Thursday, January 25, 2018

Terowong dasar laut: Seorang lagi Datuk Seri ditahan reman

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Seorang lagi individu ditahan reman bagi membantu siasatan membabitkan kes projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang.
 
Kali ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat perintah reman terhadap seorang Datuk Seri yang juga bekas pengerusi syarikat perunding kejuruteraan.
 
Perintah reman lima hari bermula hari ini hingga 30 Januari ini dikeluarkan Majistret Ainna Sherina Saipolamin di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, sebentar tadi.
 
Datuk Seri berusia 62 tahun itu disyaki terbabit dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan projek itu lebih RM305 juta yang dikemukakan kepada kerajaan Pulau Pinang.
 
Dia ditahan semalam sejurus hadir di ibu pejabat SPRM di sini pada jam 2.44 petang, semalam.
 
Difahamkan, firma kejuruteraan diterajui suspek yang berpejabat di Kuala Lumpur sebelum ini dikatakan pernah terbabit dalam pelbagai projek mega termasuk pembinaan sebuah jambatan di Pulau Pinang, terminal bas di ibu negara dan projek naik taraf sebuah lapangan terbang negeri.
 
Dengan penahanan suspek, sehingga hari ini seramai empat individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kajian yang menelan kos lebih RM305 juta itu.
 
 

No comments: