Thursday, January 25, 2018

Desakan Dong Zong melampau

Manzaidi Mohd Amin
Sirajuddin Salleh


KUALA LUMPUR – Desakan Persatuan Cina Dong Zong (Dong Zong) supaya kerajaan membina 34 lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dianggap melampau dan berbaur ugutan politik.

Justeru, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan desakan itu sebagai satu lagi usaha dari bangsa Cina yang mahu merenggangkan perpaduan kaum yang sudah sedia rapuh di negara ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajuddin
Salleh berkata, Perlembagaan Negara dan Dasar Pendidikan Kebangsaan sudah jelas menjadikan pelajaran sebagai wahana pembentukan perpaduan nasional, apakah mereka buta mengenai perkara itu?

“Malangnya, parti yang mewakili kaum Cina dalam kerajaan iaitu MCA dan Gerakan tidak berbuat apa-apa. Mereka sebaliknya terang terangan menyokong tuntutan itu.

“Lagi pun sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dan meluluskan pembinaan 10 buah SJKC pada tahun tahun lalu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Dong Zong, Vincent Lau yang meminta sekurang-kurangnya 34 SJKC baru diperlukan bagi memenuhi permintaan rakyat, khususnya masyarakat Cina.

Beliau dilaporkan berkata, sekolah rendah Cina sekarang belum mencukupi, meskipun kerajaan sudah meluluskan 10 sekolah rendah Cina baharu dan pemindahan enam sekolah rendah Cina.

Menurut Sirajuddin yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Perkasa, apa yang dilakukan oleh Dong Zong itu tidak lebih bersifat ugutan politik terhadap kerajaan, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan tidak lama lagi.

Beliau mengingatkan persatuan itu lupakah mereka pada masa ini jurang pemisah antara kaum semakin besar dan dalam momentum yang amat laju disebabkan oleh monopoli perniagaan, politik, agama dan budaya.

“Sekarang Dong Zong pula cuba untuk melebarkan pemisahan kaum melalui pendidikan, memupuk perasaan perkauman pada peringkat awal persekolahan.

“Ini adalah strategi jangka panjang bangsa Cina di bumi Malaysia dan satu usaha amat bahaya yang boleh menghancurkan perpaduan dan keharmonian hidup rakyat Malaysia secara keseluruhan.

“Nyatalah sifat hipokrit pemimpin mereka yang melaungkan perpaduan nasional, sedangkan pada masa sama memecahbelahkan anak-anak generasi muda yang sengaja dibesarkan di sekolah Cina,” tegasnya.

Kata Sirajuddin, sia-sialah kerajaan tubuhkan Jabatan Perpaduan Negara (JPN)untuk merapatkan hubungan antara kaum di Malaysia jika isu sekolah tahun demi tahun tidak dapat diselesaikan secara total.

“Kalau mereka benar-benar cintakan perpaduan dan keharmonian kaum, SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) wajib diganti dengan sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan.

“Singapura telah melakukannya, hanya sekolah satu aliran dari peringkat rendah hingga menengah,” ujar beliau.

Menurutnya, SJKC menghasilkan murid yang tidak fasih berbahasa Melayu dan semakin ramai yang tidak tahu dan tidak mahu berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan.

“Orang Cina berbahasa Cina, orang Melayu berbahasa Melayu dan orang India berbahasa Tamil. Di mana letaknya perpaduan antara kaum?

“Kalau itulah kehendak Dong Zong, mengapa tidak desak tubuh negeri otonomi sendiri, guna sistem pendidikan sendiri dan berbahasa Cina?” soal beliau.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan mengenai sekolah kebangsaan yang masih daif dari segi infrastruktur dan kemudahan disediakan.

Ujarnya, lihat sahaja sekolah kebangsaan di kampung dan pendalaman, tanpa jalan tar, tanpa bekalan elektrik dan air bersih.

“Peruntukan demi peruntukan dipohon tanpa dipedulikan, tetapi apabila Dong Zong bersuara mereka terus dilayan segera. Tiba-tiba lulus sahaja 10 SJKC beberapa bulan lalu.

“Ini bertepatan dengan pepatah Melayu “anak sendiri mati kelaparan kera di hutan disusukan.

“Pada Perkasa, kedua dua pihak iaitu yang menuntut dan yang meluluskan adalah pengkhianat bangsa dan negara,” katanya sambil mendesak kerajaan supaya menolak tuntutan Dong Zong itu. – MalaysiaGazette


No comments: