Thursday, January 25, 2018

Jangan selit unsur politik dalam pendidikan, kata Mujahid



Naib presiden Amanah berkata isu pendidikan akan dilihat sebagai isu politik jika hujah pendidikan dijadikan elemen perkauman.


mujahid-pendidikan

PETALING JAYA: Amanah berkata perbuatan mempolitikkan sistem pendidikan merupakan perkara yang tidak wajar dilakukan kerana pendidikan seharusnya bersifat neutral.

Naib Presiden Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, jika seseorang menjadikan pendidikan satu alasan mempertikaikan hak Bumiputera dan sebagainya, ia tidak lagi dilihat sebagai isu pendidikan.

“Sebaliknya ia sudah menjadi isu politik,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu memberi respon kepada tindakan Majlis Amal Islami Malaysia (Maim) di bawah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang menyelar Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) meminta tambahan 34 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara.

Pengerusi Kluster Pendidikan Maim, Dr Amini Amir Abdullah menyifatkan tindakan Dong Zong ibarat “diberi betis nak paha” kerana tidak bersyukur dengan tindakan kerajaan membina tambahan 10 SJKC dan memindahkan 6 SJKC sedia ada.

Amini turut mendakwa Dong Zong cuba mengambil kesempatan dan mengugut kerajaan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana SJKC sedia ada cukup menampung pelajar berbilang kaum di seluruh negara.

Dalam pada itu, beliau menyuarakan kebimbangan dengan kos membina SJKC baharu dan mempersoalkan jika hak Bumiputera diperjuangkan sepenuhnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mujahid bagaimanapun mempersoalkan dimana hal Bumiputera yang seakan diketepikan seperti yang disuarakan oleh Amini dalam kenyataannya.

Menurut Mujahid, setiap tahun, wakil rakyat membahaskan soal pendidikan di peringkat Parlimen untuk sekolah kebangsaan, Cina dan juga Tamil.

Dalam pada itu, Mujahid menyoal sama ada adakah sekolah kebangsaan sedia ada masih tidak mencukupi.

“Macam mana pula dia boleh kata seolah kita menafikan soal Bumiputera. Ia tiada kena mengena.

“Amini mempunyai hak berpendapat sedemikian tetapi beliau harus tampil dengan hujah konkrit, dan tunjukkan bahagian yang mana yang tak bagi peruntukan kepada Bumiputera.

“Ini adalah kerana pendidikan tidak patut ada elemen rasis. Mana-mana pihak, sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah Cina,” kata Mujahid kepada FMT.

Mujahid berkata Amini tidak sepatutnya menjadikan hujah pendidikan sebagai elemen perkauman, sambil bertanya apakah perbezaan Cina dan Melayu kerana rakyat Malaysia dikira sebagai satu.

Di samping itu, Mujahid berkata apa yang penting sejauh mana pencapaian mewujudkan murid berwawasan serta mampu berintegrasi dengan orang lain.

“Jika Amini sendiri berhujah atas jalur rasis, mana nak betul-betul integrasi dalam kepelbagaian.”

No comments: