Oleh Ainor Rahim
GOMBAK: Kaji selidik Invoke Malaysia (Invoke) kendalian Naib Presiden
PKR, Rafizi Ramli kerap tersasar daripada kajian pihak-pihak lain malah
terlalu cenderung ke arah Pakatan Harapan (PH).
Itu reaksi Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung
hasil kajian badan itu yang mengatakan PAS akan tewas di Kelantan malah
tidak akan memenangi waima satu kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
"Kita tidak sekat mereka nak buat kajian, cuma kajian itu perlu lebih
adil. Kajian jangan hanya nak sampai objektif yang kita hendak. Lalu
kita bentuk persepsi kajian kita ke benda yang macam itu. Bagi saya, ini
hak masing-masing.
"Kajian Invoke ini daripada dulu lagi satu kajian yang jauh tersasar
daripada pelbagai kajian daripada pihak-pihak yang lain. Kajian beliau
ini terlalu pesimis kepada PH dan nampak terlalu berat sebelah," katanya
kepada pemberita.
Rafizi sebelum ini mendedahkan hasil kajian Invoke bahawa PAS akan
tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi, termasuk di kubu
kuat mereka, Kelantan.
Hasil kajian itu juga menunjukkan PH akan memenangi 89 kerusi Parlimen
di Malaysia Barat, meletakkanya di hadapan 76 kerusi Parlimen yang
dimenangi BN, sekiranya berlaku perlawanan pelbagai penjuru secara
menyeluruh.
Menurut Rafizi, BN mengekalkan Terengganu dan Pahang tetapi berjaya merampas Kelantan daripada PAS selepas 28 tahun berusaha.
Keputusan juga menunjukkan PH akan mengekalkan Selangor dan Pulau
Pinang, dan memasukkan Kedah, Johor dan Perak ke dalam senarai negeri
yang dikuasainya.
Negeri Sembilan dan Melaka pula bergantung kepada perwakilan sama
banyak daripada BN dan PH di DUN, kata Ahli Parlimen Pandan itu.
Ramalan itu bagaimanapun tidak memasukkan kiraan di Sabah dan Sarawak.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata ahli akar umbi PAS tidak perlu
tergugat atau percaya dengan hasil kajian Invoke berikutan parti itu
sendiri mempunyai kajian tersendiri, yang lebih realistik.
Malah kata Tuan Ibrahim, beberapa kajian pihak luar turut mendapati PAS berada pada landasan yang betul menuju PRU14.
"Sebagai contohnya, hampir semua kajian pihak lain mendapati PAS berada
di landasan yang betul. Kerusi yang kita pertahan dan kita yakin akan
pertahankan lagi. PAS tidak terpengaruh dengan kajian Invoke. Bagi kita,
yang penting kita buat kerja tungkus lumus dan letak sasaran untuk
capai sasaran kita. InsyaAllah.
"Bagi kita, yang penting kita buat kerja. Kita tidak peduli apa pun.
Bagi saya, kalau kita menerima dua-dua pihak, satu kajian yang 'belah
kanan' dan kajian beliau.
Tetapi PAS kita ada badan pengkaji kita termasuk untuk di peringkat
universiti dan sebagainya dan kita lebih tengok, lebih adil dari segi
kajian. Tidak hanya 'berat sebelah' kepada satu-satu pihak," katanya.
Terdahulu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak hasil
kajian Rafizi dan menyifatkan ianya sekadar 'ralaman atas meja' tanpa
melibatkan akar umbi.
Rafizi kemudiannya memberitahu kaji selidik itu membabitkan data terkumpul daripada 500,000 pengundi seluruh negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan