Tuesday, January 2, 2018

Banjir: Sembilan sekolah di Sarawak, Kelantan dan Terengganu ditutup

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SEREMBAN: Sembilan buah sekolah di tiga buah negeri ditutup hari ini akibat banjir, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.
 
Menurut beliau, ia melibatkan tiga sekolah di Kuala Krai, Kelantan; sebuah sekolah di Belaga dan dua buah di Subis, Sarawak; dan dua buah sekolah di Dungun serta sebuah sekolah di Kemaman, Terengganu.
 
"Sekolah ini akan dibuka semula setelah keadaan banjir mulai reda. Keputusan penutupan atau pembukaan semula sekolah ini dibuat oleh Majlis Keselamatan Negeri masing-masing, bukan pihak sekolah.
 
"Semua agensi-agensi pusat membantu untuk mengawal keadaan dan memberi nasihat. Kesemua keputusan dibuat berdasarkan keselamatan anak-anak kita," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Cairo, Mantin dekat sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri Kharuddin Ghazali.
 
Kamalanathan berkata, semua Jabatan Pendidikan negeri telah diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir.
 
"Pihak Kementerian Pendidikan telah mengadakan beberapa mesyuarat sebelum ini untuk penyelarasan dan persediaan banjir. Semua pengarah Pendidikan negeri telah diminta memastikan semua langkah dan keperluan telah diambil sekiranya berlaku banjir.
 
"Jabatan Pendidikan negeri juga perlu memberi maklum balas kepada pihak kementerian dari semasa ke semasa, pihak kementerian akan memastikan semua prosedur diikuti dan dilaksanakan dengan cara yang terbaik," katanya.
 
Kamalanathan berkata, bagi sekolah yang ditutup akibat banjir, sekiranya perlu, sesi persekolahan itu akan digantikan.
 
 

No comments: