Memaparkan catatan dengan label AKHLAK/ MORAL. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AKHLAK/ MORAL. Papar semua catatan

Rabu, 19 Ogos 2020

Serah anak kepada polis

Dziyaul Afnan Abdul Rahman
 
NANDA (kiri) menunjukkan motosikal yang digunakan dalam lumba haram di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun di IPD Arau. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TIDAK tahan dengan kenakalan anak lelakinya yang gemar berlumba motosikal, seorang bapa menghantar lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran itu ke balai polis, semalam.

Lelaki berusia 18 tahun itu ditahan bersama empat lagi rakannya yang berusia antara 15 hingga 20 tahun selepas terbabit dalam aksi lumba haram di Lebuhraya Kuala Perlis-Changlun berdekatan Kampung Banat pada 10.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, pihaknya ke rumah suspek, kelmarin sejurus kejadian itu namun lelaki berkenaan melarikan diri.

"Kelima mereka dikejar anggota polis sehingga ke rumah mereka di Arau dan empat rakannya ditahan.

"Namun suspek lari dari rumah sebelum bapanya hadir ke balai polis bersama anak lelakinya itu pada pagi semalam.

"Bapanya juga mengaku anak lelakinya itu sering terbabit dengan kegiatan berkenaan sehingga merunsingkan fikiran dirinya sewaktu hadir ke balai polis semalam," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, hari ini.

Nanda berkata, hasil pemeriksaan air kencing kelima mereka didapati negatif daripada pengaruh dadah dan kesemua motosikal yang ditunggang didaftarkan atas nama ahli keluarga mereka.

"Tiga daripada mereka didapati bawah umur dan hanya seorang sahaja yang masih bersekolah dan lainnya sudah bekerja.

"Pelbagai alasan yang diberikan sewaktu ditanya mengenai kegiatan mereka termasuk alasan suka-suka untuk berlumba dan berbagai lagi. Namun apa yang kita hairan, ibu bapa mereka seolah membenarkan anak mereka keluar dari rumah dan pulang lewat malam meskipun bawah umur," katanya.

Nanda berkata, kesemua mereka direman bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan1987.

Selasa, 18 Ogos 2020

Pasang Jalur Gemilang terbalik perbuatan khianat pada negara

ainulillia

 

Provokasi ini dirancang mahu pengaruhi pemikiran anak muda?

BANGI – Tindakan memijak dan memasang Jalur Gemilang secara terbalik adalah perbuatan yang dianggap mengkhianati simbol kedaulatan negara. 

Justeru, sekiranya mereka memberi alasan tidak sengaja atau tersilap pasang – sukar untuk diterima – memandangkan Malaysia sudah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun. 

Pengerusi Kelab Remaja Isma (KRIM), Ibrahim Shakrawi berkata, sudah 63 tahun tanah air ini merdeka, maka menjadi kewajipan seluruh rakyat menjunjung tinggi serta menghormati bendera Malaysia.  

“Pelik, sudah menjadi ‘trend’ pasang bendera terbalik bila saja sambutan bulan kemerdekaan. Perkara ini mula sejak 2014 lagi, selepas kemenangan besar parti pembangkang ketika itu. 

“Setiap tahun provokasi-provokasi khianat ini dilakukan,” katanya mengulas beberapa insiden Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik sejak kebelakangan ini.

Minggu lalu, sebuah sekolah di Batu 4, Jalan Kapar tular kerana menggantung Jalur Gemilang pada dinding secara terbalik.

Insiden sama juga turut berlaku di sekolah jenis kebangsaan di Kluang, Johor apabila bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik pada tiang bendera sekolah berkenaan.

Kelmarin, tular lagi sekeping gambar apabila bendera Malaysia dipasang secara terbalik di sebuah restoran di Tawau, Sabah.

Ketua Polis Daerah Tawau dilaporkan berkata, hasil siasatan mendapati pemasangan jalur gemilang secara terbalik itu tidak disengajakan.

“Pemasangan bendera itu dilakukan oleh pekerja restoran terbabit yang secara tidak sengaja terbalik,” katanya.

Mengulas lanjut Ibrahim percaya perbuatan ‘mereka’ itu bagaikan satu bentuk provokasi yang dirancang oleh pihak yang inginkan generasi baru hilang rasa cinta negara. 

“Lebih-lebih lagi provokasi khianat ini sememangnya akan banyak mempengaruhi pemikiran anak muda remaja yang masih ‘fragile’ dalam memahami jati diri cintakan negara,” katanya.

Beliau dengan penuh rasa tanggungjawab meminta pihak berkuasa untuk bertindak dengan lebih tegas terhadap isu ni. 

“Buang kerakyatan bagi yang khianat pada negara. Tindakan berat mesti diambil kepada mereka yang khianat,” katanya.

Bagaimanapun di Johor, polis menahan seorang wanita berusia 55 tahun, kerana dipercayai memasang Jalur Gemilang terbalik di sebuah kedai makan di Taman Nasib, Kluang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, hasil siasatan mendapati premis terbabit yang menjalankan perniagaan kedai makan sejak tahun 2017, itu tidak lagi beroperasi sejak awal Januari lalu.

“Pemasangan bendera terbalik ini adalah sejak premis beroperasi iaitu pada tahun 2017 hingga aduan dibuat oleh orang awam. Turut dirampas sehelai bendera Malaysia,” katanya

Ekuiti Bumiputera merosot: Kerajaan boleh cuba tambat mata wang dengan komoditi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Reformasi polisi dan sistem monetari atasi jurang pendapatan bandar, luar bandar

BANGI – Kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera yang jatuh ke paras 16 peratus – jumlah yang makin merosot – perlu diambil serius kerana ketidakseimbangan kekayaan antara kaum majoriti dan minoriti akan menyebabkan ketidakstabilan daripada segi politik dan juga hubungan antara kaum. 

Ketidakseimbangan itu juga akan menimbulkan rasa tidak puas hati dan hilangnya semangat bangsa Malaysia, kata penganalisis ekonomi, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Namun, Pensyarah Kanan, Putra Business School (PBS) itu berkata, ada beberapa lagi statistik yang perlu diamati selain 16 peratus yang hanya membabitkan daripada segi pemilikan ekuiti. 

Beliau menjelaskan, statistik pemilikan Bumiputera ke atas hartanah iaitu meliputi tanah dan bangunan juga harus diliihat termasuk duit simpanan di dalam bank atau deposit tetap. 

“Jika statistik untuk aset-aset ini juga mengecewakan, maka polisi dan dasar kerajaan selama ini telah gagal. 

“Kegagalan mungkin berpunca daripada kaedah implementasi polisi dan dasar tersebut, pemantauan bantuan dan pemberian dana atau juga disebabkan campur tangan beberapa pihak berkepentingan yang menyebabkan matlamat kerajaan jauh tersasar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, bagi mengelakkan bertambahnya jurang pendapatan antara kaum serta rakyat yang duduk di bandar dan luar bandar, reformasi polisi dan sistem monetari harus dilakukan, tegas Dr Razman.

“Apa yang berlaku sekarang ialah yang kaya makin bertambah kaya dan yang miskin kekal miskin. Oleh itu perancangan yang rapi harus dilakukan lebih-lebih lagi negara akan melancarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada tahun hadapan. 

“Seeloknya kita tidak mengguna pakai kaedah sama seperti sebelum ini, tetapi berani mencuba penyelesaian baharu seperti menambatkan mata wang kita dengan komoditi. 

“Ini boleh meningkatkan pendapatan dan nilai harta yang dimiliki oleh pesawah, pekebun, peladang komoditi seperti getah, beras dan minyak sawit yang rata-ratanya terdiri daripada kaum Bumiputera,” katanya lagi.

Dengan kaedah itu, kata Dr Razman berkata, kaum Bumiputera akan dapat berkongsi lebih banyak kekayaan aset di negara ini sama seperti kaum lain sehingga kadar peratusan kekayaan yang dimiliki menyamai kadar peratusan penduduk Bumiputera di Malaysia.

Sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sebelum ini telah diletakkan di bawah dasar Ekonomi Baru (DEB), bagaimanapun ia tidak tercapai.

Tahun lalu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera bukan sahaja tidak mencapai sasaran tetapi telah menurun kepada 16.2 peratus (pada 2015) daripada 23 peratus pada 2011.

Manakala pemilikan ekuiti oleh bukan Bumiputera juga telah menurun kepada 30.7 peratus pada 2015 berbanding 34.8 peratus pada 2011 dan pemilikan ekuiti asing meningkat kepada 45.3 peratus.

Sementara pada Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan bahawa kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera ketika ini berada pada tahap 16 peratus, jumlah yang semakin merosot.

Memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat, beliau menyifatkan peratusan yang dicatatkan itu adalah sesuatu yang membimbangkan.

Program Kakak Kondom mengelirukan

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

 

Pelajar seronok datang ke program itu peroleh kondom percuma

1.KAKAK Kondom adalah sebuah rancangan khas berkenaan pendidikan seksual yang dianjurkan oleh Yayasan Aids Malaysia dengan kerjasama One Condom MY.

Walaupun mempunyai tujuan yang baik, saya kira kaedah penyampaiannya agak mengelirukan.

2. Kekeliruan yang paling jelas adalah apabila Kakak Kondom dilihat seakan membiasakan (neutralisasi) pandangan masyakarat tentang seks bebas, sehingga pelajar universiti seronok datang ke program ini untuk mendapatkan kondom percuma. Perhatikan ayat:

Kakak Kondom ini:
“When they see me on campus, they would ask me which faculty I’d be talking to that day and if they can come and watch because they know that they can get free condoms from me.” (Apabila mereka (pelajar) melihat saya di kampus, mereka akan bertanya, fakulti mana saya akan menyampaikan pembentangan kerana sekiranya mereka tahu, mereka akan datang kerana ingin mendapatkan kondom percuma dari saya.”) Laporan MalayMail.

3. Malah lebih jelas lagi penerangan yang diucapkan sendiri oleh Pengerusi Yayasan Aids Malaysia bahawa program ini bertujuan memahamkan remaja tentang seks yang selamat (safe sex). Kata beliau:
“Kakak Kondom is a timely initiative to emphasise the importance of safe sex amongst young people.” (Kakak Kondom adalah sebuah inisiatif yang menekankan tentang kepentingan seks yang selamat dikalangan anak muda).

4. Timbul persoalan disini, apakah rancangan Kakak Kondom ini bertujuan membiasakan (neutralisasi) anak muda tentang seks yang selamat (safe sex) dengan menggunakan kondom?

Bukankah ini seakan memberikan signal kepada anak muda tentang perlakuan seks ketika muda (sebelum berkahwin)?

5. Menurut Pengerusi Yayasan Aids lagi, berdasarkan statistik tahun 2015, jumlah kes anak muda yang mengandung meningkat kepada purata 18,000 kes dan ini berupaya mengakibatkan kes buang bayi.

Bagi mengelakkan kes mengandung luar nikah dan pembuangan bayi, mereka seakan mencadangkan kempen Kakak Kondom sebagai jalan penyelesaian.

6. Idea mempromosi safe sex atau kempen Kakak Kondom ini walau bagaimanapun sebenarnya tidak juga menjamin menyelesaikan masalah pembuangan bayi.

Isu pembuangan bayi kebanyakannya berpunca dari perbuatan seks sebelum nikah atau zina.

Sekiranya mereka sudah berkahwin secara sah, amat jauh kebarangkalian untuk mereka membuang zuriat yang diperolehi itu.

7. Malah, penyampaian umum program ini turut mengelirukan.

Sekiranya mereka menyasarkan golongan tertentu, mengapa program Kakak Kondom dilakukan di universiti secara terbuka, bahkan memberikan kondom percuma kepada pelajar? Bukankah ini boleh memberikan mesej yang salah kepada pelajar?

8. Pada hakikatnya, akar tunjang permasalahan ini ialah isu mengamalkan seks sebelum nikah atau zina.

Dengan sebab itu, Rasulullah ﷺ mengingatkan pemuda di zaman Baginda ﷺ agar menjauhi zina.

8.1 Rasulullah  ﷺ menggunakan pendekatan pendidikan yang rasional bagi memberi pemahaman anak muda mengenai implikasi zina.

Apabila seorang pemuda datang meminta izin untuk berzina, Rasulullah ﷺ dengan tenang bertanya kepada pemuda tersebut: “Apakah engkau suka sekiranya seorang lelaki berzina dengan ibu kamu?” Tersentak pemuda tersebut.

Secara fitrahnya manusia menolak perlakuan ini. Sukakah kita jika ibu atau kakak kita berzina?

8.2 Perhatikan juga bagaimana Rasulullah ﷺ bertanya berkali-kali kepada pemuda ini tentang akibat zina. Ia seakan memberikan kita petunjuk bahawa remaja atau anak muda mesti diingatkan berkali-kali tentang bahaya zina sehingga ia benar-benar meresap ke dalam jiwa mereka.

Jangan pula kita yang mengalah dan memberikan mereka kondom!

9. Baginda ﷺ juga membayangkan kepada para pemuda bahawa perlakuan zina adalah perbuatan orang yang tidak beriman.

Apabila perkara ini sentiasa diterapkan di dalam jiwa pemuda melalui al-Quran dan hadis, mereka sedikit sebanyak akan terkesan dari aspek membina pendirian yang jelas berhubung perkara ini.

10. Malah Rasulullah ﷺ juga menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang zina.

Sehingga kini, kita masih lagi tidak bertegas dalam hukuman pelaku zina.

Lebih malang lagi apabila kita sendiri mensuakan kondom kepada mereka dengan alasan safe sex.

Andai undang-undang boleh diaplikasikan, ia sedikit sebanyak memberikan kesan kepada psikologi manusia.

11. Kempen safe sex anjuran barat ini adalah tidak sesuai untuk diamalkan dalam norma dan budaya masyarakat setempat.

Kita mempunyai budaya dan agama yang berbeza yang berupaya menangani isu ini dengan pendekatan kita tersendiri.

12. Kaedah yang Islam bawa lebih menjurus kepada bagaimana muslim mengawal kehendak seks mereka.

Remaja ditekankan supaya menjaga pandangan, berpuasa sunat, pemilihan kawan yang baik, mencegah kemungkaran dan banyak lagi pendekatan yang membina jati diri remaja muslim.

13. Rasulullah ﷺ dilihat sangat cermat dalam menangani isu ini.

Masyarakat jahiliah yang sudah terbiasa dengan isu zina dan kebejatan sosial dapat ditangani dan dibangunkan semula.

Mereka yang pernah berzina boleh datang dan mengaku kepada Rasulullah ﷺ secara sukarela tanpa dipaksa bukan buang bayi dan menyorok.

Ini berpunca dari pemahaman yang diterapkan serta keimanan yang ditanamkan oleh Rasulullah ﷺ.

14. Adalah tidak dinafikan bahawa anak muda harus diberikan pendidikan tentang seks.

Namun, penyampaian umum seperti yang direncanakan melalui program Kakak Kondom ini sangat longgar dan mengelirukan.

15. Dan satu lagi, berdasarkan laporan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender adalah kelompok tertinggi dijangkiti HIV, yang mewakili 50 peratus kes baharu dilaporkan sepanjang 2017.

Adalah besar harapan saya supaya Yayasan Aids Malaysia turut melakukan kempen agresif melarang perlakuan songsang lesbian dan gay, kerana mereka juga adalah penyumbang penyakit HIV tertinggi berdasarkan statistik kini.

Semoga Allah membimbing kita.

Ahad, 16 Ogos 2020

Amat tidak wajar boo wakil Armada, kata Annuar

MALASIAKINI
 
Malaysiakini

PRK SLIM | Setiausaha Agung BN Annuar Musa beranggapan layanan penyokong BN terhadap wakil Pemuda Bersatu (Armada) majlis pelancara jentera Pemuda BN menjelang pilihan raya kecil (PRK) Slim hari ini sebagai sangat tidak wajar.

Kata Annuar Perikatan Nasional (PN) sepatutnya menumpukan gerak kerja untuk PRK Slim secara berpasukan.

Menurutnya ada kemungkinan kejadian itu berlaku dengan pengaruh suasana ketika majlis itu berlangsung.

“Harap ia tidak benar. Jika benar ia amat tidak wajar. Mungkin kerana suasana gallery dan ada yang play to the gallery," ciapnya sambil mengepilkan laporan berita Malaysiakini petang ini. 

Kejadian menyorak wakil Armada itu berlaku ketika Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi ucapan perasmian. 

Tiga wakil Armada - termasuk ketuanya untuk Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh - berada di atas pentas ketika Zahid menyampaikan ucapannya.

"Pada (PRK) Chini dan Slim, ada Armada Bersatu," kata Ahmad Zahid dengan disambut jeritan boo daripada hadirin.

Ahmad Zahid juga boleh dianggap tidak menunjukkan simpati apabila dia terus memberikan cabaran kepada Armada untuk membuktikan keberkesanan mereka dalam PRK kali ini.

Dalam ucapannya Ahmad Zahid meminta Armada membuktikan keupayaan mereka benar-benar jujur dan ikhlas ketika Umno memberikan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Jika Bersatu gagal menarik 6,000 undian kepada wakil BN dalam PRK Slim, kata Ahmad Zahid, maka BN patut menilai semula kerjasamanya dengan Bersatu.

Annuar berkata, usaha menyatukan kumpulan yang berbeza memang tidak mudah namun semua pihak perlu bersabar sambil mengukuhkan perpaduan sesama sendiri.

“Maaf kiranya ada yang tak kena. Kita tumpu PRK secara berpasukan,” ciap Annuar.

PRK Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Mohd Zaidi Aziz (BN) dan dua calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santharasekaran Subramaniam.

Calon bebas yang disokong Pejuang, Amir Khusyairi

Perhatian banyak diberikan kepada Bersatu sebagai komponen PN kerana di kawasan selesa buat BN itu, orang ramai mahu melilhat keberadaan sebenar parti berkenaan.

Walaupun hanya berdepan calon bebas - yang biasanya tidak begitu memberikan cabaran dalam mana-mana pilihan raya - namun salah seorang daripada mereka jelas mewakili kumpulan penentang Muhyiddin.

Pencalonan Amir Khusyairi diumumkan sendiri oleh bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad, pada 12 Ogos lalu. 

Bekas perdana menteri itu juga mengumumkan nama wadah barunya - Parti Pejuang Tanah Air - di majlis berkenaan.

Jumaat, 14 Ogos 2020

Tentera maafkan Asri Janggut

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima permohonan maaf peniaga burger yang tular baru-baru ini, Asri Janggut, atas kenyataannya bahawa kebanyakan polis dan askar tidak menjaga solat.

Meskipun menyifatkan kenyataan itu keterlaluan dan mengguris hati warga ATM yang beragama Islam, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Affendi Buang (TUDM) dipetik ATM sebagai berkata bahawa manusia biasa memang tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan.

“Oleh yang sedemikian, ATM mengambil pendekatan menerima permohonan maaf individu berkenaan yang disiarkan juga di media sosial PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) pada 12 Ogos 2020.

“Semoga apa yang berlaku dapat dijadikan sebagai satu pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa peka dan berhati-hati di dalam mengeluarkan kenyataan, pendapat, pandangan mahupun apa jua ulasan [...]” kata ATM dalam satu kenyataan hari ini.

Asri Janggut

Kata ATM, kemaafan akan dapat memberikan ketenangan bukan saja buat si pesalah, tetapi juga buat orang yang memaafkan kesalahan berkenaan.

Namun, ATM berpesan agar semua pihak berhati-hati mengeluarkan kenyataan, dengan memetik pesanan Rasulullah SAW dalam satu hadis agar manusia menjaga “apa yang ada di antara tulang dagu (mulut dan lidah) dan antara dua kakinya (kemaluan)” bagi mendapat jaminan syurga.

“Awasilah dalam berkata-kata. Jangan disebabkan tergelincir dan kelembutan lidah yang tidak bertulang menjadi punca dosa dan dimasukkan seseorang ke dalam neraka.

“ATM berharap agar perkara seumpama ini tidak akan berulang di masa mendatang dan menyeru masyarakat untuk tidak membangkitkan lagi perkara ini di khalayak umum bagi menjaga keharmonian semua,” kata ATM lagi.

Asri atau nama sebenarnya Mohd Asri Hamid menjadi perhatian apabila video rakamannya tular memaparkan apa yang didakwa sebagai penguatkuasaan berat sebelah terhadap penjaja di Sungai Buloh, Selangor.

Dakwanya, penjual rokok seludup dan pemilik pusat judi haram tidak dikenakan tindakan oleh penguatkuasa. Ia mengundang perdebatan hangat di media sosial.

Susulan itu, polis membuat serbuan di Sungai Buloh, manakala beberapa penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan atas dakwaan menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Namun, tidak lama selepas itu, nama Asri meletus sekali lagi di media sosial apabila satu lagi video tular yang memaparkan dia mendakwa kebanyakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta ATM tidak menjaga solat masing-masing.

Ekoran itu, polis membuka dua kertas siasatan ke atasnya.

Asri bagaimanapun telah memohon maaf secara terbuka, dengan menyifatkan kenyataannya sebagai silap jahil, bodoh dan celupar.

"Saya memohon jutaan maaf kerana saya tidak jangka boleh cakap macam itu... mereka adalah pembantu negara, saya sekali lagi memohon maaf kerana Allah, maafkan atas segala kesilapan saya.

"Saya mengakui kebodohan, kesilapan saya dan reda atas apa yang berlaku, sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya PDRM dan ATM," katanya.

Rabu, 5 Ogos 2020

Usah hasut rakyat guna sentimen bukan orang KL, kata Annuar pertahan jawatan menteri WP

Annuar Musa berkata, beliau tinggal di Kuala Lumpur sejak 1975 dan memiliki
rumah pertamanya serta menjadi pegawai perancang bandar di DBKL pada
1981.

KUALA LUMPUR: Annuar Musa mempertahankan kedudukannya sebagai menteri Wilayah Persekutuan dan mengkritik ahli Parlimen Pakatan Harapan yang menuduhnya tidak layak menjaga kepentingan warga ibu kota kerana berasal dari negeri lain.

Katanya, sindiran ahli Parlimen PH terhadapnya tidak wajar kerana pentadbiran bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri melantik Khalid Samad (PH-Shah Alam) sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

“Ada yang menjadi sebutan awam, tular dan tidak manis, iaitu secara tidak langsung buat sindiran saya ini orang luar, hendak campur tangan hal orang Kuala Lumpur. Disebutkan juga saya ini orang Ketereh, Kelantan hendak campur tangan soal orang Kuala Lumpur.

“Saya sebutkan di sini, kita tidak boleh ungkit menteri itu datang dari mana, sebab kalau tanya kerajaan dahulu, dari mana datangnya Shah Alam (Khalid) yang dilantik sebagai menteri Wilayah Persekutuan. Shah Alam juga dilahirkan di Kota Bharu, sebahagian keluarganya datang dari Johor.

“Kita juga tahu, Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) jadi perdana menteri, dia bukannya orang Kuala Lumpur. Perkara ini bersifat peribadi sedikit, jadi janganlah hasut rakyat menggunakan sentimen sama ada orang Kuala Lumpur atau tidak, itu tidak manis,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tanpa memetik nama mana-mana ahli Parlimen, Annuar dipercayai merujuk kenyataan Hannah Yeoh (PH-Segambut) dan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang didakwa mempertikaikan kelayakan Annuar sebagai menteri Wilayah Persekutuan.

“YB sendiri (Yeoh) hanya lahir di Kuala Lumpur, duduknya di Selangor. Saya juga tahu alamat rumah YB (Fahmi) kerana berkahwin dengan orang Kuala Lumpur. Untuk makluman, sewaktu Hannah dilahirkan pada 1979, 4 tahun sebelum dilahirkan, saya sudah bermastautin di Kuala Lumpur.

“Fahmi pula lahir pada 1981, pada 1981 saya sudah memiliki rumah pertama saya dan menjadi pegawai perancang bandar di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan menetap di Kuala Lumpur. Pada 1981 juga, saya sudah bermastautin dalam Parlimen Segambut,” katanya.

Isnin, 3 Ogos 2020

Siasatan conteng mural pemimpin negara selesai dalam masa terdekat

Muhaamad Hafis Nawawi

MAZLAN pada sidang media di IPD Petaling Jaya. FOTO Aswadi Alias.

SIASATAN terhadap kes menconteng perkataan kurang menyenangkan pada mural gergasi potret beberapa pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam, akan diselesaikan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, pihak polis sudah memperoleh beberapa petunjuk dan siasatan lanjut berkaitan beberapa perkara teknikal kini sedang dilaksanakan.

"Kita berharap isu ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Namun ia mungkin mengambil sedikit masa kerana perlu memperhalusi perkara itu dengan betul dan menahan mereka yang terbabit dalam insiden ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial 20 Julai lalu yang memaparkan dua kelibat wanita dipercayai dalang merosakkan mural berkenaan.

Rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan sebuah kereta di parkir di sebelah lorong lukisan mural berkenaan sebelum kelibat dua individu itu muncul melakukan vandalisme.

Berita berkaitan

• Polis sudah tahu siapa conteng mural pemimpin negara

• Polis sudah ada petunjuk, sasaran penconteng mural

• Conteng mural pemimpin: Kelibat dua wanita dirakam

• Conteng mural pemimpin: Sultan Selangor murka

• Conteng lukisan mural pemimpin: MBSA lapor polis

• Kecewa mural diconteng [METROTV]

Susulan vandalisme yang dilakukan terhadap mural pemimpin negara termasuk Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memadam semua mural dengan mengecat semula dinding itu.

Selain Agong, mural berkenaan memaparkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sabtu, 1 Ogos 2020

Suspek rogol, lacur anak, isteri akan dituduh di mahkamah minggu depan

Kumara Sabapatty
MGF25072020_KES-ROGOL-02-681x453
Lapan suspek termasuk bapa kandung yang rogol dan lacur anak perempuan
dan isterinya di bawa oleh pegawai polis untuk permohonan reman baharu
di bawah siasatan akta ATIPSOM di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi,
Selangor. foto MOHD ADZLAN,

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan dan tujuh warga asing yang direman sejak 13 Julai lalu dalam kes seorang bapa kandung merogol dan melacurkan anak serta isterinya lebih 3 tahun lalu akan dituduh di Mahkamah Kajang pada minggu hadapan.

Kesemua suspek berusia antara 25 hingga 43 tahun itu telah disambung reman bermula 31 Julai sehingga 8 Ogos ini untuk meneruskan siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia (ATIPSOM) 2007.

Sumber polis memberitahu MalaysiaGazette bahawa kertas siasatan yang dibuka terhadap suspek yang merupakan seorang pemandu lori serta tujuh lagi suspek warga asing sejak 24 Julai lalu telah dilengkapkan untuk tindakan lanjut.

“Semalam kami telah membawa kesemua lapan suspek berkenaan menghadap di Mahkamah Majistret Kajang dan berjaya mendapatkan kebenaran sambung reman sehingga 8 Ogos ini untuk meneruskan siasatan.

“Namun kertas siasatan yang telah dibuka di bawah ATIPSOM itu kini sudah dilengkapkan.

“Cuma kertas siasatan yang dibuka untuk kesalahan merogol pula masih belum lengkap dan apabila selesai nanti kesemua suspek berkenaan akan dituduh di Mahkamah Kajang pada Selasa atau Rabu minggu depan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah sumber itu lagi, kertas siasatan pertama terhadap kesemua lapan suspek itu di bawah Seksyen 376B/372 Kanun Keseksaan & Sek 43(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (pindaan 2016) dibuka dan dimulakan sejak 13 Julai lalu.

Menurutnya, kini polis menunggu laporan perubatan membabitkan kedua-dua mangsa wanita untuk menyelesaikan kertas siasatan kes rogol di bawah Kanun Keseksaan.

“Bahagian siasatan kedua-dua mangsa wanita menjadi mangsa rogol dan dilacur itu belum siap kerana polis belum menerima keputusan laporan perubatan kesihatan mereka.

“Laporan itu sepatutnya (diterima) Jumaat ini (31 Julai 2020), jadi saya rasa ia (laporan perubatan) mungkin diperolehi pada Isnin ini dan kemudian kita akan lengkapkan kertas siasatan untuk kesalahan rogol dan melacurkan mangsa.

“Selepas itu kita akan menyediakan kertas pendakwaan dan kesemua lapan suspek berkenaan akan diheret ke mahkamah atas dua pertuduhan iaitu merogol dan melacurkan mangsa,” kata sumber itu lagi. – MalaysiaGazette

BERITA BERKAITAN  * Bapa rogol, lacur anak dan isteri direman 7 hari

*  Bapa rogol, lacurkan anak bersama 5 warga asing direman

Bapa saudara durjana

Dziyaul Afnan Abdul Rahman

GAMBAR hiasan

POLIS menahan penoreh getah selepas disyaki mencabul anak saudara perempuannya di Arau, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, kejadian itu disedari ahli keluarga mangsa selepas lelaki berusia 57 tahun itu memuat naik gambar anak saudaranya berusia sembilan tahun yang tidak berpakaian pada WhatsApp, 12 tengah hari semalam.

Menurutnya, menyedari perbuatan itu ahli keluarga terbabit membuat laporan polis dan suspek ditahan petang semalam.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek telah ke rumah mangsa pada Isnin lalu ketika mangsa berseorangan dan membuka pakaian mangsa sebelum melakukan perbuatan mencabul.

"Suspek juga meminta mangsa memegang kemaluannya sebelum mengambil gambar mangsa yang tidak berpakaian menerusi telefon bimbitnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nanda berkata, bagaimanapun suspek tidak merogol mangsa dan terus beredar sejurus selesai menangkap gambar kanak-kanak terbabit.

"Pihak polis sudah menangkap suspek dan pemeriksaan di dalam telefon bimbitnya menemui sejumlah gambar mangsa yang tidak berpakaian.

"Suspek direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5 dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Isnin, 20 Julai 2020

Pemimpin kerajaan digesa pakai topeng, tunjuk teladan baik pada rakyat

Aktivis kesihatan berkata, pemakaian topeng perlu kerana kira-kira 70% kes Covid-19
tidak bergejala. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemimpin kerajaan diingatkan untuk menunjukkan teladan baik kepada rakyat dengan memakai topeng di semua majlis dan mesyuarat serta mengamalkan penjarakan sosial.

Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata pegawai kanan kerajaan turut dilihat melanggar peraturan yang dilaksanakan ke atas orang ramai.

“Tidak masuk akal untuk mereka minta rakyat mematuhi SOP, tetapi mereka dan kakitangan mereka tidak berbuat demikian,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii dilaporkan menggesa kerajaan persekutuan dan negeri mewajibkan rakyat memakai topeng di kawasan berisiko tinggi, termasuk pasar awam, klinik dan hospital, sekolah, pengangkutan awam, ruang awam dan kawasan tertutup dengan orang ramai untuk jangka panjang, selain meneruskan amalan kebersihan dan penjarakan sosial untuk mengekang penularan pandemik itu.

Katanya, pemakaian topeng perlu untuk mencegah penularan virus itu kerana kira-kira 70% pesakit Covid-19 di Malaysia tidak bergejala.

Ketua kumpulan perubatan, Malaysian Medics International, Dr Vikkineshwaran Siva Subramaniam, berkata SOP sedia ada mungkin tidak mencukupi, khasnya untuk pesakit tidak bergejala.

“Bagaimanapun, pemeriksaan suhu mungkin pilihan paling mudah dan kurang invasif yang kita ada. Ia juga perlu menjadi tanggungjawab individu untuk kekal berwaspada dan jujur, jika mereka mempunyai gejala atau jika mereka mungkin terdedah (kepada Covid-19).”

Sementara itu, Azrul berkata, penggunaan semula topeng kain lebih lestari dan menjimatkan kos dalam jangka panjang, serta beliau kesal janji kerajaan untuk memberikan topeng percuma bagi semua isi rumah tidak mencapai kebanyakan sasarannya.

“Ia ternyata tidak mungkin untuk menyediakan (topeng) sekurang-kurangnya 3 topeng kepada setiap isi rumah di negara ini seperti yang diumumkan pada awalnya.”

Jumaat, 17 Julai 2020

Kes gangguan seksual: Kumpulan siswa gesa VC UM letak jawatan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) berkata Naib Canselor UM Abdul Rahim Hashim perlu meletakkan jawatan kerana menurut mereka cuai dalam mengendalikan dakwaan gangguan seksual melibatkan seorang profesor madya.

Umany mendakwa, kenyataan Abdul Rahim berkenaan perkara itu yang dilaporkan media - bahawa tindakan telah diambil terhadap profesor madya itu tetapi tidak menyatakannya secara jelas atas dasar kerahsiaan - adalah satu cubaan untuk "menutup" kes-kes gangguan seksual terhadap pelajar yang telah dilaporkan.

"Naib Canselor bertindak berani apabila membuat laporan polis terhadap pelajar universiti yang membuat bantahan terhadap perkauman.

"Sekarang persoalannya mereka dia tidak boleh buat perkara sama ketika pelajar menjadi mangsa gangguan seksual seorang pensyarah? Mengapa tutup perkara ini?" kata Umany dalam kenyataan.

"Umany menggesa naib canselor untuk meletakkan jawatan dan beri ruang untuk pembaharuan organisasi dalam Jawantakuasa Disiplin dan Unit Integriti. Hanya dengan cara itu punca utama dapat ditangani," kata mereka lagi.

Abdul Rahim Hashim

Pada Rabu lalu, seorang pelajar Universiti Malaya membuat laporan polis terhadap seorang profesor madya yang didakwa membuat gangguan seksual terhadapnya, dan berkata pihak universiti gagal bertindak secara berkesan dan enggan mendedahkan hasil siasatan dalaman.

Menurut pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai "Ching" itu, kejadian yang melibatkan sentuhan fizikal berlaku di pejabat profesor madya itu di kampus pada 3 Jun 2019.

Sebelum ini, dia telah membuat laporan rasmi kepada Unit Integriti Universiti Malaya - yang di bawah bidang kuasa Abdul Rahim - pada 1 Julai 2019.

Semalam, Abdul Rahim berkata pihak universiti telah membuat siasatan dan mengambil tindakan terhadap profesor madya tersebut berdasarkan Peraturan-Peraturan Tatatertib Badan-Badan Berkanun.

"Walau bagaimanapun, ingin dijelaskan bahawa pihak universiti terikat dengan tatacara pengendalian yang menuntut kami menjaga kerahsiaan dan hak privasi semua pihak yang terlibat," katanya.

Umany berkata lagi, keadilan tidak akan tertegak dalam kes ini kerana difahamkan profesor madya itu dihukum dengan penurunan pangkat, dan ia hanya dijatuhkan selepas persaraannya bulan lalu.

"Jika begitu, ia hanya menyebabkan pencen yang berkurang dan kesan terhadap kerjaya, yang tidak relevan dalam kes ini. Ia tidak memberi kesan kepada pensyarah yang masih mempunyai pendapatan tinggi," katanya lagi, sambil mengambil maklum bahawa Unit Integriti telah menghubungi sejumlah lagi pelajar yang mendakwa turut menjadi mangsa individu yang sama, sepanjang siasatannya.

Secara keseluruhan, menurut Umany, pentadbiran Universiti Malaya telah gagal menjatuhkan hukuman yang mampun mencegah perkara sama daripada berulang.

Malaysiakini sebelum ini telah menghubungi profesor madya terbabit untuk memberi responsnya.

Khamis, 16 Julai 2020

Mangsa rogol perlu jalani kaunseling, bantu sembuhkan diri - Pakar undang-undang

Mangsa rogol perlu jalani kaunseling, bantu sembuhkan diri - Pakar undang-undang
Forum 'Pemangsa Serakah vs Mangsa Menyerah' yang berlangsung di O2 Malaysia, Plaza Flamingo, Ampang, malam tadi. Foto Facebook @O2Malaysia

KUALA LUMPUR: Mangsa rogol perlu menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka menyembuhkan diri sama ada dari segi psikologi dan fizikal.

Menurut Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, setiap mangsa rogol mengalami peristiwa yang berlainan dan cara menangani emosi yang berbeza.

“Kebanyakan mangsa rogol memilih untuk hidup dalam keadaan tertekan sehingga tidak mahu keluar rumah, ada juga yang memilih untuk teruskan kehidupan seperti biasa. Tetapi itu hanyalah penafian diri.

“Mereka ini memerlukan sesi kaunseling untuk terus diberikan motivasi dan pastikan mereka mendapatkan rawatan yang sepatutnya di hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum 'Pemangsa Serakah vs Mangsa Menyerah' yang berlangsung di O2 Malaysia, Plaza Flamingo, Ampang, malam tadi.

Noor Aziah yang juga Pesuruhjaya Kanak-kanak turut menjelaskan, mangsa rogol mungkin keliru terhadap keadaan yang dihadapinya selepas insiden itu, menyebabkan dia merelakan perkara itu berlaku.

Itu juga disifatkan satu penafian diri.

Justeru, jelasnya, mangsa perlu dibawa untuk berjumpa pakar sebelum keadaan bertambah keruh sehingga menyebabkan mangsa berputus asa terhadap kehidupannya.

Pada masa sama, Noor Aziah turut menggesa agar mangsa atau kenalan rapat mangsa yang dirogol menghubungi Talian Kasih 15999 bagi mendapatkan bantuan, termasuk dari segi kaunseling.

Pada akhir forum, moderator Dira Abu Zahar turut mengingatkan orang ramai, dalam usaha mengurangkan kes rogol di negara ini, tanggungjawab perlu diambil semua pihak.

BACA: Lelaki perlu tahu tanggungjawab elak peningkatan kes rogol - Dira

“Ini termasuk ahli keluarga, pemangsa, mangsa, pihak berkuasa malah masyarakat sekeliling. Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

“Jadi, kita perlu lebih sensitif dan peka terhadap kes rogol yang semakin meningkat ini agar ia tidak berlaku lagi di negara ini,” tegasnya.

Selain Dira dan Noor Aziah, ahli panel lain adalah 'influencer' media sosial Caprice dan Presiden The International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.

Rabu, 15 Julai 2020

Mungkin Mereka lebih suka aku keluar (Islam) Demi Mereka Dapat Pahala – Nur Sajat

https://www.tubeviral.bbn.my

Nur Sajat baru-baru ini dikec4m hebat kerana fotonya yang berpenampilan s3ksi di media sosial.

Sajat juga telah mendapat perhatian daripada beberapa ahli agama yang mengajak orang ramai untuk memb0ikot dirinya. Malah, apa yang dilakukan Sajat juga telah dibawa sehingga  peringkat Kementerian dan Jabatan Agama, dengan alasan Sajat berpotensi untuk merosakkan akhlak umat Islam disebabkan perkara luar tabii yang dilakukannya.

Sajat baru-baru ini ada meluahkan perasaan sed1h dan kesal kerana terasa dirinya ditindas oleh agamanya sendiri. Perkara tersebut diluahkan melalui instagram stories miliknya.

Kalau betul lah agama islam benci orang seperti aku, dan aku tak layak berpegang kepada agama islamku..dan semua orang nak jatuh hukuman terhadapku dengan melandaskan agama yang aku pegang..mungkin mereka lebih suka aku keluar demi mereka dapat pahala..sed1h dan pilu untuk aku luahkan perkara ini..”

Nur Sajat

Mungkin kerana terlalu tertekan, Sajat telah mengeluarkan kenyataan seolah-olah dirinya ditindas dan berura-ura seperti mahu keluar daripada agama Islam demi memuaskan hati semua pihak.Diharap kelak ada penyelesaian yang terbaik mengenai 1su ini tanpa melukakan hati mana mana pihak.

Apa pendapat anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen dan Share Ya. Terima Kasih ! Tube Viral

Jom Like Page Kami Juga di Facebook Tube Viral Press

Sumber: Baby Biru

Isnin, 13 Julai 2020

Lelaki bunuh tiga ekor kucing dalam mesin basuh

Bernama
bunuh-kucing
Foto rakaman CCTV

KUALA LUMPUR – Tidak berperikemanusian dan kejam. Itulah perilaku seorang lelaki yang membunuh tiga ekor kucing dengan cara melemaskannya di dalam mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada 9.30 pagi tadi melalui seorang wanita berusia 39 tahun.

“Wanita itu memaklumkan kejadian berkenaan berlaku semasa dia datang ke dobi untuk membasuh baju namun menjumpai tiga ekor kucing yang sudah mati di dalam tiga mesin basuh berasingan.

“Wanita berkenaan kemudiannya menghubungi serta melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Arifai berkata siasatan lanjut menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kegiatan itu dilakukan seorang lelaki yang bertindak memasukkan tiga ekor kucing berkenaan di dalam mesin basuh pada pukul 5.30 pagi.

Beliau berkata siasatan lanjut dirujuk kepada Pejabat Veterinar Shah Alam untuk tindakan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.— BERNAMA

Ahad, 12 Julai 2020

Transgender ditahan perlu ditarbiah

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Semua penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diberi lesen penuh untuk mengambil tindakan terhadap golongan transgender.

Bagaimanapun, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, golongan transgender yang ditahan perlu ditarbiah agar mereka kembali ke pangkal jalan.

“Kita tidak hanya mahu tangkap semata-mata, tetapi yang paling utama adalah tarbiah (pendidikan) dengan cara yang paling berhikmah agar mereka semua (transgender) kembali ke pangkal jalan.

“Islam adalah agama yang mendidik. Ini perlukan usaha yang bersepadu dari semua agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Jelasnya, lesen yang diberikan adalah untuk melaksanakan fungsi Bahagian Penguatkuasaan JAWI dengan sebaiknya di Wilayah Persekutuan.

Pun begitu, katanya tindakan yang diambil mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.- HARAKAHDAILY

Rabu, 8 Julai 2020

4 pelajar sekolah antara 21 ditahan sertai pesta liar

KUALA LUMPUR: Polis menahan 21 individu termasuk 4 pelajar sekolah menengah yang menyertai pesta liar di sebuah pangsapuri servis di Bukit Bintang pada awal pagi Sabtu lepas.

Ketua Polis Dang Wangi, Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun itu ditahan dalam 1 serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 4.30 pagi.

Ketika serbuan, polis memeriksa 34 individu yang terdiri daripada 28 lelaki dan 6 wanita yang berada di kediaman terbabit.

“Daripada jumlah itu, seramai 21 orang didapati positif dadah jenis methamphetamine. Bagi mereka yang didapati negatif ujian saringan air kencing, (mereka) dibebaskan tanpa syarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Bagi tangkapan bawah umur, mereka direman selama 2 hari bermula Ahad lepas manakala selebihnya direman sehingga hari ini (7 Julai),” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

Rabu, 1 Julai 2020

Hina Jata Negara: Rakyat tolak permohonan maaf penerbit!

Siti Hafidah


Kenakan juga tindakan terhadap penulis kerana bersubahat

BANGI – Permohonan maaf penerbit buku yang menghina Jata Negara tidak akan diterima sehingga semua pihak yang terbabit dalam isu kontroversi itu dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pendakwaan perlu dilakukan segera dan hukuman yang setimpal mesti dikenakan bagi mengelak perkara ini dipandang ringan oleh pihak tertentu, terutamanya golongan subversif.

“Sebenarnya, bukan sahaja penerbit tetapi penulis harus dikenakan tindakan kerana bagi saya mereka juga turut bersubahat dalam perbuatan mempermainkan maruah negara. Jangan biarkan seorang pun terlepas, cari sampai ke lubang cacing sekalipun.

“Ini bukannya pertama kali penghinaan dan persendaan terhadap lambang negara. Jika tindakan yang tidak tegas diambil, pasti negara akan dilihat sebagai tiada kewibawaan dan lemah jati dirinya lebih-lebih lagi buku ini sudah dijual meluas di luar negara.

“Jangan sampai negara dijadikan bahan jenaka dan bahan ketawa hanya kerana kita tidak bertegas,” tegasnya menerusi satu kenyataan.

Pada masa sama, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi PEMBELA hairan mengapa buku itu dipromosikan kembali dengan begitu hebat di kedai buku utama seluruh negara secara tiba-tiba walaupun sudah diterbit tahun lalu.

Beliau menggesa pihak berkuasa menyiasat dalang di sebalik kejadian ini kerana khuatir jika perkara itu bukannya sesuatu yang tidak disengajakan tetapi dirancang dengan rapi untuk menghasut rakyat membenci sesama mereka secara halus.

“Tahniah kepada semua yang menyuarakan ketidakpuashatian sama ada melalui kuasa tular media sosial mahupun laporan-laporan polis. Anda semua hero negara!,” katanya.

Terdahulu, penerbit buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia memohon maaf berhubung muka hadapan buku berkenaan yang mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang diubah suai.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin memberitahu portal liberal, Malaysiakini kononnya tidak niat untuk menghina lambang negara.

Beliau mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal dari sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya di kulit buku itu diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit.

Isnin, 11 Mei 2020

Tun M, Anwar sudah ‘tamat tempoh’ pimpin negara

Siti Hafidah

 

Kedua-duanya rakus sehingga sanggup bersekongkol dengan DAP

BANGI – Perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya untuk mengembalikan mandat rakyat sebenarnya hanya kata-kata hiasan yang diletakkan atas tapak kerakusan kuasa peribadi.

Pengerusi Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Negeri Sembilan, Ustaz Zamani Ibrahim percaya kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah hasil tipu muslihat mereka kepada rakyat.

“Mereka berjaya menipu rakyat dengan gula-gula manifesto bulan bintang yang didendangkan siang malam ketika kempen PRU14 dahulu. Hakikatnya mereka mengambil kesempatan atas nama mandat rakyat untuk memenuhi kerakusan kuasa politik mereka yang semakin gila.

“Hakikatnya mereka sudah tua dan tamat tempoh untuk memimpin negara. Mereka gagal menyediakan pimpinan pelapis.

“Hingga saat kini tiada muka baharu yang berjaya dilahirkan untuk meneruskan perjuangan dan mengambil alih pimpinan utama parti mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bahkan kata Ustaz Zamani, Ahli Parlimen Langkawi dan Ahli Parlimen Port Dickson itu juga adalah pemimpin yang tidak berwatak negarawan tetapi sebaliknya berwatak kepartian.

Katanya, perkara itu jelas kerana saat negara berhadapan masalah COVID-19 kedua-dua mereka sibuk memukul canang agenda kepartian.

“Di saat kerajaan dan rakyat berganding bahu melepaskan negara dari kemelut serangan wabak COVID-19, mereka berdua mengheret pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menjatuhkan perdana menteri.

“Sebagai pemimpin beragenda sepatutnya mereka berdua mengambil nafas panjang dan bijak serta berhikmat. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan Islam Melayu yang dominan, maka sepatutnya mereka berdua beri laluan secara berhikmat sehingga PRU15.

“Sementara masa yang ada ini, sepatutnya susun strategi untuk memperkukuhkan kuasa dominan di kalangan pemimpin parti parti Islam dan Melayu.

“Kemudian gandingan yang mantap itu nanti jelmakan melalui PRU15 demi perjuangan yang beragenda untuk agama dan bangsa,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Zamani berkata, kedua-dua mereka terlalu rakus, sehingga untuk memenuhi kerakusan itu sanggup bersekongkol dengan DAP.

Dakwanya, Dr Mahathir dan Anwar yang memimpin DAP masuk Putrajaya dan akhirnya membariskan pemimpin parti tamak haloba tersebut menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri.

“DAP tersenyum riang tanpa segan silu melebarkan agenda bangsanya walaupun terpaksa mencabar Perlembagaan Persekutuan. Sekali lagi saya katakan, tangan mereka berdualah yang bergelumang dengan dosa pengkhianat kerana memimpin tangan DAP berjaya masuk Putrajaya.

“Bukti kerakusan mereka berdua, mereka tidak langsung mengambil kira taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Baginda telah menggunakan kebijaksaan yang penuh hikmat untuk memastikan kestabilan negara tetap terjaga, sedangkan tangan mereka berdua jualah yang telah menjadikan negara hilang kerajaan buat seketika.

“Mereka berdua jualah yang telah mengheret Agong dalam kancah kerakusan itu untuk mengembalikan negara kembali berkerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim menyatakan mereka tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa ia tidak mendapat mandat rakyat.

Kedua-duanya menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan PN ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Tun Mahathir juga bertindak mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).


Selasa, 21 April 2020

Lelaki ditahan maki anggota tentera

Seorang lelaki ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota tentera yang bertugas di sekatan jalan raya di Kuala Perlis semalam. - Foto 123RF
 
 
KANGAR - Seorang lelaki ditahan kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki anggota tentera ketika pemeriksaan di sekatan jalan raya di Kuala Perlis semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, suspek warga tempatan berumur 35 tahun yang bekerja sendiri bertindak melempar kata-kata jelik kepada anggota tentera yang sedang bertugas.

“Kejadian itu berlaku apabila polis meminta kad pengenalan suspek, namun suspek telah mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada seorang anggota tentera berada berhampiran,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Wari berkata, suspek direman selama sehari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. - Bernama