Monday, January 1, 2018

Dr Mahathir kerap serang PAS jadi punca kerjasama dengan PPBM gagal

ANTARAPOS

Post Pic


KOTA BHARU: Sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang kerap menyerang PAS menjadi punca kegagalan rundingan untuk parti itu mengadakan kerjasama politik dengan PPBM tahun lalu, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau antara yang terlibat dalam rundingan berkenaan, berkata walaupun Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang melakukan perbincangan, namun segala keputusan banyak tertakluk kepada persetujuan Dr Mahathir.

"Jadi, bagi saya, tidak pelik kenapa Dr Mahathir menyerang PAS kerana beliau sudah sememangnya begitu. Namun, mungkin kali ini dia ibaratkan melepaskan semua 'pelurunya' susulan usahanya mendapatkan kerjasama dengan PAS gagal.

"Serangan Dr Mahathir terhadap PAS adalah biasa, jika beliau puji PAS, itu menjadi luar biasa. Beliau juga terkenal sebagai individu yang terlalu anti kepada orang beragama termasuk terbaharu mengenai mufti," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir ketika ucapan penggulungan pada perhimpunan agung tahunan PPBM, dilaporkan berkata, mufti sepatutnya menegur amanat Abdul Hadi pada 1981.

Pengerusi PPBM berkenaan turut mendakwa, kegagalan mufti menegur amanat berkenaan mendorong penyokong PAS menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan keganasan seperti peristiwa Memali pada 1985.

Mengulas persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Takiyuddin berkata, pihaknya sudah melakukan persediaan menghadapi PRU termasuk meletakkan 30 peratus calon muka baharu yang akan bertanding di Kelantan.

"Walaupun tahun ini kita menghadapi PRU, namun Muktamar PAS tetap diadakan seperti biasa dengan melihat keadaan nanti.

"Kita menetapkan Muktamar PAS Pusat pada 4 hingga 6 Mei ini di Pahang selepas mesyuarat PAS peringkat cawangan seluruh negara diadakan bermula esok (40 hari), serta peringkat kawasan bermula 11 Februari (36 hari)," katanya.

No comments: