Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
SHAH ALAM: PAS Selangor akan menulis surat kepada Istana Selangor serta
menggesa Jabatan Audit Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) menyiasat penahanan peruntukan tahunan untuk ADUN parti
itu.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi berkata siri tindakan itu
akan diambil dalam beberapa hari lagi selepas Menteri Besar, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali masih enggan memberi kebenaran bertulis untuk ADUN PAS
diberikan akses kepada dana itu.
Pembekuan RM800,000 untuk setiap wakil rakyat kerajaan negeri itu hanya
melibatkan ADUN PAS dan dikatakan bertujuan mencantas khidmat mereka
kepada penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Sallehen berkata pihaknya sudah memberikan ruang secukupnya kepada
Azmin untuk menyelesaikan kemelut itu tanpa melibatkan istana atau
mana-mana pihak lain.
“Kita akan ambil beberapa langkah selepas ini, termasuk menulis surat
kepada Tuanku (Sultan Selangor). Yang kedua, kita akan minta Jabatan
Audit Selangor membuat satu siasatan.
“Kalau masih tiada penyelesaian, maka kita mungkin akan buat sedikit
pengaduan kepada SPRM untuk melihat unsur-unsur salah guna kuasa di
peringkat eksekutif (kerajaan negeri),” kata Sallehen dalam temubual
eksklusif bersama Antarapos, semalam.
Sallehen berkata kemelut itu sudah masuk bulan ketiga kerana pejabat
menteri besar enggan mengeluarkan arahan bertulis kepada pegawai daerah
untuk meluluskan dana yang dituntut oleh ADUN PAS untuk projek-projek
mesra rakyat di kawasan mereka.
"Dia (Azmin) mengarah (pegawai daerah) secara lisan sahaja. Itu bukan cara urus tadbir dalam sesebuah kerajaan.
“Pegawai daerah (hanya) akan mengikut arahan bertulis yang sedia ada.
Tetapi dengan arahan secara lisan, pegawai daerah pun tidak boleh
mengeluarkan (dana tersebut),” kata beliau.
Sallehen percaya keengganan Azmin mengeluarkan arahan bertulis itu dipengaruhi pertimbangan politik.
“Pejabat Daerah (kata) dia kena rujuk kepada MB.
Bila (rujuk) pada menteri besar, dia kata ia teknikal sahaja dan tolak balik pada pegawai daerah.
“Jadi ia semacam tolak-tarik, mungkin ia sengaja untuk melengahkan waktu sehingga Parlimen dan DUN bubar,” kata Sallehen.
Sallehen berkata siasatan Jabatan Audit Negeri dan SPRM perlu untuk
mengenal pasti terdapat atau tidak kepincangan urus tadbir dan
kemungkinan wujud penyelewengan kuasa melibatkan Pejabat Menteri Besar.
“Pengaduan kepada SPRM adalah untuk menyiasat sekiranya berlaku unsur
salah guna kuasa di peringkat eksekutif dan pelaksana, kerana
menjalankan arahan tidak bertulis,” kata beliau.
Menurutnya, Jabatan Audit Selangor pula perlu menyiasat dan mengambil
tindakan ke atas ketidakpatuhan prosedur bayaran berikutan tidak ada
arahan bertulis dari Pejabat MB Selangor untuk tindakan penahanan
peruntukan itu.
PAS dan PKR sebelum ini bersetuju untuk terus bersama dalam kerajaan
negeri sehingga PRU14, selaras dengan mandat yang diperolehi daripada
pengundi pada pilihan raya lalu.
PRU 14 yang diramal akan diadakan dalam beberapa minggu saja lagi,
dijangka menyaksikan persaingan sengit baik di peringkat DUN mahupun
Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan