Krisis
perpecahan dalam Bersatu kian meruncing apabila pengerusinya Dr
Mahathir Mohamad dan Presiden Muhyiddin Yassin masing-masing
mempertahankan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional
(PN).
Bagi kem Mahathir, langkah Muhyiddin mengeluarkan Bersatu
daripada PH merupakan satu pengkhianatan manakala bagi kem Muhyiddin
pula, ia disebabkan rakan sekutu Bersatu yang tidak sabar sehingga
mengasak parti itu ke satu sudut.
Laman Facebook Bersatu semalam
membocorkan rakaman audio lebih dua jam mesyuarat terakhir Majlis
Presiden PH ketika masih menjadi kerajaan pada 21 Feb lalu, dengan
mendakwa rakan sekutu Bersatu bersikap 'biadab' terhadap Mahathir.
Perbincangan
selama dua jam itu kadang kala menjadi panas apabila pemimpin komponen
PH menimbulkan soal sama ada Mahathir harus menetapkan tarikh peralihan
kuasa atau sebaliknya.
Meskipun
rakaman yang bocor hampir tiga bulan itu mungkin merupakan perang
saraf, ia memberi gambaran menarik mengenai apa yang berlegar dalam
fikiran pemimpin PH, beberapa hari sebelum gabungan itu 'tersungkur'.
Dalam
mesyuarat itu, Amanah dan DAP mendesak Majlis Presiden PH membuat
keputusan mengenai tarikh yang tepat bagi peralihan kuasa, manakala
pemimpin Bersatu menegaskan Mahathir tidak boleh ditekan, selain
menyatakan terdapat pemimpin tertentu dalam PH menyerang Mahathir di
khalayak umum.
Lebih menarik timbalan presiden PKR pada masa itu,
Azmin Ali dan naib presidennya, Zuraida Kamaruddin, menegaskan bahawa
Mahathir perlu menghabiskan sepenggal penuh - satu pendirian yang tidak
diusulkan oleh pemimpin Bersatu dalam mesyuarat itu memandangkan mereka
hanya mahu Mahathir menetapkan tarikh itu sendiri.
"Tun, you kata
selepas APEC (Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik) dan tak ada
tarikh, dan mungkin juga sepenggal penuh," kata Zuraida.
Untuk
rekod, Azmin dan Zuraida kemudiannya memainkan peranan penting dalam
kejatuhan kerajaan PH apabila mereka berpaling tadah untuk menyertai
PN.
Berdasarkan rakaman tersebut, adalah jelas bahawa pemimpin PH tidak sedar mengenai wujudnya konspirasi berkenaan.
Konspirasi
Apabila
Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman bersuara lantang
menentang pemimpin PH yang menekan Mahathir untuk menetapkan garis masa
peralihan kuasa, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa terdapat
konspirasi yang telah diatur.
"Syed Saddiq, kamu mungkin tidak
tahu, cubaan merosakkan keseluruhan rancangan (peralihan kuasa). Yang
nyata, konfigurasi baru, saya bincang dengan Muhyiddin.
"Konfigurasi baru yang melayani PAS, Umno itu yang sebabkan orang marah.
"Tapi
bila saya tanya, Tun kata diorang datang, dia tak beri kelulusan. Tapi
banyak orang termasuk dalam dewan ini malam ini kata Tun setuju."
Anwar berkata beliau mahu Majlis Presiden bertindak tegas terhadap kewujudan gerakan berkenaan.
"You
tak boleh cakap sokong Tun dan Pakatan Harapan dan khianat di luar.
Kemudian kamu mengharapkan kami meletakkan kesetiaan sepenuhnya. Ini
yang kena stop," jelasnya.
Anwar juga mengakui pihaknya
mengumpulkan akuan bersumpah (SD) sebagai respons kepada satu lagi
langkah berasingan yang dinamakannya "konfigurasi baru".
Bagaimanapun,
Anwar berkata SD oleh pihaknya bukan seperti penyokong "konfigurasi
baru", dan peralihan kuasa seharusnya diserahkan kepada Majlis Presiden
PH untuk membuat keputusan.
Pada penghujung mesyuarat yang
menemui jalan buntu itu, Anwar berjanji mengekang ahli PKR yang masih
berdegil dan akan menyatakan sokongannya kepada Mahathir di media.
"Saya
akan cuba yang terbaik tapi setakat ini saya support Tun kalau ditanya
media. Saya akan katakan kepada mereka bahawa ia telah diselesaikan dan
menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Tun," katanya walaupun
tiada keputusan dicapai mengenai tarikh peralihan kuasa.
Bagaimanapun, Azmin kemudian mencelah dengan mengatakan: "Tun, saya nak minta penjelasan adakah dengan menyokong Tun untuk serve full term (berkhidmat sepenggal penuh) itu merupakan pengkhianatan kepada Pakatan Harapan?"
Ini mencetuskan pertikaian apabila Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad akhirnya bersuara.
"Saya
rasa paling penting tentang pengkhianatan adalah bawa masuk orang
lainlah. Bawa masuk PAS, Umno, nak form gabungan baru, itu pengkhinatan
yang kita sedang ceritakan.
"Kita tidak bincang tentang PAS dan Umno punya penglibatan," jawab Azmin.
Bahang
ketegangan juga dapat dikesan ketika mesyuarat itu apabila setiausaha
agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berulang kali menyindir dengan
menyatakan beliau tidak pernah sesekali "ponteng" daripada mesyuarat
parti dan PH - satu dakwaan yang sebelum ini dibuat terhadap Azmin dan
kumpulannya.
Kata dua
Khalid akhirnya berkata perkara itu harus diserahkan antara Anwar dan Mahathir untuk membuat keputusan.
Mahathir,
yang sepanjang mesyuarat itu tidak memberi sebarang pandangan mengenai
kedudukannya sebagai perdana menteri dan pada satu ketika mengatakan
beliau tidak sepatutnya menghadiri mesyuarat yang banyak tertumpu
kepadanya, kemudian bertanya apakah yang mahu diberitahu kepada pihak
media di tengah-tengah kebuntuan berkenaan.
"Kita nak bagitahu press yang kita pecah dua atau kita ada konsensus?" soalnya.
Mahathir juga mengulangi bahawa beliau akan meletakan jawatan selepas Apec.
Bagaimanapun
Azmin sekali lagi mencelah dan berkata: "Tetapi tiada konsensus
walaupun selepas Apec", menyebabkan suasana bising apabila ada yang
membantah.
"Saya tahu kamu ada sesuatu yang peribadi terhadap
saya. Berapa banyak pandangan berbeza, mengapa kamu pilih saya?" bidas
beliau.
Pertikaian itu berterusan selama beberapa minit sebelum
Syed Saddiq sekali lagi membantah gesaan agar Mahathir menetapkan garis
masa bagi peralihan kuasa.
Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya,
yang banyak mendiamkan diri akhirnya bersuara dan menggesa Majlis
Presiden PH menyerahkan kepada Mahathir untuk membuat keputusan mengenai
tarikh peralihan kuasa.
Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa PH kehilangan sokongan dan rancangan peralihan kuasa telah menjadi perhatian rakyat.
Beliau
mengakhiri kata-katanya dengan mengatakan sekiranya Majlis Presiden
tidak boleh patuh, maka Bersatu boleh membuat keputusan sendiri,
menyebabkan keadaan menjadi senyap seketika.
Presiden Amanah Mohamad Sabu kemudian bersuara dengan mengatakan:
"Bersatu buat keputusan, Amanah buat keputusan, DAP buat keputusan. Pecahlah kita jadi pembangkang balik".
Khalid kemudian menggesa agar tiada kata dua diberikan dalam mesyuarat berkenaan.
"Janganlah bagi ultimatum. Bila you nak cari konsensus, bila kamu bagi ultimatum, kamu tak cari konsensus."
Mat Sabu kemudian berkata "Bersatu nak buat keputusan sendiri itu ultimatum, kami pun dah jadi pembangkang lama".
Konsesus
Perdebatan ini berlangsung selama beberapa minit sebelum Anwar mencelah.
"Sekarang
Bersatu bagi ultimatum, kita kena capai konsensus. Saya tak nak usulkan
apa. Saya serah pada Tun, saya percaya kamu sebab ultimatum ada risiko
pecah. Saya harap jangan buat begitu.
"Saya akur, serah pada Tun," katanya.
Mahathir kemudian secara bergurau memberitahu beliau mahu menyandang jawatan perdana menteri selama lima penggal.
Pada nada yang lebih serius, Mahathir berkata:
"Jangan tetapkan saya tempoh. Saya akan buat keputusan.Kalau kamu percaya saya, akan buat keputusan tapi jangan beritahu bila.
"Mungkin
satu hari sebelum parlimen dibubarkan - mungkin, saya tidak mengatakan
begitu, jangan petik saya Tapi jangan tetapkan satu tempoh, saya akan
buat keputusan.
"Jadi, jika kamu tidak boleh bersetuju (menetapkan tarikh), maka kamu terima pandangan saya. Adakah itu okay?" katanya.
Para
pemimpin dalam mesyuarat itu kemudian didengar menyatakan persetujuan
sebelum beralih untuk membincangkan isu-isu pentadbiran.
Pada
sidang akhbar lewat malam itu, Mahathir diapit Anwar dan isterinya Wan
Azizah Wan Ismail di mana beliau mengumumkan bahawa PH memutuskan untuk
membenarkan beliau membuat keputusan sendiri mengenai tarikh peralihan
kuasa.
Bagaimanapun, dua hari kemudian, Azmin dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memulakan "Langkah Sheraton".
Azmin,
yang juga Anggota Parlimen Gombak, berpaling tadah bersama 10 anggota
Parlimen PKR yang lain, manakala Muhyiddin mengumumkan Bersatu keluar
daripada PH.
Bersama-sama dengan Umno, PAS, GPS, PBS dan STAR, mereka membentuk kerajaan PN yang baru.
Mereka
pada mulanya menggesa Mahathir mengetuai gabungan baru itu tetapi
apabila ia ditolak, sokongan beralih kepada Muhyiddin sebagai perdana
menteri yang baru.