KEADILAN DAILY
Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin menggesa setiap ahli dalam Pakatan Harapan agar turun padang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih untuk memastikan kemenangan kekal bersama gabungan itu.
Menurut anggota Parlimen Ampang itu, kini bukan masa yang sesuai untuk berehat atau leka dalam mengekalkan sokongan.
“Hanya kerana kita adalah kerajaan, tidak bermakna kita boleh berehat dengan kejayaan kita.
“Kita mesti kembali kepada dasar dan melakukan kempen seperti kita adalah pembangkang bagi memastikan kita mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih,” katanya pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Utama Wanita, di Beranang semalam.
“Kita mesti pergi ke rumah, turun padang dan pada masa sama membantu golongan B40 kerana untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan,”katanya memetik SelangorKini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, sikap dan pencapaian kerajaan Pakatan Harapan (HARPAN) akan membuka mata rakyat bagi menentukan nasib kawasana mereka terutama di DUN Semenyih.
“Kami dapat lihat pembangkang sekarang takut dan bimbang, sebab itu mereka bergabung.
“Saya tahu sukar untuk menang tetapi saya percaya dengan sikap dan pencapaian dilakukan, ia akan membuatkan kita menang kerusi ini.
“Orang Selangor tidak bodoh dan mereka boleh membezakan antara kerajaan semasa dan lama. Jangan biarkan pembangkang menipu anda memikirkan kita tidak peduli dengan orang Melayu dan Islam,” katanya.
PRK DUN Semenyih diadakan ekoran kematian wakil rakyat Bakhtiar Mohd Nor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.
Penamaan calon dijadualkan pada 16 Februari sementara hari mengundi jatuh pada 2 Mac.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan