Jumaat, 15 Februari 2019

'Saya disepak ketika terjatuh di atas kaki Adib' - Saksi

Afiezy Azaman dan Hilmi Malik, Astro Awan
'Saya disepak ketika terjatuh di atas kaki Adib' - Saksi
Allahyarham Mohd Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara. - Gambar fail
 
 
SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu saksi ke-8 dalam prosiding inkues kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim bahawa dia ditendang ketika terjatuh ke atas seorang anggota bomba yang bersandar kepada 'bumper' sebuah kereta.

Saksi awam S. Suresh, 33 tahun, yang merupakan seorang kontraktor berkata anggota bomba berkenaan dikenalpasti sebagai Muhammad Adib.

"Saya nampak ada dalam 20 hingga 30 orang berkumpul dekat tepi jalan, saya dengar mereka menjerit banyak kali dalam bahasa Tamil, 'JANGAN PUKUL! '.

"Saya pergi ke sana lagi dekat untuk melihat sehingga di depan saya nampak ada seorang bersandar (Adib), keadaan orang disitu bertolak-tolakkan dan ada orang tolak saya sehingga terjatuh di atas kaki lelaki itu.
 
"Masa itu baru saya sedar dia anggota bomba berdasarkan seluar uniform yang dipakai, kemudian saya perasan ada orang sepak saya dekat bahu kanan," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Zafran Rahim Hamzah, pada Jumaat.

Ditanya bagaimana keadaan ketika itu, Suresh berkata keadaan orang ramai yang  kemudian terdapat seorang berbadan besar datang dan terus menolak semua orang di situ untuk memberi ruang.

"Saya tengok anggota bomba itu (Adib) tidak sedarkan diri sebab tiada pergerakan. Saya terus bangun dan beredar dari situ.

"Kemudian saya dengar ada tiga orang cari kereta dan saya nampak kawan saya Narresh di depan minta orang beri laluan terdapat lima hingga enam orang mengusung anggota bomba (Adib) yang hanya pakai seluar bomba sahaja," jelas beliau sambil menyatakan kemudiannya kawannya (Naresh) berada di hospital dalam kawasan Subang ketika dihubungi.

Suresh turut menyatakan dia dan rakannya pergi ke hospital berkenaan untuk melihat keadaan anggota bomba (Adib) dan berada di situ sehingga 4 pagi.

Terdahulu, Suresh memaklumkan dia mendapat maklumat mengenai insiden di kuil berkenaan melalui Facebook dan pergi ke kuil bersama rakannya untuk memberi sokongan kepada kuil tersebut.

Muhammad Adib, 24 tahun, yang juga anggota Emergency Medical Retrieval Service (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya di Selangor, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung 18 Februari ini. 
 
 

Tiada ulasan: