Tuesday, January 30, 2018

PAS Kelantan akui zaman Najib lebih baik berbanding Tun M

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri adalah lebih baik berbanding era Tun Dr Mahathir Mohamad, ujar Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
 
Perkara itu diakui kerajaan PAS Kelantan berdasarkan hubungan di antara kerajaan negeri dan Pusat juga semakin baik walaupun ada perkara belum ditunaikan.
 
"Memang berbeza kalau mahu dibandingkan zaman Tun Mahathir dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib. Zaman Tun Abdullah dan Najib menjadikan hubungan Kelantan dengan Pusat lebih baik.
 
"Namun, banyak perkara lagi yang Kerajaan Pusat belum laksanakan seperti tuntutan royalti dan kita berharap ia dipertimbangkan.
 
"Walaupun masih agak terpinggir berbanding negeri diterajui Barisan Nasional (BN), sekurang-kurangnya terdapat perbezaan dari segi hubungan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.
 
Kelmarin, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 1, berkata beliau sentiasa mengutamakan rakyat Kelantan.
 
Ia, katanya, termasuk melaksanakan pembangunan projek yang dapat melenyapkan 'mimpi ngeri' rakyat negeri ini yang sering dilanda banjir termasuk banjir besar pada 2014.
 
"Saya tidak mahu ada yang ketinggalan. Ini berdasarkan prinsip Islam yang mahu kita jadi pemimpin adil kepada semua. Sebab itulah saya berbeza dengan pemimpin terdahulu yang memerintah 22 tahun, tapi meminggirkan Kelantan atas perbezaan politik," kata Najib
 
Mohd Amar turut mengakui Kelantan bergantung kepada bantuan Kerajaan Pusat, sama seperti negeri lain.
 
"Pulau Pinang dan Selangor pun bergantung kepada Kerajaan Pusat, malah Selangor sendiri ada hutang dengan Kerajaan Pusat.
 
"Sekiranya Kerajaan Pusat tidak bantu dari segi agensi, negeri tidak boleh berjalan. Apa yang pasti, tiada negeri mampu hidup tanpa bantuan pusat," katanya.
 
 

No comments: