Monday, January 29, 2018

Siapa calon Menteri Besar PH bagi Johor?

Manzaidi Mohd Amin
Muhyiddin Yassin


KUALA LUMPUR – Rakyat Johor tertanya-tanya, siapakah bakal menteri besar negeri itu dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH)?

Adakah calon itu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salehuddin Ayub dan bekas Pesuruhjaya Pas Johor, yang sekarang menyertai PAN Johor, Aminolhuda Hassan?

Menurut jurucakap Persatuan Pemikir Muda Johor (PPMJ), Fikri Allaudin, rakyat negeri itu sedia maklum PH telah mengangkat Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, tetapi siapa pula bakal Menteri Besar Johor dalam kalangan PH.
Siapa calon Menteri Besar PH bagi Johor?
Aminolhuda Hassan
“Rakyat Johor mahu melihat siapa calon terbaik dari PH yang mampu menyaingi kredibiliti dan sosok kepimpinan Menteri Besar dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Umum tahu, sejak era kepimpinan Mohamed Khaled, pelbagai kejayaan dan pembangunan telah dicapai untuk negeri Johor. Pelbagai dasar dan tadbir urus berkesan telah memacu ekonomi dan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Johor.

“Beliau adalah individu yang sangat dekat di hati rakyat dan mudah mendampingi rakyat, apatah lagi sangat disenangi oleh generasi muda Johor,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Kata Fikri, PPMJ mengikut rapat Ceramah 100 Hari Menuju Putrajaya anjuran PH Johor semalam dan turut melihat sejauh mana impaknya khusus kepada rakyat Johor.
Siapa calon Menteri Besar PH bagi Johor?
Salahuddin Ayub
Bagaimanapun, katanya, daripada semua pemimpin tertinggi PH yang hadir iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Nuru Izzah Anwar, Gobind Singh Deo, Mohamad Sabu dan ramai lagi, hanya Muhyiddin tidak kelihatan pada ceramah itu.

“Adakah bekas Menteri Besar Johor itu tidak berani berhadapan dengan rakyat Johor di atas pentas sebagai seorang pembangkang atau bimbang dengan kehadiran orang ramai itu untuk melihat apa sebenarnya cuba ditawarkan PH kepada mereka.

“Oleh itu, sudah tentu PH perlu meletakkan calon terbaik bagi menawan hati rakyat untuk berani menukar tampuk kepimpinan di Johor.

“Selepas melihat pembahagian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, kami merasakan tiada nama besar yang mampu menggalas tanggungjawab memimpin negeri Johor,” katanya.

Jelas Fikri, walaupun PAN ada dua nama besar seperti Aminolhuda dan Salahuddin, tetapi belum cukup kuat memandangkan kepimpinan parti itu di Johor sendiri gagal dalam menguruskan pembahagian kerusi.

Begitu juga, katanya, di kem PKR yang tinggal Pengerusinya, Hassan Karim dan kerusi DUN parti itu hanya sekitar 12 kerusi sahaja.

“Paling menarik ialah melihat kerusi PPBM dan DAP. Masing-masing mempunyai kerusi besar iaitu 18 dan 14 bagi DUN Johor. Jika diambil kira, besar kemungkinan PPBM adalah calon bagi kerusi Menteri Besar Johor.

“Tetapi sudah tentu beberapa faktor bakal menyukarkan impian parti tersebut untuk mengisi jawatan di kerusi tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette


No comments: