KANGAR: Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyelar Pengerusi Pakatan
Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyalahkan para mufti
sebagai punca tercetusnya peristiwa berdarah Memali pada 1985.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berasas, Hashim menambah ia
sekali gus menunjukkan bekas Perdana Menteri itu sudah lupa dengan
situasi sebenar kejadian tersebut.
Hashim turut menyoal sama ada Dr Mahathir sedar bahawa Majlis Fatwa dan
juga para mufti telah memberi pandangan bahawa 'Amanat Hadi' sebenarnya
bukan mengkafirkan orang Islam sehingga boleh mencetuskan perpecahan
pada masa itu.
Sebaliknya kata beliau, ucapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang ketika itu adalah menyentuh secara umum dengan berpandukan
al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dilihat secara menyeluruh.
“Tetapi hari ini, Dr Mahathir terus mengaitkan Allahyarham Ibrahim
Libya dengan keganasan disebabkan amanat Haji Hadi. Saya lihat tidak
betul langsung,” katanya dipetik Utusan Online.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang menyalahkan para
mufti kerana tidak 'menegur' PAS sehingga mewujudkan 'Amanat Hadi' yang
mendorong kepada peristiwa Memali.
Tambah Hashim, beliau percaya rakyat boleh menilai siapa sebenarnya Dr
Mahathir ketika zaman pemerintahannya sebagai Perdana Menteri.
“Kita dapat lihat apa yang berlaku pada zaman dia (Dr Mahathir) di mana anak dan cucunya kaya-raya,” katanya.
Peristiwa Memali tercetus pada 19 November 1985 iaitu pada era
pemerintahan Dr Mahathir, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan
seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim
Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
Pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung akhirnya
mengorbankan 18 orang termasuk guru agama itu beserta empat anggota
polis, dengan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan
beratus-ratus orang.
PAS sebelum ini menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai peristiwa itu supaya rakyat
mengetahui kejadian sebenar.
No comments:
Post a Comment