GEORGETOWN: Dua lelaki mengalami gejala letih dan lemah yang teruk
sehingga terpaksa dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini,
dipercayai selepas meminum sejenis kopi.
Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Wan Mansor Hamzah, berkata
dua lelaki itu masih menerima rawatan di HPP dan dilapor berada dalam
keadaan stabil.
"Mereka mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan HPP hari ini kerana
mengalami beberapa gejala antaranya letih dan lemah yang teruk. Dua
lelaki itu mendakwa gejala berkenaan berlaku selepas minum sejenis kopi.
"Pihak kami menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan dua
lelaki itu serta sedang membuat beberapa ujian termasuk ujian darah ke
atas mereka untuk mengenal pasti punca sebenar," katanya dipetik sebuah
agensi berita tempatan.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan sampel kopi berkenaan
untuk diuji bagi memastikan sama ada ia berpunca daripada minuman itu
atau tidak.
Dr Wan Mansor berkata, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang akan mengeluarkan
kenyataan rasmi selepas mendapat keputusan berhubung ujian terhadap
mangsa dan sampel kopi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami gejala sama
supaya mendapatkan rawatan segera di mana-mana klinik atau hospital
berdekatan mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdulah
dalam kenyataan melalui Facebook beliau hari ini berkata, pihaknya
mengesan berita yang viral melalui aplikasi WhatsApp berhubung beberapa
pesakit yang mendapatkan rawatan di HPP selepas meminum sejenis kopi.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sedang membuat siasatan
mendalam mengenai perkara itu dan akan memaklumkan kepada umum sebaik
mendapat kepastian.
No comments:
Post a Comment