Pimpinan kerajaan negeri sepatutnya segera mencari dalang sebenar kejadian yang berlaku di luar sebuah kilang di kawasan berkenaan bukan mempolitikannya.
Ini kerana ada laporan media yang menyebut exco kerajaan negeri mendakwa kejadian itu mungkin ada kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Pengerusi GPS, Azman Ahmad berkata, sisa-sisa kimia tersebut dianggap berbahaya kerana mempunyai kandungan toksik ethylene chloride yang mengancam kesihatan penduduk termasuk kanser kulit.
Jelas Azman, pihaknya cukup terkilan kerana kerajaan negeri menganggapnya apa yang berlaku secara sambil lewa sedangkan kesannya bukan sahaja kepada alam sekitar tetapi juga kepada manusia.
“Bahan kimia jenis ethylene chloride sebenarnya sangat merbahaya kepada penduduk sekitar kerana mereka terdedah kepada risiko kesihatan serius termasuk kanser kulit.
“Tidak cukup dengan itu, tidak kurang daripada 100 meter hingga 500 meter lagi sudah boleh hidu bau busuk kuat.
“Kerajaan negeri janganlah beri alasan sebaliknya cari siapa dalang melakukan perbuatan ini, kita tidak pasti adakah ia perbuatan khianat atau tidak? Itu terpulang kepada pihak berkuasa untuk siasat.
“Yang kita hendak, bukan sahaja segera melakukan kerja-kerja pembersihan serta tidak berhenti setakat itu sahaja sebaliknya siasat siapa dalang, kerja siapa yang letakan tong-tong bahan kimia sehingga bocor. Ini sangat penting.
“Ada juga seorang exco kerajaan negeri beri pendapat sambil lewa dengan mengaitkan kejadian ini dengan PRK Semenyih, apakah jawapan seperti ini yang kita mahu dengar?” soalnya.
Azman menegaskan, exco berkenaan tergamak mengeluarkan kenyataan itu untuk mengalih perhatian orang ramai sedangkan ia satu perbuatan serius yang boleh membahayakan nyawa manusia.
“Tuan punya kilang berhampiran telah membuat laporan polis mendakwa ada pihak tidak bertanggungjawab telah buang tong-tong tersebut.
“Kita tidak pasti adakah ia khianat atau tidak tapi yang pasti ini adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Menurut exco pula, ini ada unsur sabotaj,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis hari ini berhubung tumpahan bahan kimia yang berlaku di luar kawasan sebuah kilang di Sungai Lalang pada 11 Februari lalu.
Skuad Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor yang membuat pemantauan udara dan darat di sekitar kawasan tumpahan bahan kimia itu mendapati daripada lebih 150 buah tong telah dianggarkan 10 daripadanya mengalami kebocoran.
Setakat ini, belum ada sebarang maklumat pihak mana yang bertanggungjawab meletakkan tong-tong tersebut dan siasatan masih lagi berjalan.
Jelas Azman, tindakan membuang bahan kimia secara haram dikhuatiri memberi kesan lebih buruk sekiranya ia mengalir ke Sungai Semenyih – salah sumber air utama penduduk Lembah Kelang dan Selangor.
“Jika berlaku pasti loji air ditutup dan membebankan penduduk. Kita buat laporan sebenarnya untuk semua agensi penguat kuasa proaktif menangani isu ini dan pelakunya perlu segera di bawa ke muka pengadilan.
“GPS juga khuatir seandainya pembuangan bahan kimia secara haram seperti ini bakal mengancam nyawa dan akan berlakunya dengan kerap kali selepas ini jika tidak ada sebarang tindakan serius diambil,” katanya.
Menurut beliau, agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Kajang, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor, Pejabat Daerah Tanah dan Galian serta agensi berkaitan perlu bekerjasama menanganinya.
Tinjauan Malaysia Gazette mendapati kerja-kerja pembersihan serta siasatan oleh agensi-agensi terbabit termasuk pasukan bomba dan Jabatan Alam Sekitar sedang giat dijalankan. –MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan