PUTRAJAYA: Ketua Bahagian PPBM Temerloh Amerus Che Onn hari ini membuat
laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi menggesa
pertubuhan itu membuat siasatan terperinci terhadap mesyuarat agung
tahunan (AGM) pertama parti pada Sabtu lalu yang didakwanya tidak
mengikut perlembangaan parti.
Menurut Amerus, AGM pada Sabtu lalu dilihat ‘syok sendiri’ kerana hanya
memperjuangkan kepentingan individu tertentu dan tiada inisiatif untuk
menyelesaikan kemelut dalaman parti.
“Pemilihan perwakilan ke AGM tidak dibuat ikut perlembagaan parti.
Tiada perhimpunan di peringkat cawangan dan bahagian untuk memilih
perwakilan hadir AGM pertama itu. Selain itu, perhimpunan untuk Angkatan
Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi juga tidak diadakan.
“Saya rasa kami ditipu dan dipermainkan. Maka, saya mendesak RoS
membuat siastan terperinci berhubung perkara ini,” katanya kepada
pemberita selepas membuat laporan di RoS di sini, hari ini.
Sabtu lalu, PPBM mengadakan AGM pertama yang dihadiri 941 perwakilan
daripada 137 bahagian di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam selepas
diberikan amaran oleh RoS.
Amerus berkata AGM pertama itu hanya memberi tumpuan kepada pimpinan
tertentu sahaja dan perwakilan bahagian tidak diberi hak untuk
menyuarakan pandangan.
“Matlamat sebenar penubuhan PPBM sudah tidak wujud kerana kepimpinan
tertinggi hanya memperjuangkan kepentingan individu sehingga isu dalaman
parti tidak diselesaikan," katanya.
Sehubungan itu, Amerus mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meletak
jawatan sebagai pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan kerana hanya
memperjuangkan kepentingan peribadi.
Sebelum ini, RoS memberi amaran kepada PPBM kerana melakukan tiga
kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan
sayap Pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung
tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan
parti itu dibatalkan.
No comments:
Post a Comment