Khamis, 14 Februari 2019

Kementerian Kewangan serah cek peruntukan RM50 juta untuk tahfiz berdaftar


Roketkini.com

Meskipun berdepan keadaan kewangan yang mencabar, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap komited membantu kebajikan sekolah tahfiz yang berdaftar di negara ini. 

Ini ditunjukkan menerusi penyerahan peruntukan sebanyak RM50 juta oleh Kementerian Kewangan (MOF), Lim Guan Eng kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah tahfiz yang berdaftar.

“Walaupun berhadapan dengan keadaan kewangan yang mencabar, Kerajaan akan berusaha untuk memberi bantuan kepada semua jenis sekolah dan institusi pendidikan yang berdaftar mengikut kemampuan semasa. 

“Kerajaan sangat prihatin dengan kualiti pembelajaran dan kebajikan para pelajar di sekolah-sekolah yang berdaftar, dan MOF akan terus memainkan peranannya dalam meningkatkan mutu persekolahan dan pendidikan untuk semua,” kata Guan Eng dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan yang lebih tinggi untuk kebajikan jenis sekolah berdaftar dalam Belanjawan 2019 berbanding tahun lalu semasa era pentadbiran Barisan Nasional. 

“Belanjawan 2019 membuktikan komitmen ini melalui peruntukan menaik taraf dan menyelenggara untuk jenis-jenis sekolah sebanyak RM652 juta, berbanding RM600 juta dalam Bajet 2018.

“Ini termasuk peruntukan sebanyak RM25 juta untuk sekolah pondok berdaftar yang telah disampaikan kepada YB Datuk Seri Mujahid pada awal bulan lalu, yang tidak diberikan dalam Bajet 2018. 

“Tambahan lagi, peruntukan untuk hal ehwal agama Islam juga telah ditingkatkan sebanyak RM100 juta di dalam Belanjawan 2019, daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kerajaan menyalurkan dana kepada sekolah tahfiz dengan syarat ia berdaftar dan tidak dimiliki oleh parti politik.

Ketetapan itu tambahnya selaras dengan matlamat kerajaan untuk memisahkan pendidikan daripada pengaruh parti politik. – Roketkini.com


Tiada ulasan: