Jumaat, 23 Mac 2018

Jom debat 1MDB, projek terowong, Guan Eng beritahu ketua MCA



Lim Guan Eng berkata bekas presiden MCA Chua Soi Lek berani berdebat dengannya.


GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini mencabar Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berdebat mengenai 1MDB dan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, mengatakan debat itu demi kepentingan negara.

Beliau berkata cabaran ini dibuat oleh kerana Liow belum respon kepada hasrat berdebat sebelum ini, yang disahut oleh timbalannya Datuk Seri Wee Ka Siong.

“Mari kita lihat sama ada dia berani seperti Chua Soi Lek (bekas presiden MCA) yang berani berdebat dengan saya.

“Rakyat akan hakimi perdebatan kami. Saya mencabar Liow kerana kami berdua ketua parti,” kata Lim pada sidang media di Komtar hari ini.

Beliau berkata antara topik yang dia mahu debatkan ialah berkenaan dana 1MDB< yang didakwa diterima “MO1” dan ahli perniagaan Low Taek Jho.

MO1 merujuk kepada “Malaysia Official 1”, akronim yang digunakan untuk merujuk kepada satu pihak dalam kes pelucuthakan sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Do membuat 2 tuntutan pelucuthakan sivil terhadap aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) yang didakwa dibeli dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Tindakan undang-undang itu merupakan tindakan undang-undang terbesar yang perlu dilakukan pihak berkuasa AS melalui Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi DoJ.

Chua pernah berdebat dengan Lim sebanyak 2 kali pada 2012, kebanyakannya mengenai parti mana yang paling banyak memberi manfaat kepada rakyat.

Lim membuat cabaran itu selepas Wee dilaporkan mengajak beliau berdebat mengenai projek terowong dan jalan raya Pulau Pinang, isu yang menjadi tujahan Barisan Nasional terhadap kerajaan negeri pimpinan DAP.

Lim bagaimanapun menolak cabaran Wee itu, dengan berkata dia hanya akan berdebat dengan seseornang yang sama taraf dengan jawatan setiausaha agung yang disandangnya.

Walaupun Wee menggelar Lim pengecut kerana tidak menyahut cabarannya, Lim menepis dengan berkata kata-kata Wee tidak mencacatkan dirinya kerana dia pernah “melawan Umno dan BN” dan pernah ditahan dan dipenjarakan.

Lim merujuk kepada penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1988 dan pemenjaraan pada 1998 selepas dia didapati bersalah kerana menyebarkan dakwaan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik merogol seorang gadis bawah umur.

FMT sudah menghubungi Liow dan sedang menunggu jawapannya.

Tiada ulasan: