SEREMBAN: Pemuda PPBM Negeri Sembilan tetap dengan pendirian untuk
mendesak rundingan semula diadakan berhubung pembahagian kerusi DUN
pembangkang di negeri ini.
Ketuanya, Mohd Shahrul Anuar Abu Samah, berkata mereka bukan mahu
mengingkari keputusan pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya
mendesak pengagihan dibuat lebih adil supaya dapat diterima kepemimpinan
negeri.
Ekoran menurut beliau, pengagihan itu tidak mengambil kira pendapat
pemimpin PPBM Negeri Sembilan, sehingga menyebabkan banyak pihak tidak
berpuas hati.
"PH Negeri Sembilan dalam proses perbincangan untuk pembahagian kerusi
dan kita dimaklumkan rundingan akan diteruskan selepas Konvensyen PH
kelmarin. Jadi, kami semua terkejut apabila mereka mengumumkan
pengagihan kerusi.
"Keputusan itu dibuat tanpa pengetahuan pemimpin negeri. Justeru, kita
akan tetap mempertahankan pendirian supaya rundingan semula dibuat bagi
menentukan pembahagian kerusi DUN pembangkang di negeri ini supaya lebih
adil.
"Sebagai contoh, PKR sudah kalah di Ampangan sebelum ini, mengapa
diberikan kerusi sama. Parti Amanah Negara (PAN) yang hanya mempunyai
450 ahli di seluruh negeri pula diberi tujuh kerusi sedangkan PPBM hanya
enam," katanya dipetik BH Online hari ini.
Konvensyen PH di sini, kelmarin, kecoh apabila ramai ahli dan pemimpin
PPBM, melakukan protes kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan 36
kerusi DUN iaitu 12 milik PKR, DAP (11), PAN (tujuh) dan PPBM (enam),
manakala bagi Parlimen, setiap parti mendapat dua kerusi.
Mohd Shahrul Anuar mendakwa, semua ketua bahagian dan ketua pemuda
bahagian PPBM di negeri ini menyokong tindakannya yang lantang
menyuarakan bantahan dan mereka akan berkumpul menyatakan pendirian
dalam sidang media tidak lama lagi.
Sementara itu, Pengerusi PH negeri, Aminuddin Harun, dilaporkan
berkata, semua pihak perlu menerima dengan hati terbuka dan menghormati
keputusan sudah dibuat pucuk pimpinan pakatan pembangkang.
Katanya, perbincangan lanjut sudah dibuat dengan Timbalan Presiden
PPBM, Datuk Seri Muhkriz Mahathir, mengenai masalah berbangkit itu dan
pihaknya tidak mahu memanjangkan isu berkenaan, sebaliknya yakin semua
akan dapat diatasi dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment