DETIK DAILY
Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kelantan sempena
lawatan seharinya ke negeri itu pada 28 Januari lalu adalah satu catatan
sejarah yang memalukan, kata Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli
Shaari.
Menurut beliau, Najib antara lain menyebut bahawa Kelantan tidak
mampu membayar gaji kakitangannya jika tanpa bantuan kerajaan pusat
menunjukkan bagaimana beliau gagal memahami konsep federalisme yang
telah termaktub dalam perlembagaan.
"Najib bagaikan mengulangi cerita 'tujuh janji' yang dilontarkan beliau juga di Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
"Perlu difahami bahawa kerajaan negeri dan pusat mempunyai bidang kuasa masing-masing mengikut jadualnya yang tersendiri.
“Kerajaan pusat mempunyai bidang kuasa memerintah melalui Dewan
Rakyat, manakala kerajaan negeri pula melalui dewan undangan negeri,"
katanya dalam kenyataan terbuka, hari ini.
Terdahulu media tempatan melaporkan, Najib pada ucapannya di Kota
Bharu, Ahad lalu berkata, tanpa suntikan kerajaan pusat, negeri defisit
seperti Kelantan pun akan sukar membayar gaji kakitangan awamnya.
Menurut beliau, Kelantan yang ditadbir oleh PAS adalah sebuah negeri defisit rendah.
“Negeri defisit macam Kelantan ini pun, kalau tidak ada suntikan
daripada kerajaan pusat nak bayar gaji pun tak mampu, tak boleh nak
bayar gaji,” kata Najib dipetik sebagai berkata.
Ahmad Fadhli berkata, antara kuasa-kuasa yang ada pada kerajaan pusat
adalah kewarganegaraan persekutuan, hubungan luar, pertahanan,
keselamatan dalam negeri, kewangan, pendidikan, perdagangan dan
industri.
Menurutnya, kuasa kerajaan negeri pula merangkumi undang-undang
Islam, tanah, pertanian dan perhutanan, kerajaan tempatan, perkhidmatan
tempatan dan jentera kerajaan negeri.
"Ini merupakan asas dalam konsep federalisme. Mengungkit-ungkit
kerajaan Kelantan mampu membayar gaji hanya kerana mendapat bantuan
kerajaan pusat adalah satu perbuatan kebudak-budakkan.
“Banyak mana pula hasil mahsul yang diangkut dari bumi Kelantan untuk membiayai Putrajaya?
"Adakah boleh disebut bahawa tanpa minyak Kelantan, perdana menteri
tidak akan mampu mengelilingi dunia bersama isterinya?" soal beliau.
Tambah naib ketua Pemuda PAS pusat itu, Terengganu negeri yang paling
hampir dengan Kelantan pun menerima sekitar RM1.5 billion terimaan dari
kerajaan pusat hasil royalti dan sebagainya seperti yang termaktub di
dalam Bajet 2018 negeri tersebut.
"Barangkali tanpa bantuan pusat, bukan setakat gaji kakitangan, bahkan butir beras pun tidak mampu untuk dibeli.
"Realitinya, ia tidak boleh disebut sebagai bantuan. Ia adalah
kewajipan anda sebagai kerajaan pusat. Adakah ia tanda bahawa parti
Datuk Seri sudah jemu untuk mentadbir kerajaan pusat?
"Kita kesal dengan kegagalan perdana menteri memahami konsep ini.
Harapnya ia hanyalah penyedap telinga kepada jentera Umno Kelantan untuk
meningkatkan usaha berdepan Pilihan Raya Umum Ke-14 bersama rakan baru
di Kelantan seperti dinyatakan oleh Tengku Razaleigh Hamzah beberapa
hari lepas," katanya.
No comments:
Post a Comment