Oleh Syed Mu'az Syed Putra
KUALA LUMPUR: PAS Perlis mengumumkan akan bertanding di kesemua 15
kerusi DUN dan tiga Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),
beritahu Pesuruhjayanya Mohd Shukri Ramli.
Ujar Shukri, keputusan berkenaan dibuat selepas melihat perkembangan
politik semasa yang memihak kepada PAS selepas tidak lagi bersama dalam
pakatan pembangkang.
"Saya nak maklumkan bahawa dalam PRU14 ini PAS Perlis telah mengambil
keputusan untuk bertanding di kesemua kerusi iaitu 15 DUN dan juga tiga
kerusi PArlimen," katanya kepada Antarapos.
Beliau berkata, sebanyak 50 peratus muka baru akan ditampilkan parti
itu pada PRU14 dan senarai nama sudah dikemukakan kepada pucuk pimpinan
parti sebelum diputuskan Majlis Syura Ulama PAS.
"Calon-calon yang kita kemukakan kepada Majlis Syura setakat ini
terdiri daripada muka lama dan muka baru yang terdiri daripada pelbagai
latar belakang termasuk aktivis parti, profesional dan juga ulama,"
katanya.
Shukri juga mendakwa PAS mempeunyai peluang cerah untuk menang di
Perlis memandangkan negeri itu gagal ditadbir dengan baik dibawah
pemerintahan Barisan Nasional (BN).
"Dalam pentadbiran Umno-BN di negeri Perlis memang dalam keadaan sebuah
negeri yang kita rasa bajetnya tak pernah mencukupi dan setiap tahun
defisit.
"Bagi kami PAS yang mana di dalam DUN pun saya pernah sebut bahawa kami tidak puas hati dengan apa yang berlaku," katanya.
Malah beliau turut mempersoal dana kerajaan negeri yang tidak
disalurkan untuk pembangunan sosioekonomi rakyat yang menunjukkan
ketidakcekapan pentadbiran di bawah Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
"Seperti pembangunan yang tak perlu termasuk pembinaan bangunan kedai,
pasaraya besar yang kita rasa kuasa membeli bilangan rakyat di Perlis
sekitar 250,000 adalah sesuatu yang tak perlu pembangunan yang terlalu
kehadapan.
"(Sehingga) menyebabkan banyak bangunan kedai dan rumah kedai yang
kosong selepas pembinaan disebabkan tidak ada peniaga yang berminat dan
sekarang ini pun kita lihat banyak pekan seolah-olah macam nak jadi
pekan mati kerana tidak ada pengunjung," katanya.
Shukri menambah, hingga kini kekuatan jentera parti berada pada tahap
baik dan beliau yakin ia mampu memberi sinar baru kepada PAS.
"Saya rasa dalam perkembangan sejak kebelakangan ini ada perubahan di
kalangan rakyat apabila PAS tidak lagi bersama Pakatan Harapan
insya-Allah kita boleh melakukan sesuatu," katanya.
Pada PRU13, kerusi yang ditandingi PAS adalah Parlimen Arau, Kangar dan
Padang Besar manakala DUN pula adalah Beseri, Santan Bintong, Kayang,
Pauh, Guar Sanji, Simpang Empat dan Sanglan.
Satu-satunya kerusi yang diwakili PAS adalah Sanglan.
No comments:
Post a Comment