DETIK DAILY
Oleh Timmy Say
“Di sini ada 10,000 orang manusia. Kamu gunalah apa cara sahaja untuk
menyakinkan mereka untuk memberikan undi kepada kamu. Sebelum mereka
boleh mengundi, mereka perlu mendaftar. Asalkan pada tarikh mengundi,
undi yang kamu dapat tinggi daripada lawan kamu, kamu menang. Sebagai
contoh, jika hanya 10% sahaja yang berdaftar, dan kamu mendapat undi
tertinggi daripada 1,000 undi yang ada itu, kamu menang.”
Ini peraturan permainan pilihan raya secara umum. Objektifnya mudah,
yakinkan (atau perbodohkan) rakyat agar menjadi pengundi yang mengundi
diri sendiri.
Sesiapa yang lebih berjaya menyakinkan rakyat mengundinya dan tidak
mengundi lawannya, sehingga undinya menjadi lebih tinggi daripada semua
lawannya di mana-mana satu kerusi, akan menjadi pemenang.
Rakyat di satu kawasan amnya terbahagi kepada 3 golongan, golongan
yang boleh mengundi, golongan yang tidak mendaftarkan diri sebagai
pengundi dan golongan yang tidak boleh mengundi.
Golongan yang mengundi pula terbahagi kepada beberapa kumpulan, iaitu
kumpulan yang mengundi di pilihan raya, golongan yang tidak mengundi
dan golongan yang membuat undi rosak samada dengan sengaja ataupun tidak
sengaja. Golongan yang telah diyakinkan oleh para ahli politik pasti
akan mengundi. Golongan yang gagal diyakinkan oleh para ahli politik
pula akan cenderung ke arah undi rosak.
Golongan yang langsung tidak mempedulikan hal pilihan raya tidak akan mengundi walaupun mereka berdaftar.
Walaupun kemenangan mana-mana pihak di hari mengundi ditentukan
melalui jumlah undi yang diterima, akan tetapi kesemua pihak yang
disebut di atas memainkan peranan untuk menentukan siapa yang menang.
Dalam kata lain, keputusan pilihan raya bukannya ditentukan oleh
mereka yang mengundi sahaja. Mereka yang tidak mengundi juga akan
menyebabkan keputusan pilihan raya berubah.
Contohnya kalau para pimpinan pembangkang dapat menyakinkan pengundi
kerajaan yang tidak mahu menyokong mereka untuk membuat undi rosak atau
tidak keluar mengundi untuk mengurangkan undi Barisan Nasional (BN), itu
akan memberikan kesan kepada keputusan pilihan raya. Begitu juga
sebaliknya. Taktik ini halal di sisi pilihan raya.
Untuk memenangi satu-satu pilihan raya, taktiknya bukan satu. Selain
menyakinkan pengundi untuk mengundi diri sendiri untuk mencapai objektif
bagi mendapatkan jumlah undi tertinggi, mana-mana pihak yang bertanding
juga boleh memperbodohkan pengundi yang pro-lawan agar tidak mengundi
pihak lawan atau mengundi pihak ketiga untuk mengurangkan dan memecahkan
undi pihak lawan.
Mereka yang berkuasa selalunya akan membuat “lebih” daripada strategi
yang disebut di atas termasuklah memindahkan pengundi dan juga melukis
juga kawasan pilihan raya agar sesuatu kawasan itu dipenuhi oleh
pengundi mereka sendiri berbanding kawasan yang lain.
Tapi ini tidak bermaksud permainan menyakinkan atau memperbodohkan pengundi akan berhenti sehingga hari mengundi.
Kebelakangan ini, nampaknya parti politik terutamanya pembangkang
tidak selesa dengan kemunculan gerakan #Undirosak sehingga golongan ini
dicemuh dengan pelbagai cacian dan makian. BN juga tetiba muncul untuk
menghentam golongan ini setelah dituduh mendalangi gerakan ini secara
diam.
Persoalannya mengapa perlu memberikan fokus kepada undi yang telah
rosak ini? Meskipun ia dikira di pilihan raya, tapi ia cumalah satu undi
yang adil yang tidak memihak kepada sesiapa selain satu petanda suara
protes sekiranya ia banyak. Ia boleh dikatakan setaraf protes jalanan
Bersih sebelum ini yang setakat ini belum dapat membawa perubahan yang
diharapkan.
Jika protes Bersih ialah satu hak demokrasi walaupun ia hanya
disertai sebilangan kecil rakyat (dibandingkan dengan jumlah rakyat
Malaysia), maka gerakan #Undirosak juga adalah satu hak demokrasi yang
perlu dihormati meskipun ada yang terasa ia sebagai gerakan yang
membazir undi.
Persoalannya ia sedang membazir undi siapa? Sekiranya PH menang
kerana undi rosak pada BN tinggi, bukankah undi rosak ini menjadi satu
faktor kemenangan kepada mereka? Begitu jugalah sebaliknya.
Sepatutnya tumpuan harus diberikan kepada undi yang belum rosak
terutamanya golongan yang sudah berdaftar tapi kemungkinan tidak akan
mengundi kerana belum diyakinkan untuk mengundi siapa atau sedang
menghadapi kekangan ekonomi untuk pulang ke kampung untuk mengundi.
Bukankah itu lebih bernilai dikejar dengan kesuntukan masa yang ada
daripada cuba menyakinkan mereka yang sudahpun bertekad merosakkan undi?
Ingatlah, kalau kita rasa orang lain bodoh, orang lain juga rasa kita
bodoh. Dalam kisah orang lain, kita orang bijak. Dalam kisah sendiri,
kita selalu jadi ‘loser’. Bukankah begitu?
No comments:
Post a Comment