SALOR: Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan membuat laporan polis
berhubung program PAS yang akan berlangsung malam tadi di Wisma Tok
Guru, Salor yang didakwa melanggar perintah mahkamah.
Pengerusi Amanah kawasan Kubang Kerian, Fauzi Muhamad berkata, PAS
diingatkan agar mematuhi perintah injunksi erinford yang dikeluarkan
oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, berhubung kemelut pertikaian antara
ADUN Salor, Datuk Husam Musa dan Mohd Yasin Yusoff dalam isu hartanah
melibat premis tersebut.
Menurutnya, ia berikutan penganjuran sebuah konsert hiburan oleh
Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Tindakan DUN
Salor yang akan diadakan bertempat di Wisma Tok Guru, malam tadi.
"Tindakan PAS melanggar perintah injunksi Erinford oleh Mahkamah Tinggi
Kota Bharu ini amat dikesali dan ia disifatkan sebagai suatu lagi
cubaan provokasi melampau.
"Ia berlaku selepas sebelum ini pihak PAS telah memasang papan tanda
yang melarang sebarang aktiviti dijalankan di atas hartanah yang masih
dalam pertikaian di mahkamah," katanya kepada Malaysiakini, hari ini
selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian, Kota Bharu.
Terdahulu, PAS merancang program Hiburan Alternatif yang akan menampilkan persembahan dikir barat dan acara cabutan bertuah.
Isu Wisma Tok Guru yang dijadikan Pusat Khidmat ADUN Salor menarik
perhatian ramai selepas pemilik asal hartanah itu menjual tiga lot tanah
kepada Mohd Yasin yang juga setiausaha kerja PAS Kelantan.
Tanah itu asalnya dibeli bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim dan menamakan isterinya sebagai pemilik.
Namun baru-baru ini tanah berkenaan dijual kepada Mohd Yasin pada harga RM700,000.
Husam bagaimanapun berjaya mendapatkan perintah injuksi 'Erinford'
sekali gus membolehkan beliau menggunakan hartanah tersebut seperti
sebelum ini sementara keputusan akhir kes pertikaian itu dibuat.
Sementara itu, difahamkan Husam melalui peguamnya telah menghantar
notis peringatan kepada pihak peguam Mohd Yasin agar mematuhi perintah
injunksi Erinford tersebut.
Namun, difahamkan juga program yang dirancang PAS itu tetap bakal berlangsung seperti dijadualkan.
No comments:
Post a Comment