Oleh Ainor Rahim
PUTRAJAYA: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menegaskan perjuangan untuk terus mempertahankan Baitulmaqdis
daripada dirampas oleh Israel, sentiasa wujud dalam setiap jiwa umat
Islam di seluruh dunia.
Berucap pada Himpunan Munajat MyAQSA yang berlangsung di Dataran
Putrajaya semalam, Abdul Hadi yang yang juga Presiden PAS menyeru agar
perjuangan itu terus 'bernyala'.
“Ketahuilah Israel bahawa saf umat Islam berjuang untuk membebaskan
Baitulmaqdis ini, kepala di Baitulmaqdis ekor di Morocco sehingga ke
Indonesia dan Malaysia.
“Mereka tidak akan membunuh semangat umat Islam yang jumlahnya kepala
di Baitulmaqdis ekornya dari Morocco hingga ke Indonesia dan Malaysia.
Dari Asia tengah sehingga ke Afrika, ini adalah umat Islam di seluruh
pelusuk dunia. Laksana satu jasad yang tidak mungkin dicincang dan
dipisahkan antara satu sama lain,” katanya sambil menerima laungan
takbir para peserta himpunan.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang seterusnya mengingatkan
pemimpin Islam agar tidak tunduk kepada tawaran wang ringgit demi
menggadaikan bumi Palestin daripada jatuh ke tangan Israel Yahudi.
“Ada Pemimpin Arab yang kaya raya duit banyak tetapi miskin jiwa,
bertindak memujuk rakyat Palestine untuk menyerahkan Baitulmaqdis kepada
Yahudi. Namun Alhamdulillah semua pemimpin umat Palestine menolak
tawaran ini.
"Hari ini kita dengar tawaran berbilion kepada pemimpin Palestin.
Tawaran ini pernah berlaku pada zaman dahulu. Sejahil orang Islam mereka
tidak menerimanya," tegasnya.
Hadir sama pada himpunan tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Jamil dalam ucapannya berkata menolak perbezaan fahaman politik,
himpunan berkenaan yang juga menghimpunkan wakil umat Islam dari seluruh
dunia, berhimpun atas penyatuan semangat solidariti demi rakyat
Palestin.
“Kehadiran kita malam ini bukan untuk hanya sekadar menyambung rintihan
kesedihan mereka (rakyat Palestine) tetapi kita sedang membantu
golongan Palestin yang sedang dijajah pada hari ini.
"Marilah kita pada malam semangat yang kita membataskan semua perasaan
termasuk perbezaan-perbezaan di kalangan kita. Walaupun kita punya
perbezaaan pandangan politik dan parti-parti yang kita dukung dan
sebagainya. Namun pada malam ini kita dapat berhimpun atas satu semangat
untuk mempertahankan bumi Aqsa dan Palestin," tambahnya.
Festival MyAQSA bermula pada 26 sehingga 28 Januari yang menawarkan
pelbagai program untuk pengunjung yang datang termasuk Persidangan Meja
Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmuqaddis - dihadiri 100 ulama
dari 30 negara.
Persidangan itu memfokuskan masa depan dan situasi semasa Baitulmaqdis
yang kini terancam selepas Amerika Syarikat mengisytiharkan kota suci
itu sebagai ibu negara Israel.
Himpunan Munajat MyAQSA adalah acara kemuncak festival itu yang
menyaksikan ribuan peserta hadir membanjiri Dataran Putrajaya bermula
jam 8 malam. Paling mengujakan hadirin yang hadir langsung tidak
berganjak meninggal tapak himpunan biarpun hujan turun mencurah-curah.
No comments:
Post a Comment