Oleh Siti Fatimah Ishak
Parti perkauman tak usah campur urusan Islam, jaga agama sendiri
BANGI –
Parti perkauman, MCA dinasihat tutup mulut atau berdiam daripada sibuk
mempersoal isu persaudaraan Islam Malaysia-Uyghur, yang hakikatnya
langsung tidak ada kena mengena dengan mereka, bidas Pendakwah bebas,
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.
Beliau
berkata, umat Islam ibarat peha kanan dan peha kiri, yang mana bila
cubit salah satu, satu lagi akan terasa, tidak kira apa bangsanya.
“Jadi, jika MCA tidak rasa cubitan itu
sebab tidak bersunat, baik diam. Kalau tidak tau apa-apa tentang
persaudaraan Islam, parti tak berguna MCA memang kena diam. Jangan sibuk
campur tangan dalam perkara berkaitan Islam. Jaga agama masing-masing,”
katanya.
Beliau berkata demikian menyelar Ketua
Biro Agama MCA Perak, Jimmy Loh apabila mengkritik pertemuan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dengan Kongres
Dunia Uighur dan Persatuan Uighur Amerika bulan lalu.
Dakwanya, tindakan Menteri Hal Ehwal
Agama itu seperti campur tangan dalam masalah domestik negara asing
sekali gus mengabaikan nasib rakyat Malaysia.
“Saya harap Malaysia tidak menjadi alat kepada pihak lain. Ini akan memalukan,” kata Jimmy Loh.
Ridhuan Tee yang juga Pensyarah di
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak fikir tindakan kerajaan
salah apabila menyatakan solidariti kepada Uyghur kerana ditindas dan
dizalimi kerajaan Komunis China.
Tindakan itu katanya, sama seperti
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan pendirian terhadap
Israel sehingga mendapat pujian dunia.
“Kita bukan mencampuri urusan negara
mereka, kita hanya menzahirkan penentangan terhadap segala bentuk
ketidakadilan dan kezaliman. Penindasan komunis ini terhadap Islam bukan
perkara baharu. Dahulu ratusan ribu masjid ada di China, sekarang
tinggal berapa?
“Jika nak berbicara mengenai perjuangan,
kenapa MCA tidak bersuara memperjuangkan hak umat Islam di Palestin
yang sedang lanyak dan dihenyak oleh rejim Zionis Israel.
“Apabila tiba bab China, cepat pula
bersuara dan bertindak. MCA sokong Cina Uyghur atau China Komunis? Kalau
sokong China Komunis, maknanya pemikirannya masih Komunis,” katanya.
Pada masa sama, Ridhuan Tee mengucapkan
tahniah kepada menteri agama kerana sudi meluangkan masa untuk bertemu
dengan pemimpin umat Islam Uyghur yang ditindas dan dizalimi oleh
kerajaan China.
“Tahniah juga kepada kawan saya saudara
Kamal Koh berusaha untuk mempertemukan mereka dengan menteri. Sebelum
ini Kamal Koh minta saya tolong. Siapalah saya ini,” katanya.
Kerajaan China sentiasa menindas muslim
Uyghur di Xinjiang, antaranya tidak membenarkan setiap kakitangan, guru
dan pelajar berpuasa dan menjalankan sebarang aktiviti yang berkaitan
dengan bulan Ramadan.
Bahkan, muslim Uyghur juga tidak
dibenarkan untuk memakai tudung, membela janggut, memakai lambang bulan
sabit dan bintang di pakaian atau pengangkutan awam.
Pihak berkuasa turut memasang aplikasi
pengawasan pada telefon penduduk dan mula mengumpul sampel DNA, cap
jari, imbasan iris, dan jenis darah dari penduduk yang berumur antara 12
dan 65 tahun.
Lebih teruk apabila kerajaan China yang
menentukan imam, bahan ceramah dalam aktiviti keagamaan, tempat untuk
diadakan segala aktiviti keagamaan dan versi Al-Quran yang digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan