DI dalam satu dialog tertutup di
Nanyang Technological University, Singapura, pada 10 Disember 2014,
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pernah berkata bahawa, jika
Perlembagaan Persekutuan kekal seperti sekarang maka “kita” (orang-orang
bukan Melayu bukan Islam) berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri
Malaysia.
Ini kerana Perkara 43 (2) Perlembagaan
Persekutuan hanyalah mensyaratkan bahawa seorang Perdana Menteri
hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dari kalangan “ahli Dewan
Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli
Dewan Rakyat itu” dan tidak semestinya dari orang-orang Melayu Islam.
Cara untuk seseorang ahli Dewan Rakyat
mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu adalah dengan
memastikan bahawa parti politik yang beliau wakili, sama ada secara
bersendirian atau secara berkumpulan bersama-sama parti-parti politik
lain yang ia berpakat, mendapat majoriti kerusi di dalam Dewan Rakyat.
Di dalam PRU 14, walaupun persempadanan
semula kawasan pilihan raya yang dibuat di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad
pada tahun 2003 merugikan orang-orang Melayu Islam, mereka masih lagi
menjadi penentu utama keputusannya kerana kerusi luar bandar jauh lebih
banyak berbanding kerusi bandar dan separa bandar.
Perkara ini boleh berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan ukuran pewajaran (weightage)
diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya di atas asas “kesulitan
yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan
kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar
bandar”.
Parti politik yang paling lantang sejak
zaman berzaman menentang perkara ini adalah DAP, yang berulang kali
menyebut betapa persempadanan semula kawasan pilihan raya wajib
dilakukan berdasarkan kepada prinsip satu orang satu undi (one man one vote) di mana ia di antara lainnya telah disuarakan oleh pemimpin DAP berikut:
(1) Lim Guan Eng pada 18 Mac 2013.
(2) Lim Kit Siang pada 6 Oktober 2014, 3 Januari 2016, 18 September 2016 dan 26 Disember 2016.
(3) Dr Ong Kian Ming pada 20 Disember 2017.
Selepas PRU 13, DAP telah mengemukakan
satu draf persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat
berdasarkan prinsip satu orang satu undi yang, selain menambahkan
bilangan kerusi Dewan Rakyat menjadi 262, melipatgandakan kerusi bandar
menjadi 143 berbanding 80 kerusi luar bandar dan 39 kerusi separa
bandar.
Mengikut Perkara 113(2)(i) Perlembagaan
Persekutuan, badan yang diberi kuasa untuk membuat persempadanan semula
kawasan pilihan raya ini adalah Suruhanjaya Pilihan Raya yang, mengikut
Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, “hendaklah dilantik oleh Yang
di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja”.
Di dalam majlis Pelancaran Manifesto PRU
14 Pakatan Harapan (PH) pada 8 Mac lalu, Ketua Sekretariat Pakatan
Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, mendedahkan bahawa salah seorang
penulis utama manifesto itu ialah Dr Ong Kian Ming dari DAP, antara
pemimpin yang paling lantang bersuara mutakhir ini supaya kerusi bandar
dipecahkan.
Janji 17 Manifesto PRU 14 PH, “menjamin
ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya”, menyebut “pelantikan
Ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya mestilah melalui proses perakuan oleh
Parlimen” dan “Kerajaan PH akan memastikan nisbah yang adil dalam
persempadanan semula kawasan pilihan raya”.
Jika PH memerintah, bila kuasa melantik
Suruhanjaya Pilihan Raya tidak lagi dimiliki sepenuhnya oleh Yang
di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja, dan bila persempadanan semula
kawasan pilihan raya dibuat berdasarkan prinsip satu orang satu undi,
maka sudah tentulah jumlah kerusi bandar akan berlipat ganda. Bila
jumlah kerusi bandar berlipat ganda maka sudah tentulah DAP yang akan
berkuasa. Mudah sahaja sifirnya.HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan