Wednesday, January 31, 2018

Suspek kes bunuh juruteknologi pergigian ditahan

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
PORT DICKSON: Polis sudah menahan suspek utama kes bunuh juruteknologi pergigian di Kuarters Klinik Kesihatan Lukut yang dibunuh minggu lalu. 
 
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata suspek lelaki berusia 20-an itu ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan di Johor Bahru, jam 9 malam tadi.
 
"Polis percaya penangkapan suspek akan dapat menyelesaikan siasatan kes ini. Kita turut menemui semula motosikal dan topi keledar milik mangsa yang hilang sebelum ini.
 
"Selain itu, siasatan mendapati suspek turut menggunakan kad kredit milik mangsa," katanya di sini, hari ini.
 
Zainudin berkata, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman hari ini, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
 
Mangsa, Mahusin Abd Rahim, 28, ditemui mati di rumahnya dalam keadaan terbaring di atas tilam oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya yang terletak di tingkat empat pada jam 8.30 pagi, 22 Januari lalu.
 
 
 
Mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih 72 jam, turut ditemui dengan dengan kesan kecederaan di kepala akibat hentakan objek keras.
 
Polis semalam mengedarkan gambar seorang lelaki yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis di Johor Bahru yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dengan kes itu, bagi memohon bantuan orang ramai mengesannya.

No comments: