Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, apa yang dilakukan oleh Pengerusi Bersatu itu jelas bertentangan dengan apa yang pernah dilafazkan olehnya sebelum ini.
“Suatu ketika dahulu saya menulis mengenai bagaimana sebelum PRU-14, Mahathir memberitahu sekumpulan aktivis dan NGO yang beliau tidak akan menerima ‘katak-katak’ UMNO.
“Saya tahu kerana saya berada di sana. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri dan saya percaya kepadanya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Ronnie berkata, apa yang dikatakan oleh Mahathir ketika itu kini sudah menjadi sebaliknya apabila beliau akhirnya menerima ahli Parlimen yang keluar UMNO selepas PRU-14.
“Ia benar-benar memalukan apabila menerima ‘sampah’ seperti ini. Jadi apa yang berlaku sekiranya lebih banyak Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti dan meminta menyertai Bersatu.
“Adakah Bersatu akan membawa mereka secara beramai-ramai seperti ini? Adakah kita menyaksikan pengambilalihan berlawanan dai Bersatu oleh bekas orang UMNO?” soalnya.
Dalam pada itu, Ronnie turut mempersoalkan sama ada Bersatu sudah memeriksa sepenuhnya latar belakang kesemua bekas Ahli Parlimen UMNO itu sebelum diterima menyertai parti tersebut.
Semalam, Bersatu mengumumkan menerima tujuh ahli Parlimen UMNO ke dalam parti itu.
Ketujuh-tujuhnya ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsuddin, Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Abdul Latiff Ahmad (Mersing) Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam).
Pengumuman dibuat oleh Mahathir yang juga Pengerusi Parti Bersatu dan Pakatan Harapan itu dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya semalam.
Mahathir turut menyerahkan kad keahlian parti itu kepada bekas ahli parlimen UMNO berkenaan.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan