Tetapi sejauh mana Umno bersedia untuk menjadi pembangkang yang baik dalam landskap demokrasi Malaysia baru?
Pemilihan Umno kali ini adalah pemilihan terpenting dalam sejarah Umno.
Ini kerana kepimpinan Umno yang akan dilantik bakal menerajui parti yang buat pertama kalinya akan menjadi pembangkang selepas 60 tahun menjadi kerajaan.
Biarpun belum melalui pemilihan, ahli Umno dilihat berkobar-kobar mahu mengambil alih semula pemerintahan negara 5 tahun hadapan.
Tetapi sejauh mana Umno bersedia untuk menjadi pembangkang yang baik dalam landskap demokrasi Malaysia baru?
Secara logiknya, ahli Umno yang berjumlah 3 juta orang adalah representasi terbaik dan terbesar bagi rakyat Malaysia. Di setiap ceruk kampung dan bandar sentiasa ada cawangan Umno.
Secara geografi dan sosiologi, Umno ada wakil hampir di seluruh negara.
Ahli Umno kini perlu mula muhasabah diri dan parti, sebelum boleh mendabik dada yang hanya Umno mampu menjadi pembangkang kepada kerajaan hari ini.
Umno sebagai pembangkang berwibawa
Umno bukan sahaja perlu menjadi pembangkang aktif, tetapi pembangkang yang berwibawa.
Umno yang menjadi pembangkang nanti seharusnya sentiasa dilihat sebagai alternatif yang baik untuk membentuk kerajaan setibanya PRU15 kelak.
Untuk menjadi pilihan yang baik, perjuangan Umno akan datang harus bertunjangkan idea, bukan sekadar membangkang kerana perbezaan parti politik.
Sekarang bukan lagi zaman rakyat Malaysia bertaklik buta dan Umno terutamanya harus sedar, sensitif dan proaktif untuk meyakinkan rakyat Malaysia dan ahli Umno khusus.
Adalah tidak cukup untuk kita hanya membangkang secara semberonoseperti yang diamalkan kerajaan hari ini sebelum menang pilihan raya lepas.
Ini kerana mereka membangkang sebuah kerajaan yang telah berusia 60 tahun. Pastinya akan timbul banyak kekurangan dalam mekanisme pentadbiran BN dulu.
Jika kita menggunakan cara yang sama, membangkang semua usaha kerajaan yang baru berusia tidak sampai setahun, kita akan dilihat sebagai pembangkang yang tidak sabar.
Sebelum PRU14, dan Barisan Nasional sering mengeluh tentang sikap “pembangkang” yang dilihat “melampau” dan “tidak sensitif.”
Inilah masa untuk Umno muncul sebagai “role-model” bagaimana peranan pembangkang yang baik seharusnyadimainkan dalam sistem demokrasi.
Memerdekakan Umno daripada “warlord”
Untuk itu Umno perlu memerdekakan diri daripada cengkaman “warlord” yang begitu popular dan kuat dala parti.
Bukan hendak mengata “golongan warlord” ini tidak bagus sepenuhnya. Tidak. Mereka ini telah berbakti dan berjuang demi bangsa dan negara sejak begitu lama.
Adalah tidak wajar dan kurang bijak jika pengalaman dan kepakaran mereka terus diketepikan begitu sahaja.
Oleh itu saya berasa lebih baik sekiranya golongan ini dapat disusun kembali posisi mereka dalam kapasiti penasihat masa depan Umno dan negara an tidak campur tangan secara terus dalam urusan pentadbiran dan pengurusan Umno.
Kebijaksanaan mereka masih sangat diperlukan untuk membantu generasi baru Umno melangkah dan menyusur samudera politik baru Malaysia.
Calon presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tan Sri Tengku Razaleigh adalah 2 insan yang sudah lama berkerah tenaga dan keringat berkorban masa dan sumber peribadi untuk menegakkan Umno.
Pada hemat saya, kepakaran dan kearifan mereka berdua lebih elok dan mantap jika disalurkan dalam bentuk nasihat dan tunjuk ajar kepada kepimpinan baru Umno diketuai saudara Khairy Jamaluddin.
Kenapa saudara KJ? Memandangkan atmosfera politik negara masih berada dalam “wilayah asing” saya melihat kebolehan dan kekuatan KJ yang amat sepadan untuk menahkoda Umno.
Beliau mempunyai karisma yang mampu menarik perhatian bukan setakat ahli Barisan Nasional tetapi juga ahli atas pagar PH.
Sekiranya BN hendak merampas kembali kerajaan pada PRU15, perkara ini amat penting bagi meraih undi anak muda saluran 4 hingga 7.
Kekuatan Umno adalah pengalaman dan sejarahnya, maka amatlah rugi jika kelebihan ini tidak dijadikan bekal dalam usaha “check and balance” kerajaan PH yang masih kurang pengalaman ini.
Hanya selepas Umno menjadi pembangkang berwibawa, barulah rakyat akan melihat Umno sebagai pilihan lebih baik untuk membentuk kerajaan kelak.
*Zarra Zuriaty Rawi adalah calon exco Puteri Umno Malaysia dan calon naib ketua Puteri Bahagian Selayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan