AMNI JAGAT
Parti adalah suatu wadah bagi seorang penggiat politik untuk membawa
ideologi yang dipegang dalam kehidupan. Sememangnya di Malaysia selama
ini telah mempamerkan beberapa senario yang membuatkan politik itu
menjadi suatu wadah yang menarik. Namun bagi seseorang yang selama ini
berpegang kepada kesan ‘selesa’ sebagai pemerintahan, hal itu agak payah
atau susah untuk mereka menunjukkan sikap berpaling terhadap apa yang
dimiliki selama ini.
Perkara itulah yang dihadapi oleh seorang tokoh wanita di kawasan
Parlimen Tanjung Piai, Johor yang beliau merupakan seorang penggerak
yang efektif dalam membentuk kerangka politik pemerintah di kawasan
tersebut. Beliau yang dikenali sebagai Mak Ne atau nama sebenarnya
Normah binti Mohamad, berusia 65 tahun adalah tokoh yang tidak asing
lagi di kawasan Tanjung Piai.
Beliau adalah seorang peniaga kecilan. Ibu tunggal kepada tujuh orang
cahaya mata itu adalah seorang wanita yang gigih dalam menjalankan
aktiviti masyarakat setempat. Di tempat kediaman beliau di Kampung
Serkat, Pontian Johor merupakan saksi di mana tokoh-tokoh tempatan dalam
kalangan Umno Barisan Nasional (BN) telah diangkat di situ.
Tokoh seperti Datuk Mohamad Osman Yusof atau dikenali sebagai Tok Moy
yang kini menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno Tanjung Piai
adalah merupakan salah seorang tokoh yang pernah bertandang di rumah
beliau. Sememangnya jasa Mak Ne begitu banyak terhadap masyarakat
setempat khususnya kaum wanita di Tanjung Piai melalui gerakan beliau
sebagai seorang Ketua Wanita Umno Bahagian.
Sehingga kini, Mak Ne masih lagi disegani oleh masyarakat khususnya
kaum hawa yang tinggal di kawasan Tanjung Piai. Pengerusi Jemaah
Pengarah Wanita Peladang Pontian Selatan ini juga turut aktif dalam
menjalankan aktiviti kempen sewaktu beliau bersama-sama dengan
perjuangan Umno-BN sebelum ini.
Namun setelah apa yang dilaluinya selama tiga puluh lapan tahun di
dalam Umno, Mak Ne akhirnya mengubah haluan wadahnya dari selesa dengan
parti pemerintah kepada aliran pembangkang. Hari ini Mak Ne yang
dikenali sebagai seorang yang berjasa di dalam Umno telah
mengisytiharkan untuk bersama-sama dalam parti baru yakni Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai wadah yang baharu.
Beliau sebelum ini bertindak keluar dari parti Umno kerana melihat
bagaimana nasib rakyat sekeliling yang disantuni selama ini semakin
terjerat dengan kesan-kesan pemerintahan di bawah pemimpin utama UMNO
yakni Dato Seri Najib Razak. Tindakan lebih parah lagi bagi Mak Ne
ketika di dalam Umno apabila Tun Dr. Mahathir sebagai mantan Perdana
Menteri telah ditentang hebat oleh Perdana Menteri Najib Razak.
Hal itu membuatkan Mak Ne sayu sehingga Mak Ne mulai memikirkan
apakah masih ada sinar harapan untuk mengubah parti pemerintah itu
kepada haluan untuk menyelamatkan rakyat. Lebih memuncak lagi apabila
Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah
dipecat kerana bersuara bagi pihak rakyat dalam isu berkenaan 1MDB yang
menjadi liabiliti kepada pemerintahan di Malaysia ini.
Keputusan telah dibuat, Mak Ne telah bertekad untuk mengubah haluan
dengan berusaha menukar pakaian dari hidup sebagai seorang yang selesa
memerintah kepada haluan pembangkang. Bagi Mak Ne, perkara tersebut
bukanlah sesuatu yang mudah kerana lebih dari separuh usianya, beliau
terlibat di dalam parti Umno.
Oleh kerana prinsip untuk menyelamatkan rakyat, Mak Ne membuat
keputusan untuk meninggalkan tahap keselesaannya kepada perit jerih
perjuangan demi menyelamatkan nasib rakyat yang lebih disayangi oleh Mak
Ne. Kini beliau telah berada di dalam Bersatu sebagai seorang tokoh
wanita di Tanjung Piai dan hasrat beliau adalah untuk mengubah serta
meletakkan harapan yang baru kepada rakyat.
Beliau kini yakin, walaupun sebelum ini beliau menjadi seorang yang
teguh sebagai pemikir gerak kerja wanita UMNO dan pernah membuat gerak
kerja menewaskan musuh politik Umno di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang
suatu ketika dahulu, bagi Mak Ne itulah adat resam dalam perjuangan
memartabatkan rakyat di Malaysia ini.
Hari ini, Mak Ne tidak lagi melihat Umno masih mempunyai peluang dan
ruang untuk membawa agenda menyelamatkan rakyat di negara ini. Namun
semangat Mak Ne tidak pernah luntur dan kini beliau semakin bersemangat
untuk menyalakan obor kebangkitan rakyat sebagai panji untuk beliau
terus berjuang di dalam arena politik di Malaysia khususnya di Tanjung
Piai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan