SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua
lelaki yang mengaku sebagai orang tengah polis dan meminta wang RM5,100
kononnya bagi menyelesaikan satu kes dadah.
Suspek pertama berusia 44 tahun ditahan di sebuah restoran di Bandar
Springhill, Port Dickson pada pukul 3 petang, manakala rakannya berumur
46 tahun diberkas di pejabat SPRM Port Dickson kira-kira sejam kemudian.
Utusan Online yang memetik sumber melaporkan, kedua-dua suspek yang
merupakan peniaga disyaki meminta wang tersebut daripada seorang lelaki
sebagai balasan untuk membantu melepaskan anaknya yang ditahan polis
kerana kes penyalahgunaan dadah.
Kedua-dua suspek mendakwa kononnya RM5,000 daripada wang itu akan
diberikan kepada seorang anggota polis berpangkat Sarjan dari Bahagian
Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi menyelesaikan kes
itu, manakala baki sebanyak RM100 pula adalah upah mereka.
Kedua-dua suspek telah menerima sebanyak RM3,000 daripada jumlah wang
itu pada Sabtu lalu manakala RM2,100 diserahkan kepada mereka semalam.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Ramli Ismail ketika
dihubungi mengesahkan penahanan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta
SPRM 2009. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.
No comments:
Post a Comment