Selasa, 6 Mac 2018

Sah Pas cabar Azmin di Parlimen Gombak

Muhamad Izwan Mohd Zubit
 
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 
 
KUALA LUMPUR – Pas mengesahkan akan mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak dan termasuk kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

Sah Pas cabar Azmin di Parlimen Gombak

Pengumuman itu dibuat oleh Yang Dipertua Pas Gombak, Salehuddin Nasir dalam ceramahnya di Gombak Setia semalam.

Dalam masa yang sama mereka juga secara rasmi melancarkan jentera PRU-14 yang akan berkempen untuk calon-calon parti itu.

“Lapis pimpinan tertinggi Pas memberikan perhatian kepada Parlimen (Gombak) ini… oleh kerana itu kita kena bangkit berjuang habis-habisan, berjanji dengan izin Allah menghadiahkan tiga DUN dan satu parlimen (Gombak) kepada Pas untuk diraih kemenangan pada hari-hari akan datang,” katanya.

Kerusi Parlimen Gombak antara kerusi yang mempunyai jumlah penyokong Pas dan Barisan Nasional yang ramai dan dua daripada tiga DUN di bawah Parlimen itu dimenangi Pas sejak dua penggal lalu.

Mohamed Azmin memenangi Parlimen Gombak sejak tahun 2008. selepas menumbangkan Datuk Said Anuar Said Ahmad dari BN pada PRU-12 dengan majoriti 6,867 undi dan sekali lagi mempertahankan kerusi itu pada PRU-13 dengan majoriti undi merosot kepada 4,734 undi.

Pengaruh Pas dan BN kelihatan hampir setanding di DUN Gombak Setia dan DUN Hulu Kelang.

Wakil rakyat Pas, Hasbullah Mohd Ridzwan mempertahankan kerusi DUN Gombak Setia dengan majoriti 1,681 undi manakala wakil rakyat Parti Amanah Negara (PAN), Saari Sungib yang dahulu Pas mempertahankan kerusi DUN Hulu Kelang dengan majoriti 2,811 undi.

Wakil rakyat PKR pula, Amirudin Shari mempertahankan kerusi DUN Batu Caves dengan majoriti 3,261 undi.

Nasib calon-calon Pakatan Harapan termasuk Azmin di Parlimen Gombak dan DUN di bawahnya menjadi tanda tanya selepas Pas sebulat suara memutuskan kerjasama politik dengan PKR pada April tahun lepas. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: