SHAH ALAM: PAS Selangor menyatakan kesediaan menawarkan kerusi kepada
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika bekas Menteri Besar Selangor itu
berubah fikiran dengan mahu menyertai parti berkenaan.
Pengarah Pilihan Rayanya, Roslan Shahir Mohd Shahir yang dipetik Sinar
Harian, berkata fasa memujuk Abdul Khalid berterusan, namun PAS
menghormati pendirian ADUN Pelabuhan Klang itu yang memilih untuk kekal
sebagai ADUN Bebas.
Menurutnya, kehadiran Abdul Khalid adalah satu penghargaan buat PAS
seterusnya membuktikan PAS adalah parti yang diyakini oleh beliau untuk
meneruskan perjuangan yang terbantut selepas dipecat sebagai menteri
besar Selangor.
“Hubungan PAS dan Abdul Khalid cukup akrab dan kita dah kenal sejak
beliau menyandang jawatan penting di Selangor. Kami hormati prestasi dan
kepimpinannya.
“Cukup jika beliau menunjukkan sokongan melalui kempen dan program
penerangan bersama PAS, itu sudah memadai untuk meyakinkan rakyat kerana
latar belakang dan rekodnya yang bersih,” katanya.
Roslan Shahir berkata, sikap Abdul Khalid yang terbuka hadir dalam
program politik PAS dan Umno juga membuktikan peribadinya yang
berpendirian.
“PAS yakin beliau hadir pada program Umno dan PAS tanpa agenda
tersembunyi, sebaliknya sebagai meneruskan agenda rakyat Selangor yang
diperjuangkan termasuk program air dan ekonomi.
“Penolakannya mungkin disebabkan komitmen, namun keberadaan bersama PAS
dianggap sebagai platform terbaik buatnya meneruskan agenda perjuangan
rakyat,” katanya.
Abdul Khalid sebelum ini berkali-kali menyatakan enggan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau bagaimanapun dilihat kerap hadir ke program anjuran PAS, namun
menyatakan dirinya hanya menyokong parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang itu.
Hadi dalam kenyataannya baru-baru ini berkata PAS berhasrat membentuk
kerajaan di Selangor, yang kini dipimpin PKR di bawah teraju Datuk Seri
Azmin Ali.
Pada PRU13 lalu, PAS memperoleh 15 kerusi DUN di Selangor, menjadi antara parti memperoleh kerusi majoriti di samping DAP.
Namun bilangan itu berkurangan menjadi 13 selepas dua wakil rakyatnya menyertai Amanah.
No comments:
Post a Comment