Tuesday, January 30, 2018

Dr Mahathir jadi peluru serang Pakatan di Kelantan

DETIK DAILY

 
Oleh 
DI KEBANYAKAN negeri, Dr Mahathir Mohamad diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai aset untuk mempengaruhi sokongan Melayu dan jadi cabaran besar kepada Barisan Nasional (BN).

Tetapi di Kelantan, ceritanya lain pula.

Di negeri itu, Dr Mahathir dilihat satu beban kepada pembangkang. Malah BN cukup bersedia untuk menjadikan bekas perdana menteri itu sebagai bahan kempen utamanya dalam usaha merampas semula negeri itu yang dikuasai PAS sejak 1990.

Dr Mahathir jadi beban di Kelantan kerana selama jadi perdana menteri dulu beliau menghukum rakyat Kelantan kerana mengundi PAS.

Dalam ucapan-ucapan mereka, pemimpin BN dilihat menggunakan perbezaan layanan Dr Mahathir selama 22 tahun pentadbirannya dengan Perdana Menteri dan Presiden BN Najib Razak.

Pengerusi BN Kelantan Mustapa Mohamed berkata Dr Mahathir memang terkenal dengan sikap menggunakan tekanan dan menghukum Kelantan kerana sokongan konsisten rakyat negeri itu kepada PAS selepas tiga pilihan raya – 1991, 1995 dan 1999.

Pemimpin PAS seperti bekas Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata Dr Mahathir menafikan peruntukan dana kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan.

"Dulu memanglah pelbagai tekanan diberikan sehingga ada orang kata rakyat Kelantan kena dera dengan Dr Mahathir," kata Mustapa

Dalam lawatan rasminya ke Kelantan pada Ahad lalu, Najib menekankan sikap pemurah pentadbirannya yang memberikan peruntukan kepada Kelantan berbanding Dr Mahathir.

Dalam tempoh 24 tahun, dari 1981 hingga 2005, kerajaan persekutuan memberikan RM12.07 bilion kepada Kelantan. Dr Mahathir memerintah dari 1981 hingga 2003.

Tetapi dari 2006 hingga 2018, kira-kira RM14.67 bilion telah diperuntukkan kepada Kelantan. Najib dilantik sebagai perdana menteri sejak 2009, mengambil alih dari Abdullah Ahmad Badawi.

BN kini memegang 12 kerusi di 45 dewan negeri. PKR mempunyai satu kerusi manakala selebihnya adalah wakil PAS.

Tinjauan  mendapati lebih separuh daripada pengundi Kelantan yang ditemuramah tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri PAS.

Lebih dua pertiga daripada 21 penduduk dari lima daerah yang ditemubual dalam tinjauan itu berkata sentimen ubah kerajaan negeri pada PRU14 ini turut dikongsi oleh kenalan dan keluarga terdekat mereka.
Gelombang mengalih sokongan itu didorong atas faktor kelemahan kerajaan negeri menerusi perkhidmatan majlis perbandaran serta masalah bekalan air, kurangnya pembangunan dan peluang pekerjaan.

Tetapi belum jelas parti mana yang akan mereka pindahkan sokongan itu kerana ramai berkata mereka hanya akan membuat keputusan apabila pilihan raya umum semakin hampir

PH menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kerana percaya beliau lebih popular dalam kalangan pengundi lebih tua, luar bandar, yang mengingatkan bagaimana pemimpin tersebut semasa pentadbirannya pernah mengubah Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian serantau pada tahun 90-an.

Mustapa percaya sikap Najib terhadap Kelantan akan memberi kelebihan kepada BN berbanding PH apatah lagi Dr Mahathir kini dinamakan sebagai calon perdana menteri gabungan pembangkang.

“Najib lagi popular di Kelantan berbanding Dr Mahathir,” katanya yang turut yakin populariti Najib dapat membantu BN merampas kembali Umno BN.

"Najib terbuka dan inklusif. Malah Menteri besar (Ahmad Yakob) kata lebih mudah berurusan dengan Najib banding dengan Dr Mahathir.

"Inilah yang membezakan Najid dan Dr Mahathir. Najib tidak menekan, beliau lebih terbuka. Beliau tidak menggunakan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri).

"Ada lebih kebebasan bersuara dan ini menjadikan rakyat Kelantan lebih yakin kepada kita (BN)," kata Mustapa, yang pernah menganggotai pentadbiran Dr Mahathir.

No comments: