TEMERLOH: Jentera PAS
Kawasan Temerloh diseru untuk bergerak kerja semaksimumnya bagi
mempertahankan kemenangan PAS di Parlimen Temerloh dan Dun Kuala
Semantan disamping menawan Dun Mentakab dan Lanchang.
Penegasan itu dinyatakan Naib Presiden
PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
PAS Temerloh Kali Ke-31 di Markaz Tarbiah Darul Amin, Sungai Gau, di
sini kelmarin.
Menurut beliau, Temerloh merupakan salah
satu daripada Parlimen yang disenaraikan mesti menang seperti
disasarkan oleh Presiden PAS dalam menjadikan PAS sebagai King Maker
selepas PRU akan datang.
Maka itu katanya, Jentera PAS Temerloh
mestilah sudah berada pada persiapan terbaik buat masa ini di mana gerak
kerja perlulah berfokus pada golongan sasaran terutamanya pengundi muda
yang pertama kali mengundi.
“Pilihanraya kali ini sangat penting
buat kita (PAS). Kerana ia akan menentukan survival kuasa politik Islam
dalam pentadbiran negara.
"Kita masuk bertanding untuk memerintah
bagi mengembalikan semula kuasa politik Islam. Inilah yang tercatat
dalam Perlembagaan PAS”, ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.
Ustaz Idris turut membacakan perutusan
khas Presiden PAS khusus buat Jentera PAS Temerloh yang antara lain
memberi peringatan agar semua ahli mengukuhkan akidah perjuangan.
Perkara itu jelas Tuan Guru, mesti
dilaksanakan melalui budaya ilmu dan hubungan dengan Allah agar tidak
mudah goyah terhadap ujian perjuangan dan juga kemenangan yang akan
dikecapi nanti.
Ustaz Idris juga sempat menitipkan
harapan khusus buat jentera muda PAS untuk aktif membantu gerak kerja
pilihan raya PAS khususnya dalam media massa dan media sosial.
Menurut beliau, jentera PAS wajib
menjadikan akhbar Harakah dan portal Harakahdaily sebagai rujukan utama
dalam segala isu dan maklumat kerana ia adalah lidah rasmi parti dalam
membawa suara dan keputusan pimpinan. -HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan