KUANTAN: PKR meletakkan dua calon wanita di dua daripada empat kerusi
Parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu di Pahang pada pilihan raya
umum ke-14 (PRU14).
Pengerusinya Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata dua kerusi Parlimen itu
ialah Kuantan yang akan terus dipertahankan oleh Fuziah Salleh dan
seorang muka baru bagi kerusi Parlimen Rompin.
"Calon wanita di Rompin adalah golongan profesional dan anak peneroka.
Pemilihannya atas pertimbangan kawasan itu yang mempunyai ramai
peneroka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Wanita
Pakatan Harapan Pahang di sini hari ini.
Fauzi berkata dua lagi kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada PKR
ialah Bera dan Indera Mahkota (IM), yang mana beliau tidak menolak
kemungkinan akan bertanding sama ada mempertahankan kerusi IM atau
berpindah ke kawasan baru.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pahang berkata kerusi
Parlimen Temerloh diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah), atas
permintaan parti berkenaan.
"Buat masa ini, strategi Pakatan Harapan ialah meletakkan calon
daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan Parlimen yang
menjadi kubu kuat Umno kerana mereka sudah tahu selok belok permainan
politik lawan," katanya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi DUN Pahang, Fauzi berkata perkara
itu masih belum dimuktamadkan kerana menunggu keputusan daripada
pimpinan pusat, walaupun nama calon berkelayakan sudah diserahkan.
Katanya senarai calon yang dikemukakan terdiri daripada anggota DUN
sedia ada yang berkemungkinan bertanding di kerusi baru dan calon baru
yang merupakan anak muda.
"Kita mahu mengajar politik baru di mana pemilihan bukan berdasarkan
faktor usia, tapi atas merit dan kemampuan seseorang calon menjalankan
tanggungjawab.
"Jika berlaku pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya, kita tahu
kita sudah menyediakan calon yang berkebolehan untuk penilaian
masyarakat," katanya.
No comments:
Post a Comment