THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Pemuda MIC mencabar kerajaan negeri Selangor untuk menjawab segala persoalan berhubung isu pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Coalfields, Kuala Selangor dan asrama anak-anak peladang seperti yang dijanjikan sejak 2012, dalam tempoh tiga hari.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan P. Punithan berkata terdapat pelbagai kesangsian yang wujud memandangkan janji manis kerajaan negeri Selangor hanya kekal janji dan tidak dapat ditunaikan.
“Isu pembinaan sekolah itu diumumkan Menteri Besar Selangor ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2012. Menurut pelan dan perancangan awal, sekolah baharu itu akan dibina di keluasan empat ekar tanah dengan 18 bilik darjah, perpustakaan, makmal sains dan komputer, kantin dan dewan yang boleh menampung 800 orang, dengan peruntukan RM4 juta.
“Namun kini, semuanya berubah apabila pada tahun 2016, kelulusan pembinaan sekolah yang dipersetujui kerajaan negeri hanya untuk enam bilik darjah, bilik guru, perpustakaan dan kantin dengan peruntukan kekal RM4 juta,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat MIC, di sini, hari ini.
Punithan berkata harapan anak-anak peladang Coalfieds untuk belajar di Sekolah Tamil berasrama juga nyata punah apabila janji itu juga tidak ditepati.
Menurut Punithan, sebanyak RM7 juta telah diperuntukkan pada awal untuk pembinaan asrama berhampiran SJKT Coalfields di tapak seluas kira-kira 3 hektar.
“Namun yang menghairankan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamad Azmin Ali ketika dalam ucapan belanjawan 2017 negeri Selangor menyebut ‘kerajaan negeri juga bercadang untuk membangunkan sebuah asrama di atas tanah kerajaan bersebelahan SJKT Midlands di Seksyen 7, Shah Alam dengan peruntukan sejumlah RM 4 juta’.
“Sekiranya asrama ini menelan belanja RM4 juta, apakah yang berlaku dengan RM7 juta yang telah diperuntukkan sebelum ini,” soalnya.
Oleh yang demikian, katanya semua pihak yang berkenaan diharap akan menjawab segala persoalan yang dibangkitkan kerana isu ini telah lama berlanjutan sejak 2012.
“Kita beri masa tiga hari, kita ada kesemua bukti, dan harap dapat jawapan konkrit daripada mereka, sekiranya tidak mendapat maklum balas, pihak kami akan teruskan dengan tindakan selanjutnya. Kami komited dalam menyelesaikan isu ini,” katanya.
Ketika ditanya sama ada terdapat unsur rasuah dalam perkara ini, Punithan berkata beliau akan menjawabnya selepas Selasa minggu depan.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan