Ahad, 11 Mac 2018

Jamin Islam berdaulat: PAS boleh buat?

 
 

(Teks transkrip dan suntingan dari jawapan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia di Program Anda Tanya Muhammad Khalil Abdul Hadi (Ketua Pemuda PAS) Jawab di Facebook Live Sinar Harian pagi tadi yang disediakan oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR)

KEDAULATAN Islam

PAS ini adalah sebuah gerakan Islam, bukan semata-mata sebuah parti politik. Dan kita bergerak dengan tiga sudut. Sudut yang pertamanya ialah politik. Yang keduanya ialah dakwah. Dan yang ketiganya ialah tarbiyah dan pendidikan.

Dan setiap satu daripada sudut-sudut ini, kita gunakannya untuk memastikan kedaulatan Islam dalam negara kita terjamin. Dari sudut politik, maka PAS menyertai pilihan raya sejak daripada pilihan raya yang pertama tahun 1955 sehinggalah pilihan raya yang akan kita tempuhi dalam masa yang terdekat ini, kita masuk pilihan raya sama ada kita bertindak sebagai parti pembangkang untuk menegur, menasihati dan menyokong apa sahaja polisi dan dasar yang baik untuk Islam dalam negara kita.

Dan juga di negeri-negeri yang diperintah oleh PAS contohnya di Negeri Kelantan, di Negeri Terengganu satu ketika dulu, di Negeri Kedah dan juga Negeri Selangor bersama-sama dengan parti-parti lain. Kita mengambil peluang kuasa yang diberikan oleh rakyat untuk kita mendaulatkan Islam dalam ruang lingkup yang kita mampu dan juga tidak lari daripada kedudukan Islam dalam perlembagaan.

Dari sudut dakwah, maka PAS bergerak di setiap sudut dalam masyarakat untuk menyampaikan mesej dakwah Islam kepada masyarakat sama ada orang Islam ataupun bukan Islam. Islam yang dimaksudkan di sini ialah Islam yang sederhana. Contohnya dalam Dewan Pemuda, kami mempunyai jabatan-jabatan yang kami fokus kepada minat anak muda masing-masing dan kami membawa mesej Islam untuk menarik anak muda. Contohnya kami ada kelab motosikal ARC, kami ada kelab empat kali empat, kami ada kelab memanah. Jadi setiap kelab-kelab yang kami tubuhkan ini, kami dekati anak muda dan kami terapkan nilai-nilai Islam untuk membimbing mereka supaya menjadi pemuda Islam yang baik untuk ugama dan untuk negara.

Yang ketiganya ialah dari sudut tarbiyah dan pendidikan. Dalam PAS kami mempunyai institusi-institusi pendidikan. Dalam Dewan Pemuda sendiri kami berbangga dengan Jabatan PASTI yang hari ini kami mempunyai lebih daripada 100 ribu pelajar-pelajar di seluruh negara. Ini sebagai satu sumbangan PAS kepada masyarakat dalam negara untuk memastikan kedaulatan Islam itu terjamin


Tiada ulasan: