Jumaat, 1 Februari 2019

Anwar cadang kokus reformasi Parlimen saring RUU

KEADILAN DAILY

bad55d77-2455-4ebd-b244-498a4820ee43


Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar semua rang undang-undang yang bakal dibentangkan di parlimen oleh kerajaan perlu melalui disaring oleh Kokus Reformasi dan Tadbir Urus.

Anwar yang merupakan pengerusi jawatankuasa perundingan itu berkata, ia merupakan salah satu daripada enam cadangan yang dikemukakan dalam mesyuarat semalam.

“Semua rang undang-undang (RUU) yang dibentangkan ke Parlimen oleh kerajaan perlu melalui saringan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Rakyat atau kokus ini,” kata Anwar dalam kenyataan media.

Selain itu, perundingan berkenaan yang membariskan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang turut dicadangkan untuk dijadikan sebagai Jawatankuasa Pilihan Bersama Bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Anwar yakin cadangan tersebut dapat memastikan kaukus itu boleh berfungsi dengan lebih berkesan.

Cadangan lain yang dikemukakan ialah agar Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Ketua Hakim Negara mengetuai panel bebas mengenai reformasi institusi perundangan negara, serta menyokong gesaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.

Perundingan itu juga menyarankan agar tumpuan mesyuarat berikutnya menjurus kepada penilaian keberkesanan tindakan kerajaan dalam mengangkat kedudukan rakyat miskin desa dan bandar.

Selain Anwar, anggota kokus lain daripada Pakatan Harapan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin, Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed,
Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Anggota Parlimen Segamat Dr Santhara Kumar Ramanaidu, Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Anggota Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman.

Wakil dari pembangkang pula ialah Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz, Anggota Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Anggota Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tiada ulasan: