizikal yang melibatkan lebih 700 gerai serta pameran maya secara dalam talian.

MAHA 2020 menyasarkan penyertaan kumpulan peserta seperti syarikat swasta, badan korporat tempatan, kementerian, jabatan, agensi kerajaan, perusahaan kecil dan sederhana, institusi penyelidikan dan pembangunan antarabangsa dan tempatan serta institusi kewangan.

Selasa, 25 Ogos 2020

PRK Slim: Proses undi awal lancar, tenang

Mohammad Arif Nizam
MGF25082020_PENGUNDIAN-AWAL-PRK-SLIM07-681x454
Pengamal media yang hadir untuk membuat liputan pada hari 
pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 
Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Slim River, Perak. 
foto AFFAN FAUZI,

SLIM RIVER – Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Balai Polis Daerah Muallim berjalan lancar dan aman.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya telah mengambil langkah awal dengan menasihati para pengundi agar tidak keluar mengundi secara serentak.

Jelas beliau, ia bagi mengelakkan kesesakan dalam usaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik Covid-19.

“Walaupun tidak sesak, penjarakan fizikal tetap berlaku. Kita mahu mengamalkan norma-norma baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara dalam PRK ini.

“Undi awal hari ini menyaksikan seramai 267 anggota dan pegawai polis yang bermula pukul 8 pagi tadi sebelum ditutup pukul 5.30 petang.

“Jadi saya menyeru kepada semua anggota dan pegawai saya yang layak mengundi hadir menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

MGF25082020_PENGUNDIAN-AWAL-PRK-SLIM40
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Ghani 
Salleh (tengah) ketika tiba untuk meninjau proses mengundi 
awal pada hari pengundian awal sempena Pilihan Raya Kecil 
(PRK) N. 58 Slim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, 
Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI,

Pusat mengundi di Balai Polis Daerah Muallim dibuka oleh SPR tepat pukul 8 pagi  melibatkan seramai 267 anggota dan pegawai polis sebagai pengundi awal.

Mereka diwajibkan memakai pelitup muka serta menggunakan pencuci pembasmi kuman sebelum dibenarkan mengundi.

Mereka juga diwajibkan menjalani saringan suhu sebelum dibenarkan memasuki pusat mengundi dan diberikan kertas undi awal.

Turut hadir meninjau suasana, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid dan Ketua Polis Daerah Muallim, Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman.

Untuk rekod, PRK DUN Slim mencatat sejarah tersendiri kerana yang kedua diadakan selepas Kerajaan Perikatan Nasional mentadbir negara termasuk dalam PKPP akibat pandemik Covid-19.

MGF25082020_PENGUNDIAN-AWAL-PRK-SLIM21
Sebahagian anggota polis menunjukkan jari berdakwat kekal 
selepas membuang undi pada hari pengundian awal sempena 
Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 Slim di Ibu Pejabat Polis 
Daerah Muallim, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI,

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

BN mengemukakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd. Zaidi Aziz yang berdepan calon Bebas mewakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air iaitu seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran.

DUN Slim memiliki seramai 23,094 pengundi berdaftar termasuk pengundi awal seramai 267 orang hari ini. – MalaysiaGazette


‘Wanita Waja Negara Sejahtera’ tema Hari Wanita Kebangsaan 2020

azrulhakimie 

 

Bersesuaian semangat wanita terutama ketika berdepan COVID-19

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Wanita Kebangsaan tahun ini bertemakan ‘Wanita Waja Negara Sejahtera’ bersesuaian dengan semangat serta pengorbanan golongan wanita terutamanya ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan berkata golongan itu juga adalah tonggak kepada kejayaan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sama ada penglibatan secara langsung sebagai barisan hadapan mahupun tanggungjawab dalam institusi keluarga.

Kementerian itu berkata tema itu dipilih bagi memberi inspirasi kepada golongan wanita selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keupayaan wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan dan pembangunan masyarakat serta negara.

Menyedari peranan wanita dalam pembangunan negara daripada segi ekonomi dan kesejahteraan negara, KPWKM turut menyeru masyarakat bersama bergerak dan menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa wanita melalui pelbagai pendekatan. – Bernama

Rakyat Malaysia kini hilang rasa teruja sambut merdeka – Kok Seong

Wartawan MalaysiaGazette
MGF30082019_TEMUBUAL-PROF
Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia dilihat tidak teruja dan kurang ghairah untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali-63 biar pun sambutan itu hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Meskipun sedih melihat situasi ini namun apakan daya kerana negara dan dunia masih bergelut dengan pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.

Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mendakwa rasa teruja dan keseronokan untuk menyambut kemerdekaan dalam kalangan rakyat semakin dingin.

Ia bukan sahaja pada tahun ini tetapi sejak beberapa tahun lalu, katanya.

Cuma kali ini lebih teruk, mood merdeka itu terasa lenyap.

“Hendak cakap apa pun tak tahu tapi rasa teruja itu hilang.

“Bukan sahaja orang biasa, malah kalau kita tengok perniagaan-perniagaan juga tidak kibarkan bendera seperti tahun-tahun dulu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kok Seong tidak menafikan pandemik Covid-19 yang masih ‘meresahkan’ rakyat Malaysia telah melenyapkan kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Katanya, keadaan yang berlaku kerana rakyat  perlu melalui norma-norma baharu – menjalani kehidupan dengan mematuhi prosedur operasi standard sekaligus menyebabkan kehidupan bebas selama ini kian terbatas.

“Hendak berseronok beramai-ramai menyambut ulang tahun kemerdekaan di luar pun kita rasa was-was. Kena patuhi penjarakan sosial, memakai pelitup muka lagi, tidak boleh bersentuhan…itu semua renyah,” ujarnya.

Selain itu, kata Kok Seong, ketidaktentuan ekonomi disebabkan impak Covid-19 juga menyebabkan semakin ramai rakyat susah.

“Jadi faktor-faktor ini semua menjejaskan mood,” tambah beliau.

Namun, beliau tidak menolak masalah urus tadbir negara yang kurang baik sejak beberapa tahun lalu juga telah mengikis keterujaan untuk menyambut hari bermakna itu.

Jelasnya, episod salah urus negara yang menyaksikan penyalahgunaan kuasa, perubahan tampuk kuasa negara, janji kepada rakyat tidak ditepati, krisis politik dan kepimpinan di Malaysia menimbulkan pelbagai rasa dalam hati rakyat.

“Kita sudah tiga kali bertukar kerajaan. Walaupun situasi (kepimpinan negara) nampak sudah reda tetapi belum ada kesudahan dengan isu-isu yang ditimbulkan.

“Keadaan berterusan ini mendorong rakyat rasa menyampah dan akhirnya mereka menunjukkan sikap tidak kisah, walaupun membabitkan hari penting negara,” kesal Kok Seong.

Menurutnya, Kerajaan Perikatan Nasional yang baharu enam bulan mentadbir negara tidak sempat mentadbir sepenuhnya.

Ini kerana, Perdana Menteri dan barisan Kabinet perlu menumpukan usaha menangani penularan Covid-19 dan isu-isu ekonomi.

Jadi, kerajaan sekarang belum 100 peratus berfungsi.

“Walaupun kerajaan melakukan percubaan berani dengan menyalurkan suntikan RM295 bilion dan usaha murni membantu rakyat namun beban ekonomi yang dihadapi rakyat pada masa ini  adalah nyata.

”Perkara-perkara ini telah memberi impak kepada rakyat yang sekarang perlu bekerja keras untuk kelangsungan kehidpan masing-masing. Yang lain-lain mereka tidak kisah,” katanya. – MalaysiaGazette

Khamis, 20 Ogos 2020

88 kuda bakal meriahkan hari kebangsaan norma baharu

BERNAMA
 
FOTO Bernama

BIARPUN kira-kira 90 peratus aktiviti sambutan Jubli Perak Putrajaya dan Hari Kebangsaan ke-63 di Putrajaya 'terencat' susulan pandemik Covid-19, namun perarakan 88 ekor kuda pada 30 Ogos ini menjadi tonggak simbolik semangat dwi sambutan terus diraikan.

Perarakan berkuda itu akan diketuai Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim yang disertai unit berkuda Perbadanan Putrajaya (PPj) serta agensi lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Aminuddin berkata, perarakan sejauh 6.7 kilometer dari Dataran Putrajaya ke Dataran Putra serta berpatah balik ke Dataran Putrajaya mengambil masa selama dua jam bermula 10 pagi.

Beliau berkata, peserta akan membawa bendera Malaysia, Malaysia Prihatin, bendera 25 tahun Putrajaya, bendera 50 Rukun Negara dan bendera agensi masing-masing.

"Bilangan 88 ekor kuda dipilih bagi menyertai perarakan itu sebagai simbolik bagi gabungan nombor (63+25), ulang tahun kedua-dua sambutan itu," katanya.

Ulang tahun kemerdekaan yang ke-63 disambut pada 31 Ogos ini manakala pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya yang ditubuhkan pada 29 Ogos 1995 pula meraikan ulang tahun ke-25 pada tahun ini.

Bagi mengelakkan orang ramai berkumpul untuk menonton acara perarakan berkuda itu, Aminuddin berkata, pihak PPj akan bekerjasama dengan PDRM untuk kawalan dan pemantauan.

Sehari sebelum perarakan berkuda (29 Ogos) juga bersempena dengan dwi sambutan itu, acara terjunan base akan berlangsung di Jambatan Monorel, Presint 3 dan peserta dijangka mendarat di kawasan lapang tapak Floria Putrajaya.

Aksi terjunan base itu akan dilakukan oleh enam penerjun tempatan yang turut diwakili seorang kakitangan PPj Adi Khirman Marji, katanya.

"Penerjun kemudian akan menyerahkan bendera Jubli Perak dan Malaysia kepada Presiden PPj sebagai simbolik bagi meneruskan acara dwi sambutan itu dengan acara perarakan berkuda," katanya.

Aminuddin berkata pelbagai acara dirancang PPj sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya pada tahun ini namun tidak dapat dilaksanakan dan akan ditunda ke tahun depan.

Bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan pada tahun ini, Aminuddin berkata PPj menyerahkan 3,600 bendera Malaysia kepada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan untuk dipasang di jalan-jalan utama sekitar Putrajaya.

Beliau berkata lebih 6,400 bendera Malaysia turut dipasang di bangunan-bangunan awam, medan-medan selera dan kawasan awam di sekitar Putrajaya.

Ahad, 9 Ogos 2020

84,462 veteran ATM belum daftar JHEV

BERNAMA
 
GAMBAR hiasan

TIDAK tahu fungsi mendaftar, kurang mahir dalam penggunaan teknologi digital, selain tidak lagi memerlukan bantuan kerajaan menjadi antara sebab golongan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).

Ketua Pengarah JHEV Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata kekangan itu menyukarkan pihaknya untuk menyampaikan segala bentuk bantuan serta manfaat disalurkan kerajaan menerusi JHEV kepada veteran tentera.

Beliau berkata menerusi rekod sehingga 30 Julai lalu, keseluruhan jumlah veteran ATM dan tanggungan ialah seramai 306,900 orang.

"Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu seramai 102,559 orang adalah veteran berpencen, 180,395 orang veteran tidak berpencen manakala 23,946 orang adalah penerima pencen terbitan (balu veteran ATM)," katanya.

Dzulkarnain berkata daripada jumlah veteran tidak berpencen, hanya 95,933 orang sahaja telah mendaftar selain mempunyai rekod lengkap sementara baki 84,462 masih tidak mendaftar.

Katanya, JHEV berharap veteran ATM tidak berpencen yang masih belum berdaftar segera berbuat demikian bagi memudahkan jabatan itu menyalurkan bantuan atau kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.

"Ada dalam kalangan mereka yang sudah berusia dan tidak mahir dengan teknologi digital sekali gus menyukarkan mereka untuk mendaftar secara dalam talian.

"Terdapat juga keadaan yang mana mereka ini mempunyai pekerjaan sendiri selepas bersara dan tidak mahu ada sebarang ikatan lagi dengan pihak kerajaan," katanya.

Menurut Dzulkarnain, satu jawatankuasa khas turut dibentuk yang berperanan menyemak dokumen salinan asal veteran ATM tidak berpencen untuk didaftarkan semula ke dalam sistem pendaftaran sedia ada.

Katanya, gerak kerja jawatankuasa itu yang memasuki tempoh dua bulan sejak bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) diumumkan kerajaan, memudahkan lagi usaha JHEV dalam mengesan dan mendaftarkan golongan terbabit.

Beliau berkata proses menjejaki veteran ATM tidak berpencen itu juga dibantu 132 persatuan induk dan 350 cawangan persatuan membabitkan veteran tentera.

"Melalui penyertaan mereka bersama persatuan terbabit, usaha menjejak dan mengesan dapat dilaksana secara berterusan," katanya.

Sabtu, 8 Ogos 2020

Rancang MAHA 2020 dalam norma baharu

 Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA: Penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2020) yang dijadual diadakan November depan akan dilaksanakan sepenuhnya dalam suasana norma baharu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, rancangan itu termasuk aktiviti jualan dan pameran yang akan dilaksanakan secara fizikal dan maya (virtual).

Menurutnya, perancangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kita masih lagi menunggu keputusan kerajaan, khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada membenarkan penganjuran MAHA 2020 atau sebaliknya.

“Saya jangka penganjuran acara dwi-tahunan itu dapat pertimbangan baik daripada MKN kerana ia mampu membantu golongan peladang, penternak dan nelayan menjual hasil mereka,” katanya selepas merasmikan program Melabuh Unjam, Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) di Jeti Nelayan Umbai, Serkam di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, penularan Covid-19 di negara ini turut mengubah cara penganjuran MAHA 2020 apabila ia dijangka diadakan secara hybrid antara 26 hingga 29 November ini.

Kerajaan juga bersetuju secara dasar dengan cadangan penganjuran MAHA 2020 yang akan diadakan secara fizikal dan maya (virtual).

Susulan itu, pihak pengurusan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi untuk penganjuran pameran pertanian terbesar negara itu.

Ia termasuk hanya peserta yang diberi kad jemputan sahaja dibenarkan masuk ke tapak pameran manakala kehadiran mereka perlu direkodkan.

Peserta-peserta antarabangsa pula hanya dibenarkan terbabit secara dalam talian. – UTUSAN

Rabu, 29 Julai 2020

Ingkar SOP: Polis KL diarah kompaun penyokong Najib

Kumara Sabapatty
MGF28072020_KES-NAJIB-53-681x453
Suasana penyokong-penyokong yang hadir mengiringi Bekas Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak di luar perkarangan Mahkamah berikutan keputusan
kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tuduhan pecah amanah,
salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dan RM42 juta milik
SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. foto MOHD
ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Para penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk beberapa Ahli Parlimen yang berkumpul di hadapan Kompleks Mahkamah di Jalan Duta, di sini akan dikenakan kompaun kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) akibat gagal mengamalkan penjarakan sosial.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

“Saya telah arah JSJ KL untuk ambil tindakan tawarkan kompaun di bawah Peraturan 3 Aktiviti Terlarang Akta 342 atau Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020.

“Aktiviti yang melibatkan kehadiran ramai dan jelas menyukarkan penjarakan sosial serta Pematuhan SOP yang disarankan Ketua Pengarah KKM mengikut Akta 342,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi pagi tadi.

Pagi hari ini, ribuan penyokong Najib dipercayai datang dari beberapa lokasi di seluruh negara, termasuk Pekan untuk memberi sokongan moral kepada beliau yang menghadapi pertuduhan penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Mahkamah memutuskan Najib bersalah kesemua tujuh pertuduhan.  -MalaysiaGazette

Selasa, 28 Julai 2020

Ingkar SOP: Polis KL diarah kompaun penyokong Najib

Kumara Sabapatty
MGF28072020_KES-NAJIB-53-681x453
Suasana penyokong-penyokong yang hadir mengiringi Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di luar perkarangan Mahkamah berikutan keputusan kes Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Para penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk beberapa Ahli Parlimen yang berkumpul di hadapan Kompleks Mahkamah di Jalan Duta, di sini akan dikenakan kompaun kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) akibat gagal mengamalkan penjarakan sosial.

Timbalan Pengarah Siasatan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

“Saya telah arah JSJ KL untuk ambil tindakan tawarkan kompaun di bawah Peraturan 3 Aktiviti Terlarang Akta 342 atau Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020.

“Aktiviti yang melibatkan kehadiran ramai dan jelas menyukarkan penjarakan sosial serta Pematuhan SOP yang disarankan Ketua Pengarah KKM mengikut Akta 342,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi pagi tadi.

Pagi hari ini, ribuan penyokong Najib dipercayai datang dari beberapa lokasi di seluruh negara, termasuk Pekan untuk memberi sokongan moral kepada beliau yang menghadapi pertuduhan penyewelengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Mahkamah memutuskan Najib bersalah kesemua tujuh pertuduhan.  -MalaysiaGazette

Covid-19: Khalid masih nafi luluskan himpunan tabligh


TABLIGH

KELULUSAN himpunan tabligh seramai 16,500 peserta pada awal tahun lalu terus dinafikan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Bagaimanapun, penafian Ahli Parlimen Shah Alam itu di dalam Dewan Rakyat dibidas apabila terdapat sepucuk surat dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Surat tersebut dikeluarkan pada 17 Februari lalu menyatakan ‘tiada halangan’ terhadap permohonan penganjuran himpunan tabligh tersebut.

“Dia kata kerja dia tutup jalan saja. Memang benar Lid (Khalid) tak lulus.

“Cuma dia ‘tiada halangan’ sahaja – seperti tertulis dalam surat ini bertarikh 17 Feb 2020 iaitu seminggu sebelum acara berlangsung.

BACA > Tony, Guan Eng, cubaan tutup skandal terowong – Najib — Suara Merdeka

Kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian membidas kenyataan Khalid yang dilihat terus menafikan memberi kelulusan terhadap Perhimpunan Ulamak dan Penggerak Usaha Dakwah.

Himpunan tersebut menjadi kluster terbesar jangkitan Koronavirus (Covid-19) apabila sehingga menyebabkan kematian seramai 34 orang.

Menurut Najib, selain menafikan pemberian kelulusan itu, Khalid juga dikatakan menuduh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberi kebenaran.

PDRM semasa permohonan penganjuran himpunan tersebut berada di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi Menteri Dalam Negeri.

“Kononnya Lid dan PH (Pakatan Harapan) tak bersalah tercetusnya kluster covid terbesar.

LIHAT :https://www.facebook.com/najibrazak/photos/a.294787430951/10157240068900952/?type=3

“Lalu, dia tuduh PDRM di bawah Muhyiddin yang luluskan.

BACA > Depan cakap lain, belakang cakap lain – Shuib – Suara Merdeka

“Tetapi PDRM juga mengikut perintah MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah PM7 (Perdana Menteri ke-7) dan TPM (Timbalan Perdana Menteri) PH yang sudahpun diaktifkan sebab Covid,” jelasnya.

Oleh demikian, Najib kemudian mempersoalkan tindakan Khalid membuat tuduhan terhadap PDRM sedangkan ketika itu PH menjadi kerajaan.

Menurut Najib, Pengarah Komunikasi Amanah itu dilihat cuba memutar belit situasi tersebut dengan walaupun agensi kerajaan yang lain ketika itu menyedari penularan Covid-19.

“Ko ingat hal ini main-main untuk kamu spin sesuka hati ke, Lid?

“Jika NADMA dan MKN masa itu prihatin dan mengambil serious ancaman Covid untuk mengeluarkan perintah larang perhimpunan awam besar-besaran atas nasihat menteri kesihatan PH.

“…adakah PDRM berani luluskan perhimpunan awam seramai 16,500 perserta masa Covid mengancam?

“Dan agaknya PDRM masih tetap luluskan perhimpunan itu jika DBKL nyatakan ada halangan tak?” soal Najib.

Terdahulu penganjuran himpunan tabligh dekat Masjid Jamek Bandar Baru Sri Petaling mencetuskan penularan Covid-19 terbesar.

BACA > Kumpulan kedua 40 jemaah tabligh tiba dari India — Suara Merdeka
Seramai 3,375 dilaporkan positif, namun pada 8 Julai lalu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan kluster tersebut tamat. – SM

Isnin, 27 Julai 2020

Merdeka: Perarakan Berkuda di Dataran Putrajaya

Oleh Azman Bin Ibrahim

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hasim: UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Tiada perarakan gemilang Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya tahun ini.

Berikutan negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mengamalkan norma baharu, sambutan Hari Kebangsaan ke-63 tahun ini akan dijayakan secara simbolik dengan Perarakan Berkuda Perkhidmatan Awam Peringkat Wilayah Persekutuan pada 30 Ogos.

Sambutan berkenaan bersempena dwi sambutan iaitu Hari Kebangsaan 2020 dan Jubli Perak Putrajaya.

Sambutan pukul 8 pagi itu tidak akan melibatkan perhimpunan orang ramai bagi menjaga penjarakan sosial sebaliknya hanya melibatkan para peserta sahaja.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, agensi-agensi perkhidmatan awam yang terlibat adalah PPj, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Katanya, perarakan itu melibatkan 88 ekor kuda dan para peserta akan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang perarakan berkenaan di Dataran Putrajaya.
“Perarakan ini juga bersempena sambutan ke-25 tahun Putrajaya. Tarikh lahir Putrajaya pada 29 Ogos 1995.

“Konsep kita tidak ada perhimpunan awam. Peserta hanya kibarkan Jalur Gemilang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Pada tahun lalu, Sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Dataran di Putrajaya yang melibatkan 17,353 peserta perarakan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadi tetamu istimewa pada majis sambutan tahun lalu.

Putrajaya pernah menjadi lokasi bagi penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019. – UTUSAN ONLINE

Ahad, 26 Julai 2020

Program simbolik ganti acara perbarisan sambut Hari Kebangsaan tahun ini

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata, acara perbarisan Hari
Kebangsaan akan digantikan dengan program simbolik berikutan ancaman wabak
Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

KUANTAN: Acara perbarisan Hari Kebangsaan pada tahun ini akan digantikan dengan program lain berbentuk simbolik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata keputusan itu dibuat ekoran negara masih dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kini memasuki peringkat pemulihan (PKPP) selain ancaman penularan pandemik Covid-19 masih wujud.

“Walaupun tanpa perbarisan, masih ada 1-2 aktiviti yang akan diadakan pada 31 Ogos, yang boleh dianggap sebagai simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengumumkannya dengan lebih mendalam buat masa ini kerana ia masih bergantung kepada nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Saifuddin Abdullah

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Kit Permulaan Hospital 2020 Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (Pesona) yang turut dihadiri pengerusinya, Wan Shahriza Wan Ab Rahman di sini, hari ini.

Saifuddin juga berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menayangkan program khas Hari Kebangsaan pada pagi 31 Ogos supaya pengisian sambutan masih wujud meskipun tidak meriah seperti sebelum ini.

Pada 8 Julai, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak ada perbarisan atau perhimpunan dijadualkan berlangsung pada sambutan Hari Kebangsaan setakat ini kerana acara itu berskala besar dan melibatkan ribuan peserta.

Mengulas perkembangan berkaitan, Saifuddin turut menggalakkan orang ramai untuk mengibarkan bendera Malaysia selepas pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mulai Selasa ini sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept depan.

Wan Shahriza pula berkata, kit permulaan itu mengandungi kelengkapan bagi pesakit yang melakukan rawatan kanser di hospital seperti termometer, tuala, selimut, pembasmi kuman, set pembersihan diri dan pelitup muka.

Sabtu, 25 Julai 2020

Berpesta semasa PKPP, 310 dikenakan kompaun

SEBANYAK 310 orang telah dikompaun selepas polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan PJU 7/3 Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan di tiga buah premis bermula pukul 11 malam hingga 5 pagi tadi.

“Daripada jumlah tersebut, 200 orang lelaki dan 110 orang wanita lingkungan umur 20 ke 30 tahun ditahan.

“Mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Kesemua mereka telah di kenakan kompaun rm 1,000.00 setiap seorang kerana kesalahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA> Tayar kereta Guan Eng pancit ketika menuju ke pejabat SPRM

Menurut Nik Ezanee, polis turut menahan menahan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 29 tahun kerana disyaki menggaji pekerja asing tanpa permit kerja yang sah.

Jelasnya, premis itu juga didapati beroperasi tanpa lesen yang sah.

“10 lelaki warganegara asing berusia lingkugan 25 hingga 30 tahun juga ditahan kerana disyaki bekerja di dalam pusat hiburan tersebut tanpa permit yang sah.

“Kesemua mereka telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39(b) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.

BACA> UMNO-Muhyiddin: MT ada kuasa pertimbang – Annuar

Nik Ezanee berkata, pihaknya turut merampas sebuah pembesar suara jenama EV2, amplifier jenama Behringer, mikrofon , televisyen dan wang tunai berjumlah RM9,530.

Tambahnya, jumlah kompaun dalam operasi semalam adalah yang terbanyak pernah dikeluarkan dan pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan operasi sama di lokasi lain sekitar daerah Petaling Jaya. -SM

Sabtu, 11 Julai 2020

Jumlah Pengunjung Majlis Tidak Lagi Dihadkan Selagi Ada Jarakan Sosial – Ismail Sabri

UMNO ONLINE

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA – Jumlah maksimum peserta atau pengunjung di majlis agama, sosial dan rasmi akan diselaras mengikut kapasiti ruang tertakluk kepada jarakan sosial bermula 15 Julai ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersetuju had 250 orang yang putuskan sebelum ini ditimbang semula.

“Setakat ini kita hadkan tetamu untuk majlis kahwin sebagai contoh adalah seramai 250 orang dan jemaah masjid (serta penganut bukan Islam) seramai satu pertiga daripada kapasiti masjid dan rumah ibadah bukan Islam.

“Jadi untuk menyamaratakan semua sekali, kita bersetuju had tetamu dan peserta adalah berdasarkan keluasan sesuatu tempat dengan syarat ada penjarakan sosial sejauh satu meter,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu hari ini.

Beliau memberi contoh bagi sebuah dewan berkapasiti 1,000 orang akan dapat memuatkan 800 individu berdasarkan pelaksanaan jarakan sosial.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju dengan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Berasrama yang dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Antara garis panduan itu ialah hanya murid dan pelajar yang sihat sahaja dibenarkan kembali ke asrama selain perlu melakukan saringan kesihatan semasa pendaftaran masuk ke asrama, katanya.

“Sekiranya terdapat murid yang bergejala, pihak pentadbiran perlu mendapatkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan memaklumkan ibu bapa atau penjaga untuk membawa pulang murid.

“Garis panduan yang dikeluarkan KPM ini boleh digunakan untuk mana-mana sekolah berasrama yang lain yang tidak terletak di bawah KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah swasta,” katanya.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan COVID-19 secara rawak di asrama.

Ismail Sabri turut berkata pelajar tingkatan empat dibenarkan pulang ke asrama bermula 15 Julai ini sementara untuk pelajar tingkatan lain, bermula 3 Ogos.

Bagi asrama di sekolah rendah, khususnya di kawasan pedalaman, murid tahun lima dan enam juga dibenarkan pulang ke asrama masing-masing pada 15 Julai.

Mengulas mengenai kebenaran mengadakan kelas muzik dan peperiksaan bahasa Inggeris bagi persediaan ke luar negara TOEFL (ujian bahasa Inggeris sebagai bahasa asing), Ismail Sabri berkata kedua-duanya adalah dibenarkan. – BERNAMA

Selasa, 30 Jun 2020

Kebenaran konvoi mungkin ditarik jika gagal patuhi SOP [METROTV]

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEBANYAK 358 saman dikeluarkan polis dalam operasi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lanchang dan R&R Chenor di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh pada 28 Jun. FOTO arkib NSTPSEBANYAK 358 saman dikeluarkan polis dalam operasi di kawasan Rehat dan Rawat
(R&R) Lanchang dan R&R Chenor di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh
pada 28 Jun. FOTO arkib NSTP

KEBENARAN aktiviti berkonvoi kenderaan mungkin akan ditarik semula jika peserta berterusan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ia susulan penahanan sekumpulan penunggang motosikal yang berkonvoi dan berkumpul di Pahang, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun penahanan semalam adalah kes terpencil dan kejadian pertama berlaku.

"Setiap peserta konvoi perlu memastikan kawalan kendiri dan mempraktikkan SOP yang ditetapkan.

"Namun, jika perkara ini berterusan, kebenaran yang kita berikan ini akan ditarik semula. Bukan mustahil untuk kerajaan menarik semula kebenaran yang diberikan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat boleh melihat premis perniagaan seperti restoran yang ditutup kerana melanggar SOP.

"Kalau terlalu banyak kesalahan dilakukan akan menyebabkan keseluruhan konvoi di seluruh negara tidak dibenarkan.

"Saya harap ini adalah kali pertama dan terakhir mereka lakukan," katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung pematuhan SOP di Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Ismail Sabri berkata, pasukan pemantau diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berada di mana-mana saja bagi memastikan SOP dipatuhi.

"Saya tidak tahu berapa banyak laporan mengenai pelanggaran SOP di Chini namun saya ingin mengingatkan kepada semua di Chini tidak kira calon, petugas, orang ramai, penyokong dan pengundi bahawa kegagalan pematuhan SOP boleh diambil tindakan," katanya.

Isnin, 22 Jun 2020

'Tak ada pertemuan Langkawi sama ada rasmi atau tak’

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pembantu Dr Mahathir Mohamad menolak spekulasi kononnya satu pertemuan sulit diadakan di antara bekas perdana menteri itu dan pemimpin Perikatan Nasional di Langkawi pada hujung minggu lalu.

Pembantu itu, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin, berkata, Dr Mahathir tidak berjumpa dengan Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein seperti yang dilaporkan.

“Memang disahkan oleh pegawai pengiring tak ada pertemuan sama ada rasmi atau tak.

“Tun (Dr) M pergi Langkawi pun secara last minutes. Spekulasi bahawa Tun M ada plan bercuti dengan Azmin adalah tak benar sama sekali,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Spekulasi, tersebar khususnya oleh akaun Facebook yang berkaitan dengan PKR, susulan gambar setiausaha politik Dr Mahathir, Abu Bakar Yahya Aby dilihat bersalaman dengan Menteri Luar Hishammuddin Hussein di luar kedai roti The Loaf.

Hantaran itu turut berkongsi dua gambar lain, pertama gambar Dr Mahathir di kedai roti yang sama dan gambar kedua adalah rombongan Azmin.

Namun, tidak ada satu pun gambar yang memaparkan ketiga-tiga lelaki itu bersama. Masa sebenar gambar berkenan dirakamkan juga tidak dinyatakan.

Spekulasi itu juga timbul ketika kebuntuan antara Mahathir dan presiden PKR Anwar Ibrahim mengenai siapa yang harus menjadi perdana menteri berikutnya sekiranya Pakatan Harapan berjaya mendapatkan kembali kuasa.

Ada penyokong berhujah bahawa Mahathir lebih cenderung memenangi sokongan blok Sabah dan Sarawak untuk membentuk majoriti baru di Dewan Rakyat, sesuatu yang gagal dilakukan oleh Anwar.

Walau bagaimanapun, tanpa sokongan PKR, peluang Dr Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi dan rancangannya untuk merampas kuasa bersama Pakatan Harapan dan Warisan juga tidak dapat diteruskan.

Anwar turut dilaporkan berjumpa dengan pihak lain, termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan beberapa pemimpin Sarawak.

Pemimpin PKR mempertahankan pertemuan itu, dengan mendakwa bahawa Mahathir juga telah melakukan perkara yang sama dengan pertemuan bersama Azmin dan presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Namun, setiausaha agung Bersatu yang jawatannya dipertikaikan, Marzuki Yahya berkata bahawa mesyuarat yang didakwa membabitkan Mahathir itu adalah tidak berasas dan tidak pernah berlaku.

"(Ia) adalah tidak benar dan ia satu tuduhan yang tidak berasas malah khabar angin mengenai pertemuan itu sengaja diadakan untuk menimbulkan spekulasi terhadap Dr Mahathir Mohamad,” katanya.

Jumaat, 12 Jun 2020

PKPP: Mesyuarat, Seminar, Kursus Dan Latihan Dibenarkan – Ismail Sabri

UMNO ONLINE

PUTRAJAYA – Kerajaan membenarkan penganjuran mesyuarat, seminar, kursus dan latihan diadakan seperti biasa, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

“Bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) mengenai perkara itu sedang diperhalusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

“Insya-Allah, saya akan umumkan SOP tersebut (nanti),” katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Sejak PKP dilaksana pada 18 Mac lepas, kerajaan tidak membenarkan acara-acara tersebut dianjurkan oleh mana-mana agensi dalam usaha membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Mengenai operasi kawasan rehat dan rawat (R&R), Ismail Sabri menggesa pengusaha gerai di kawasan berkenaan menyediakan cecair pencuci tangan dan sabun selain merekod data peribadi pengunjung kerana orang ramai dijangka mula pulang ke kampung mulai hari ini hingga Ahad

“Pengunjung R&R perlu merekodkan nama, nombor telefon dan suhu badan melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual melalui buku log,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kawasan permainan kanak-kanak di R&R ditutup buat masa ini manakala operasi gerai makan dibenarkan beroperasi setiap hari bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Orang ramai diminta untuk mematuhi SOP R&R yang ditetapkan dan juga mengamalkan disiplin diri apabila berada di kampung halaman dan amalkan kawalan kendiri untuk kekal selamat,” katanya.

Susulan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun, kerajaan memberikan kelonggaran peraturan termasuk kebenaran untuk merentas negeri namun larangan masih dikenakan terhadap kawasan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – BERNAMA