Anwar mendakwa dia merayu pada Dr Mahathir untuk
membebaskan mereka yang tidak bertanggungjawab atas kenyataan berbaur
perkauman tetapi PH berkata serahkan pada polis.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu tangkapan 106 aktivis dan ahli politik pembangkang bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1987 disebabkan kenyataan berbaur perkauman oleh pimpinan Pemuda Umno dan Pemuda MCA.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu naib presiden Umno dan menteri pendidikan, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika itu ketua Pemuda Umno.
Anwar berkata Pemuda MCA diketuai Lee Kim Sai, yang ketika itu menteri buruh.
“Ketegangan disebabkan oleh Pemuda MCA dan Umno kemudian menyebabkan Operasi Lalang (tangkapan ISA),” katanya, menyatakan bahawa ini adalah sebab sebenar kejadian pada 27 Oktober 1987 itu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Mohammed Nasser Yusof, yang tampil bagi pihak ketua gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, yang disaman Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah kerana fitnah.
Nasser bertanyakan pada Anwar mengapa suami Maria, Yunus Lebai Ali, ditangkap polis bawah undang-undang pencegahan itu.
Anwar, yang dipecat Umno dan kerajaan pada 1998 atas dakwaan salahlaku seks dan salahguna kuasa, berkata beliau bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk membebaskan semua yang tidak terlibat dalam membina ketegangan itu.
“Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata perkara itu melibatkan keselamatan negara dan lebih baik diserahkan pada Cawangan Khas polis,” katanya.
Dr Mahathir ketika itu adalah menteri dalam negeri.
“Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin saksi saya semasa saya bertemu perdana menteri di Seri Perdana menggesa beliau hanya menahan pelaku ketegangan kaum untuk siasatan.”
Anwar berkata beberapa orang seperti bekas editor kumpulan Berita Harian Ahmad Sebi dan presiden Aliran ketika itu Chandra Muzaffar dibebaskan selepas penahanan maksimum 60 hari untuk siasatan.
Tahanan lain dihantar ke kem tahanan Kamunting untuk tempoh 2 tahun termasuk veteran DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan penasihat Suaram Kua Kia Soong.
Menurut laporan media, Pemuda MCA menimbulkan beberapa isu sensitif, seperti mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru dan penguasaan politik orang Melayu.
Terutamanya, pada awal November 1986, MCA Selangor, yang diketuai oleh Lee, meluluskan usul di konvenysen tahunan menyeru kerajaan mengkaji semula Akta Hasutan dan menjadikan satu kesalahan memanggil mana-mana 3 kaum utama pendatang.
MCA dan Lee juga menyertai tunjuk perasaan bersama DAP membantah pelantikan penolong kanan dan penyelia tanpa kelayakan Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah rendah Cina.
Menurut laporan media, Pemuda Umno melihat perkara itu seperti mencabar status Bumiputera orang Melayu, yang membawa kepada seruan menuntut Lee dipecat oleh ahli parti dan penarikan gelaran Datuk oleh Sultan Selangor.
Anwar berkata dia seorang aktivis pelajar pada 1970-an dan terlibat dalam beberapa tunjuk perasaan, antaranya membantah kejatuhan harga getah yang menjejaskan golongan miskin luar bandar.
Beliau berkata dia juga ditangkap poli pada Disember 1974 di bawah ISA dan dihantar ke Kamunting untuk 2 tahun.
Anwar berkata dia mengenali Yunus sebagai seorang aktivis sebelum 1974 dan hanya kemudian mendapat tahu yang Yunus terlibat secara aktif dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin, diketuai Yasser Arafat.
Maria menyaman Jamal kerana didakwa memfitnah beliau dan Bersih pada sidang media di luar Pusat Dagangan Dunia Putra pada 28 September 2016.
Beliau juga mendakwa pada 4 Oktober tahun yang sama, Jamal mengeluarkan kenyataan fitnah yang sama terhadap Bersih pada sidang media di Bukit Aman.
Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pda 7 Oktober, Maria berkata reputasi dan nama baiknya sudah tercemar.
Beliau menuntut ganti rugi dan injunksi menghalang Jamal daripada mengeluarkan kata-kata yang sama secara lisan, cetak atau atas talian.
Jamal bergantung pada justifikasi dan komen yang adil untuk membela dirinya.
Kes yang didengari oleh Hakim Zaki Abdul Wahab bersambung 5 Februari.
No comments:
Post a Comment