SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa memberi
penjelasan tentang pelepasan status kaveat ke atas tanah seluas
kira-kira 17 hektar di Ladang Hopeful, Bestari Jaya yang menyebabkan 21
peneroka di kawasan itu kini hilang punca pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan
(JKKKP) Bestari Jaya, Sapari Ahmad Sayuti berkata, akibat pelepasan
status itu, tanah yang sebelum ini menjadi pertikaian ekoran pertindihan
tuntutan kerana diberi kepada orang luar bukan peneroka sudah dijual
kepada syarikat swasta.
Menurutnya, pelepasan kaveat yang dilakukan pada 2013 itu pula dibuat
tanpa pengetahuan peneroka di ladang terbabit dan hanya mengetahuinya
baru-baru ini selepas syarikat swasta yang menjadi pemilik baru tanah
mula menebang tanaman kelapa sawit milik peneroka.
“Hasil semakan kami di Pejabat Tanah dan Daerah, kami mendapati 21
orang luar yang dikurniakan tanah itu telah menjualnya kepada syarikat
swasta selepas status kaveat dilepaskan pada 2013.
“Persoalannya kenapa status itu ditarik balik dan kenapa tidak
dimaklumkan kepada pihak peneroka? Itu yang Mohamed Azmin kena jawab,”
katanya dipetik Utusan Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan 99 Kebajikan Insan Selangor (99
Kesan), Muhd. Ali Zakaria mahu kerajaan PKR Selangor tampil membela
nasib golongan peneroka yang teraniaya.
“Tindakan membiarkan peneroka itu kehilangan punca pendapatan hanya
membuktikan sikap tidak prihatinan kerajaan PKR Selangor terhadap nasib
rakyat.
“Sebab itu saya minta Menteri Besar lihat balik perkara ini dan bantu
peneroka-peneroka terbabit kerana merekalah yang perlu diutamakan,”
ujarnya.
Tambah Muhd. Ali, sekurang-kurangnya peneroka terlibat diberikan
pampasan atau kawasan lain untuk mencari rezeki dan seterusnya menampung
keluarga.
No comments:
Post a Comment