TUMPAT: PAS akan tetap mengekalkan amalan bai'ah kepada calon-calonnnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, konsep dan dasar
bai'ah dikekalkan manakala sebarang lafaz tambahan bergantung kepada PAS
negeri.
“Tambah-tambahan itu mengikut keadaan negeri masing-masing, kita sudah
ada asas dan kita berpegang kepada asas,” katanya kepada pemberita
selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kali Ke-61 PAS Kawasan Tumpat di
Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya Abdul Hadi berkata, PAS meminta ahli wala’
atau setia kepada Allah dan Rasul serta taat kepada parti dalam perkara
yang tidak maksiat.
“Kita ikat pemimpin kita dengan bai'ah, baiah maknanya jual, kita jual diri, harta, keluarga dan nikmat kepada Allah.
“Bai'ah ini lebih daripada sumpah, orang yang tidak ada feqah politik
akan anggap ia perkara sambil lewa, mereka akan bebas buat apa sahaja.
“Politik kita ada perhitungan dosa dan pahala, bukan puak-puak yang
anggap boleh buat dosa politik, boleh langgar bai'ah, duit banyak buat
umrah, (dosa) selesai begitu sahaja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan