INKUES ADIB | Pegawai penyelia kepada Muhammad Adib Mohd Kassim membuat laporan polis berhubung kecederaan anggota bomba berkenaan dalam rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman Nov lalu kerana "beranggapan" Muhammad Adib diserang perusuh.
Perkara itu dimaklumkan Ahmad Shahril Othman yang merupakan saksi ketiga inkues yang juga merupakan pemandu van EMRS yang dinaiki Muhammad Adib ketika kejadian pada 27 Nov tahun lalu itu.
"Saya beranggapan kalaulah pintu saya cuba diceroboh oleh perusuh untuk buka pintu saya, dengan tujuan untuk memukul, mencederakan saya, mungkin (hal sama) berlaku pada arwah Adib.
"Sedangkan kita tengok kenderaan bomba diserang begitu teruk...tidak mungkin dia tak cederakan anggota bomba...Kalau dapat tentu dia akan lakukan benda yang sama juga pada anggota itu," katanya.
Ahmad Shahril berkata demikian sebagai menjawab soalan pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah yang bertanya berhubung kandungan laporan polis yang dibuat pasukan penyelia Muhammad Adib.
Ahmad Shahril berkata dia dan pegawai penyelianya membuat laporan polis berkenaan di balai polis Subang Jaya.
Dalam laporan yang dibacakan Hamdan, dinyatakan bahawa Muhammad Adib "mengalami kecederaan selepas diheret dan dipukul perusuh".
Selepas membuat laporan polis, Ahmad Shahril berkata dia kembali ke Sime Darby Medical Centre, tempat Muhammad Adib mula-mula dirawat dan berada di sana sehingga petang.
Muhammad Adib kemudian dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pad 17 Dis pukul 9.41 malam di IJN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan