Jumaat, 23 Mac 2018

Kebebasan bersuara: Jangan percaya Tun M - Anina

Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas pengasas PPBM Anina Saadudin tidak lagi mempercayai 'janji manis' yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pemansuhan undang-undang menyekat kebebasan bersuara di negara ini.
 
Beliau memetik kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang berjanji akan memastikan media arus perdana bebas daripada kawalan parti politik sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
 
"Saya tidak lagi mempercayai Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Malaysia telah menghadapi 5 pilihanraya (1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999) sepanjang tempoh 22 tahun Tun M menjadi Perdana Menteri. 
 
"Kesemuanya dimenangi oleh BN dan pembangkang langsung tidak mendapat peluang walaupun seminit untuk berkempen di media. Semua media dikawal sepenuhnya oleh kerajaan dan media sosial juga tidak wujud pada ketika itu," katanya kepada Antarapos.
 
Anina yang mengimbas kembali tindakan Dr Mahathir yang menahan Lim Kit Siang dan Karpal Singh bersama 10 orang yang lain pada tahun 1987, dan terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua tahun tanpa dibicarakan.
 
Seramai 1,200 tahanan ISA secara keseluruhan telah dihukum tanpa dibicarakan. 
 
Pada tahun 2001, Raja Petra di tahan ISA kerana penulisan blognya yang pro pembangkang. Kes ini merupakan kes kesalahan politik yang pertama di media sosial.
 
Anina menegaskan kerajaan sekarang lebih terbuka dan tidak mengawal kemasukan maklumat melalui laman media sosial.
 
"Terdapat berpuluh-puluh media pro pembangkang di Malaysia termasuk media cetak dan sosial media dan tiada satu pun antara mereka ini yang diharamkan di Malaysia.
 
"Sebagai contohnya, menurut kenyataan DS Zahid Hamidi, hanya satu surat amaran tegas, dua surat amaran, 14 surat teguran, 44 surat nasihat dan empat surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada media dan pencetak pada tahun 2017. 
 
Beliau menyeru rakyat untuk menilai sendiri, bagaimana Dr Mahathir tidak pernah diganggu, diugut mahupun dipenjarakan walaupun telah mengkritik dan menyaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 
 
Malah katanya, tiada seorang pemimpin PH atau rakyat biasa yang menyokong mereka dipenjarakan pada era Najib.
 
 

Tiada ulasan: