Khamis, 31 Januari 2019

'Saya yang bongkar kubur besar Wang Kelian, bukan polis'

   

Seorang wartawan kanan kesal dengan laporan yang memberi kredit kepada pihak lain dalam kes pembongkaran isu pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis.

Sedangkan, kata bekas wartawan Malay Mail S Arulldas, beliau dan jurugambar Sayuti Zainuddin yang menanggung “risiko, kepayahan dan ancaman” kerana membongkar itu isu.

“Saya hendak maklumkan, jurugambar Malay Mail, Sayuti dan saya mengambil risiko nyawa dan melalui pelbagai kepayahan untuk mendedahkan kem penjara pendatang dan kubur besar itu, yang pihak keselamatan dan agensi berkaitan menemui 139 mayat,” katanya.

Beliau menolak laporan agensi berita nasional Bernama yang melaporkan polis pada Mei 2015 “mengumumkan penemuan” kem pemerdagangan manusia dan kubur besar di Wang Kelian.

Malah, katanya, terdapat akhbar lain yang turut mengaku mendedahkan perkara itu.
Arulldas hari ini bercakap perkara itu kepada pemberita di Pulau Pinang atas alasan untuk mahu membetulkan fakta dan “tidak lebih daripada itu”.

Katanya, tulisan pertamanya bertajuk "Migrant 'prison camp' uncovered" (Membongkar 'kem penjara' pendatang) disiarkan oleh Malay Mail pada 16 Mei 2015 setelah menyiasatnya sejak 2014.

“Saya masa itu duduk di kedai kopi di Jitra, Kedah, ketika sumber datang dan memaklumkan tentang kubur besar itu.

“Pada masa itulah saya mula kerap pergi ke kawasan jenayah,” kata Arulldas.

Katanya, pertama kali beliau dan Sayuti melawat kem rahsia itu pada 9 Mac 2015 dengan meredah dan mendaki hutan berbukut beberapa ratus meter.

“Bagaimanapun saya mengalah selepas hampir sesat dan tidak bersedia untuk mendaki bukit.

“Lepas itu saya datang balik ke Wang Kelian enam kali seorang diri untuk sampai ke kubur besar itu.

“Saya tetap gagal, tetapi saya tidak mengalah untuk membongkar tapak itu dan akhirnya saya berjaya dengan bantuan dua lelaki Thailand pada 13 Mei dengan memasuki Thailand.

“Kali ini Sayuti ikut saya kerana sidang redaksi (Malay Mail) tidak mahu saya pergi seorang atas alasan keselamatan dan nasihatkan saya bawa jurugambar,” katanya.

Kerja-kerja kewartawanan itu mendapat anugerah dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada 2-015 dan Institut Akhbar Malaysia pada 2016.

Arulldas membangkitkan perkara itu selepas kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian, lebih tiga tahun lepas.

Arulldas berkata beliau sedia memberi keterangan terhadap RCI bagi mengheret dalangnya ke muka pengadilan.

Malay Mail hujung tahun lalu telah menutup akhbar bercetaknya dan menumpukan kepada portal berita.


Tiada ulasan: