Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR
KEANGKUHAN Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun
Razak semakin terserlah ketika kunjungan kerjanya di Kelantan beberapa
hari lalu. Dalam kenyataannya itu beliau mengingatkan Kerajaan PAS
Kelantan mengenai bantuan yang dihulurkan Kerajaan BN pada negeri itu.
PM mengungkit bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak akan mampu membayar
gaji penjawat awam jika tidak kerana suntikan dana dari Putrajaya.
Analogi kenyataan PM ini ibarat
seorang ayah yang kerap kali mengungkit jasa dan pengorbanan ayah
terhadap anak-anaknya. Walhal, itu adalah tanggungjawab seorang ayah.
Tidak perlu mengungkit hal tersebut pun anak-anak akan tahu bahawa
ayahnya yang perlu berkorban untuk anak-anaknya. Malah, itu tugas dan
rutin seorang ayah yang membanting tulang bekerja demi kesejahteraan
anak-anaknya. Seolah-olah, pemberian selama ini tidak ikhlas dan hanya
mengharapkan balasan. Jika begitu sifatnya, inilah watak seorang ayah
yang tidak baik kerana sering menuntut dan meminta balasan dengan
anaknya terhadap apa yang diberikannya selama ini.
Seorang pemimpin yang baik tidak akan
berkira dan kedekut terhadap rakyatnya. Dia tidak akan mengira latar
belakang, warna kulit, idelogi politik, sokongan, dan kedudukan mereka.
Sesiapa sahaja yang susah pasti akan dibantu. Baik Kelantan, Selangor,
Pulau Pinang, mahupun Sabah dan Sarawak menjadi perhatian jika kedudukan
mereka susah. Tidak perlu diungkit jasa dan pengorbanan kerana rakyat
sendiri yang menilai keikhlasan seorang pemimpin. Sememangnya tugas
Perdana Menteri mengagihkan bantuan kepada kerajaan negeri yang
memerlukan, termasuk Kelantan.
Pemimpin jahat adalah pemimpin yang
bersifat pendendam dengan menyekat bantuan kerana tidak suka kepada
sesetengah pihak atau golongan yang tidak menyokongnya. Pelbagai alasan
diberikan bagi menghalalkan tindakannya. Hanya kerana benci atau tidak
suka kepada kelompok tertentu, yang mungkin kerana mereka tidak
menyokongnya, maka pelbagai kekangan dibuat. Jika diberi sekalipun, dia
akan mengungkit ‘selama tujuh keturunan’ seolah-olah dia telah berjasa
besar dan berbuat perkara paling baik dalam hidup.
Yang PM ingat adalah dia pemimpin
besar dan berjasa banyak kepada rakyat, khususnya negeri Kelantan. Yang
dia lupakan adalah dia adalah pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Sekali
dalam tempoh lima tahun rakyat akan memilihnya dan partinya untuk
menjadi Perdana Menteri. Tujuan rakyat memilihnya adalah bagi membela
rakyat untuk tempoh lima tahun kemudiannya. Antara rakyat yang memilih
BN dalam pilihan raya lalu datangnya dari Kelantan. Justeru, bagaimana
dia boleh mengungkit jasa kerajaan sedangkan rakyat pula yang memilih
kerajaannya berkuasa selama lima tahun.
Tunggulah, beberapa bulan lagi rakyat pula akan memilih mana kerajaan yang mereka impikan dan tahulah PM siapa berkuasa sebenarnya ketika itu.
No comments:
Post a Comment